[ Isi Kandungan | Siri 57 | Siri 58 | Siri 59 ]
Hati-hati Bila Puji Bos Anda

Oleh A.R Dean (22 Mac 1991)

Minggu ini mari kita ikuti pidato Brutus Thornapple di dalam kartun Born Loser. Agaknya dia sedang berucap di dalam suatu majlis untuk meraikan bosnya, Rancid Veeblefester. Sesuai dengan upacara seperti ini dia pun sedang memuji-muji kemurahan hati bosnya tetapi sifat yang lain yang terkeluar daripada mulutnya.

Melentinglah bosnya yang lantas memanggilnya bozo (bahlul, bodoh, dungu). Kalau kita hendak cerewet fasal perkataan, kita pun boleh mengatakan bahawa bosnya pun memilih kata-kata yang tidak tepat. Seorang bozo memanglah bodoh, tetapi lazimnya ini digunakan untuk orang yang berbadan besar dan tegap tetapi otaknya 'kecil', iaitu bodoh. Jadi, tak sesuailah dengan Brutus yang pendek dan gemuk itu.

Apa pun memang ada sebab bos Brutus marah kepadanya kerana philanderer mempunyai maksud yang bukan sahaja berbeza daripada philanthropist tetapi mempunyai maksud yang tidak baik. Seorang philanthropist ialah orang yang 'baik' kerana dia pemurah hati, seorang dermawan. Manakala seorang philanderer ialah seorang lelaki yang 'nakal', suka berpoya-poya dengan perempuan atau kaki perempuan.

Ingat tak bahawa sudah beberapa kali kita telah mempelajari perkataan Inggeris yang berasal dari bahasa Yunani? Philanderer dan philanthropist pun berasal dari perkataan Yunani. Kedua-dua perkataan ini mempunyai awalan yang sama, phil- yang datang dari pada philo, perkataan Yunani yang bermaksud cinta atau kasih

Akhiran perkataan-perkataan ini berbeza, iaitu -er dan -ist dan tidak berasal dari bahasa Yunani. Sebenarnya -er dan -ist ialah cara biasa untuk menukar perkataan untuk menunjukkan orang yang membuat sesuatu perkara. Misalnya, drive (memandu) bila ditambah er menjadi driver (pemandu). Atau strategist ialah orang yang merancangkan strategi.

Tetapi persoalannya ialah mengapakah orang yang philander ialah seorang lelaki yang kaki perempuan sedangkan phil + ander ( dari perkataan Yunani aner, lelaki) secara tersurat bermaksud 'cinta atau suka lelaki'. Kalau lelaki suka lelaki, ini dikatakan homoseks bukan kaki perempuan.

Sebenarnya pada suatu masa dahulu, philander merujuk kepada wanita yang suka lelaki. Tetapi kemudian ia bermaksud kekasih. Akhirnya, entah mengapa, ia membawa maksud sekarang iaitu lelaki yang kaki perempuan. Maksud philanthropist tidak aneh kerana bila phil bercantum dengan anthrophy (dari perkataan Yunani anthropos, manusia) maksudnya secara tersurat ialah 'cinta manusia'. Jadi, seorang yang 'cinta manusia' akan menunjukkan kasihnya dengan memberi sumbangan kepada kebajikan manusia, terutama golongan yang kurang bernasib baik.

Philosophy secara tersurat bermaksud 'cinta kebijaksanaan'. Tetapi yang peliknya ialah perkataan philatelist, orang yang kegemaran atau hobinya ialah mengumpul setem. Tetapi sebenarnya apa yang diphilkan ialah ateleia, bebas dari cukai! Bagaimana cinta barang yang tak kena cukai boleh jadi cinta kepada setem?

Anda mungkin tahu mengenai sistem franking bukan? Ini ialah tanda yang dicap kepada sampul surat untuk menunjukkan bahawa harga setem telah dibayar. Jadi, tak perlu beli setem dan lekatkannya pada sampul surat. Frank berasal daripada perkataan Latin francus, yang bermaksud percuma. Jadi, ateleia samalah dengan frank kerana ia pun bermaksud percuma (dah tak kena bayar cukai). Frank pula samalah dengan setem (iaitu fungsinya sama). Jadi, ateleia = setem. Jadi, siapa cinta ateleia sukakan setem. Logik bukan?

Kalau kita mengikuti siri Born Loser, kita akan mendapati ada logik kepada nama rekaan watak-watak utamanya. Kan Thornapple bermakna 'epal berduri'. Mana ada epal yang berduri? Begitu malang nasib Thornapple, 'the born loser'.

Watak bosnya pun sesuai dengan namanya, Rancid Veeblefester. Rancid merujuk kepada sesuatu benda yang telah basi dan berbau hanyir atau busuk. Fester merujuk kepada luka yang telah menanah dan menjadi busuk. Veeble entah apa maksudnya. Tetapi kalau ada watak dengan nama ini, mana boleh dia berjiwa philanthropist. Jadi, betul juga Thornapple bila lidahnya tersasul.


[Isi Kandungan]
Copyright © 1995-2000 Fz Sdc
nsr@melayu.com
http://www.melayu.com/nsr


1