[ Isi Kandungan | Siri 56 | Siri 57 | Siri 58 ]
Pelbagai Penggunaan Hang

Oleh A.R Dean (15 Mac 1991)

Minggu ini mari kita perhatikan gelagat seekor unta dan seekor anjing di dalam kartun Crock. Nampaknya mereka sungguh seronok. "This hanging out is fun", kata si unta. "Yeah, man, it's cool to hang out", jawab si anjing. Sungguhpun anda mungkin tidak pernah tersua dengan ungkapan hang out atau hanging out yang berulang-ulang digunakan di dalam kartun Crock, daripada konteks kartun ini anda tentu dapat meneka bahawa si unta dan si anjing itu sedang seronok melepak di bawah pokok kurma.

Yang seronoknya melepak bukanlah kerana sejuk dan nyamannya suasana di bawah pokok kurma, berlindung daripada bahang matahari padang pasir, sungguhpun si anjing ada berkata: It's cool to hang out. Cool di sini sebenarnya bukan bermaksud sejuk tetapi bermaksud seronok, best, hebat.

Jika anda bukan budak kutu yang suka melepak di Dayabumi atau Dataran Merdeka atau tidak pernah berbuat demikian seumur hidup anda, jangan pula marah jika sahabat yang sudah lama anda tidak jumpa bertanya: "Where are you hanging out now?" Dia hanya bertanya di mana anda tinggal sekarang.

Ini bermakna bahawa hangout (perhatikan bahawa ini adalah satu perkataan dan bukan dua dan ia digunakan sebagai kata nama bukan sebagai katakerja) ialah tempat seseorang itu suka berkumpul atau melepak. Misalnya: Mamak Maidin's teh tarik stall is my favourite hangout.

Lain pula ceritanya jika anda hang something out. Misalnya:My mother is hanging out the clothes. Jelas di sini bahawa emak saya bukan sedang melepak tetapi sedang menyidai kain. Bagaimana pula jika seseorang itu berkata kepada anda: " Let it all hang out!" Apa benda pula yang dia terjelir keluar? Kalau anda sedang memberitahu suatu rahsia, maksudnya ceritalah semua, luahkanlah sehingga semuanya terbongkar. Jika anda sedang berada di temasya tari menari, maksudnya janganlah malu-malu, bergembiralah sepenuh hati.

Semua ini menunjukkan betapa pentingnya kita memberi perhatian kepada susunan perkataan di dalam sesuatu ungkapan, terutama apabila terdapat preposition atau adverbial particle seperti out, on, in, up. Apabila perkataan-perkataan ini 'digantung' kepada sesuatu perkataan hang, sungguhpun mereka ini 'kecil' atau pendek, mereka membuat perbezaan yang besar kepada makna ungkapan yang terbentuk.

Seperti anda tentu tahu, hang (jangan disebut seperti Hang Tuah) bermaksud gantung. Benda boleh digantung, orang pun boleh digantung. Ada dua bentuk past tense untuk hang:hung (disebut seperti hang yang digunakan oleh orang utara untuk bermaksud awak) dan hanged. Yang peliknya hung hanya boleh digunakan untuk benda seperti lampu, baju, langsir dan hanged hanya untuk manusia.

Jadi, kita tidak boleh berkata: The murderer was comdemned to be hung. (Pembunuh itu dihukum gantung). Kita perlu berkata: The murderer was condemned to be hanged. Begitu juga, kita tidak boleh berkata: His paintings were hanged in the National Art Gallery. Kita perlu berkata: His paintings were hung in the National Art Gallery.

Inilah satu lagi contoh keganjilan Bahasa Inggeris yang sangat mengelirukan. Pada hal, maksudnya sama dan apabila digunakan di dalam bentuk asas (hang) di dalam present tense dan future tense tidak pula dibeza-bezakan. Misalnya:

He will hang himself if she doesn't marry him.
My mother will hang the curtains tomorrow.


Orang yang suka bergayut di telefon dan berbual panjang-panjang melalui telefon tentu tidak suka diberitahu supaya: Please hang up. (Letak balik gagang telefon iaitu berhenti bercakap). Jika kita marah ketika bercakap melalui telefon, kita boleh menunjukkan kemarahan kita dengan hanging up the telephone.

Tetapi jika seseorang itu berkata dia hung up on pizza, ini tidak bererti dia sudah hilang akal sehinggakan dia sangka dia marah kepada pizza lalu meletak gagang telefon. Dia hanya bermaksud dia suka betul makan pizza, dia tergila-gila atau asyik benar dengan pizza hingga tak suka makan benda lain.

Lain orang, lain pula hang upnya (suatu perkara yang tidak disukai oleh seseorang hingga dia makan hati atau sakit jiwa kerananya). Apa pun hang-up seseorang, anda patut menasihatinya supaya hang loose (releks, jangan terlalu runsing - keep cool).

Tetapi bagi rakyat Iraq yang malang itu, termasuk pemimpin mereka Presiden Saddam Hussein, hanging loose mungkin suatu perkara yang sukar dilakukan. Banyak orang Barat, terutama Presiden George Bush, apabila terfikir apa yang patut dilakukan kepada Presiden Saddam tentu berkata: Hang him for his crimes.

Di dalam keadaan sekarang, kita boleh berkata: The prosepect of destruction hangs over Iraq. Kita menggunakan ungkapan hang over untuk sesuatu perkara buruk yang akan atau mungkin berlaku. Bagi orang Barat pula, tentu mereka seronok dengan kemenangan tentera Amerika dan kehancuran tentera Iraq. Seperti biasa bila orang Barat hendak merayakan peristiwa yang mengembirakan mereka akan minum arak. Apabila banyak sangat minum arak, esok pagi mereka akan mendapat hangover (pening kepala akibat minum terlalu banyak).


[Isi Kandungan]
Copyright © 1995-2000 Fz Sdc
nsr@melayu.com
http://www.melayu.com/nsr


1