Ingatkah pelajar dua minggu lepas, anda dianjurkan mempelajari akar umbi perkataan
yang berasal dari Latin dan Yunani sebagai satu cara untuk memahami maksud perkataan? Jika
kita menggunakan cara ini baiknya pun ada, buruknya pun ada. Kita sudah tahu kebaikannya.
Apa pula keburukannya? Buruk padahnya akan diterima jika kita menggunakan pendekatan ini
secara sewenang-wenang.
Misalnya, kita tahu bahawa sukukata pent yang berasal dari perkataan Yunani
di dalam perkataan pentagon bererti lima. Jika berasaskan pengetahuan ini kita pula
meneka bahawa penthouse bermakna lima rumah, kita telah terjerumus ke dalam
satu kesilapan besar kerana pent di dalam penthouse tidak bererti lima.
Mungkin inilah kesilapan yang dibuat oleh watak Brutus Thornapple di dalam kartun Born
Loser. Mungkin juga dia tersilap dengar dan tersasul. Bila ditanya oleh anaknya apakah
thesaurus, dia menjawab dengan selamba dan penuh yakin: "A gigantic reptile
that's been extinct since the Stone Age". (Seekor reptilia raksasa yang telah pupus
sejak Zaman Batu).
Perkataan thesaurus ada suku kata saurus di hujung yang lazimnya digunakan
untuk semua jenis reptilia raksasa yang telah pupus yang tergolong sebagai dinosaur.
Perkataan dinosaur terbentuk daripada gabungan perkataan Yunani delnos
(dahsyat atau menakutkan) dan sauros (cicak). Terdapat kira-kira 300 jenis
dinosaur, antaranya tyranosaurus (atau tyrannosaur), brachiosaurus,
barosaurus, arcocanthosaurus, teratosaurus dan lain-lain. Pendek kata semuanya
saurus belaka.
Inilah agaknya yang menyebabkan Brutus Thornaple sebaik sahaja dia mendengar
saurus tersasul dan terus menyangka perkataan thesaurus merujuk kepada
binatang yang telah pupus itu. Tetapi Brutus tidak salah daripada satu segi. Perkataan
thesaurus memang berasal dari perkataan Yunani thesauros yang bermaksud
perbendaharaan dan adalah asal usul perkataan Inggeris tresaurus, harta kekayaan.
Tetapi sungguhpun thesaurus dan treasure mempunyai asal usul yang sama,
maksud mereka berbeza. Thesaurus sebenarnya ialah perbendaharaan kata. Berbeza
daripada kamus, di dalam thesaurus perkataan-perkataan tidak disusun mengikut abjad
tetapi mengikut persamaan maksud. Orang yang pertama menyusun perkataan seperti ini ialah
Peter Mark Roget pada tahun 1805 dan dialah yang menggunakan istilah thesaurus
bagi pengumpulan perkataan sedemikian rupa. Hingga sekarang pun Roget's Thesaurus
masih diterbitkan dan digunakan. Jadi, selain daripada kamus, anda boleh merujuk kepada
thesaurus, terutama bila anda hendak mencari perkataan-perkataan sama erti atau
synonym.
Berbalik kita kepada kartun Born Loser. Apabila diberitahu oleh Brutus bahawa
thesaurus ialah binatang raksasa yang telah pupus, anaknya menarik nafas panjang
dan berkata penuh hairan: "Boyoboy, and Mrs Baldi tried to tell me she's got one in
her desk drawer!" (Alahai! Adakah patut Puan Baldi memberitahu kononnya dia ada seekor
di dalam laci mejanya nuu!)
Boyoboy tidak boleh disebut bo-yo-boy, tetapi boy-o-boy. Sungguhpun
boy bererti budak, maksud ungkapan ini bukanlah budak oh budak! Ungkapan ini
sebenarnya "tidak mempunyai erti", hanya sekadar kata-kata yang menyampaikan perasaan
seperti keluhan, sungutan, kehairanan dan lain-lain. Kesimpulannya, kita boleh menggunakan
pengetahuan mengenai akar umbi perkataan untuk membantu kita meneka atau memahami maksud
perkataan tetapi kita perlu menggunakan pendekatan ini dengan bijaksana. Sungguhpun ada
bahayanya di dalam pendekatan ini, ia tetap cara yang berguna.
Misalnya, cuba kita lihat perkataan tyrannosaurus. Kita tahu bahawa akhiran
saurus lazimnya merujuk kepada binatang raksasa. Jika kita tahu bahawa tyrannos
ialah perkataan Yunani untuk orang yang zalim dan asal usul perkataan Inggeris tyrani,
kita dapat bayangkan betapa ganasnya dan menakutkan tyrannosaurus pada zaman
purba. Ia dinamakan sedemikian kerana tyrannosaurus merupakan dinosaur yang
paling besar. Tyrannosaurus dikatakan berukuran 15 meter panjang dan 5.6 meter
tinggi dan seberat 6 tan.