[ Isi Kandungan | Siri 54 | Siri 55 | Siri 56 ]
Penggunaan Just dan Call

Oleh A.R Dean (1 Mac 1991)

Minggu ini mari kita ikuti telatah Robotman. Dia berkata, "Kevin, your mother just called to ask me to babysit you this afternoon and make sure you eat lunch." Perhatikan perkataan just. Di dalam dialog di atas ia bermaksud baru sebentar tadi. Tetapi kita perlu berhati-hati dengan perkataan ini kerana ia mempunyai pelbagai maksud yang berbeza. Misalnya, jika seseorang itu berkata kepada anda, "Your baby looks just like you", dia tidak bermaksud rupa anak anda "baru sebentar tadi" serupa dengan anda! Dia sebenarnya berkata rupa anak anda "betul-betul serupa" dengan anda.

Sebaliknya, jika seseorang berkata, "She's just a child", dia ingin menegaskan bahawa dia masih budak lagi, tak lebih dari itu. Jika rakan sekerja anda merungut, "I'm always left holding the baby", jangan tercari-cari bayi di dalam pelukannya. Dia hanya mengeluh bahawa dia terpaksa menyelesaikan tugas yang dimulakan oleh orang lain dan masih belum siap.

Just juga bererti adil atau wajar. Misalnya, "It's only just that he should be promoted." (Memang wajarlah dia dinaikkan pangkat). Daripada maksud just ini terbentuk perkataan justice (keadilan) dan justify (memberi sebab yang munasabah).

Kita beralih pula kepada perkataan call (called ialah bentuk past tense). Di dalam ucapan di atas, Robotman bermaksud "menelefon". Selain daripada menggunakan perkataan call, Robotman sebenarnya boleh menggunakan perkataan atau ungkapan lain untuk tujuan yang sama:

"Your mother just telephoned..."
"Your mother just phoned..."
"Your mother just rang (past tense ring) me up..."
"Your mother just gave me a ring..."

Sebaliknya pula call mempunyai pelbagai maksud yang lain. Misalnya:

The landlord called to collect the rent.
(Tuan rumah datang untuk mengutip sewa).

The trade union leader called a strike.
(Pemimpin kesatuan sekerja mengisytiharkan mogok.)

She's called Fatimah.
(Namanya Fatimah).

Daripada ucapan di atas, kita tahu bahawa emak Kevin menyuruh Robotman supaya babysit Kevin. Perkataan babysit agak pelik sedikit kerana maksudnya bukan "bayi duduk" atau "duduk atas bayi". Sebenarnya ia adalah bahasa idiomatic yang bererti menjaga bayi atau kanak-kanak semasa ibu bapanya tidak ada di rumah. Jadi, Robotman ditugaskan menjadi babysitter sungguhpun Kevin bukanlah bayi.

Sekiranya anda masih bujang dan ada orang berkata kepada anda, "That's your baby", jangan menyangka bahawa dia menuduh anda ada anak di luar nikah. Dia hanya berkata bahawa sesuatu tugas atau tanggungjawab itu berada di bawah jagaan anda. Perhatikan pula apa reaksi Kevin apabila diberitahu oleh Robotman: Oh yeah? (yeah ialah perkataan tak formal untuk yes) Ini menunjukkan bahawa dia seolah-olah tak percaya apa yang didengar atau hendak meragui apa yang didengar.

Tetapi kemudian Kevin cuba mengambil kesempatan untuk menjamu selera dengan berkata dia sedang diet. Lazimnya, jika seseorang itu berkata, "I'm on a diet", ini bermaksud dia hanya boleh makan jenis-jenis makanan tertentu kerana masalah kesihatan atau hendak menguruskan badan.

Tetapi lain pula diet Kevin kerana kononnya dia kena makan cokelat. Mengikut Kevin, "Oprah's on it (Oprah ialah tokoh televisyen di Amerika). "Liz's on it". (Liz mungkin bintang filem Elizabeth Taylor). Sungguhpun on boleh bermaksud di atas (He sits on a chair), ungkapan on it di sini tidak bermaksud atas tetapi bererti mengamalkan diet tersebut.

Perhatikan juga bahawa menurut Kevin, "It's real popular now". Real di sini tidak bermakna nyata atau betul tetapi "sangat" atau "amat". Ini adalah bahasa tidak formal yang digunakan di Amerika. Dalam "British English", perkataan really digunakan.

Robotman cuba membantah dengan berkata, "Actually, she didn't mention..." Actually merupakan satu unsur "budi bahasa" di dalam perbualan yang digunakan supaya apabila seseorang itu tidak bersetuju atau membetulkan sesuatu kesilapan bahasanya lebih bersopan. Tetapi ia juga boleh digunakan untuk bermaksud really (sebenarnya). Misalnya: He looks young but he's actually 50.

Kevin tidak menghiraukan bantahan Robotman dan terus membuka peti ais untuk mencari cokelat sambil berkata: "Personally I think it's just a fad, buat what the heck? I'll try anything once.". Fad ialah sesuatu perkara yang popular untuk masa yang singkat dan tidak akan berkekalan. What the heck? ialah ungkapan yang bermaksud "tak mengapalah" atau "tak kisahlah". Heck sebenarnya digunakan untuk menggantikan hell (neraka) kerana ungkapan What the hell dianggap sebagai kurang sopan.

I'll try anything once pula adalah kata-kata yang digunakan oleh seseorang yang menunjukkan bahawa dia sanggup atau berani mencuba sesuatu yang baru, yang susah, yang diragui dan sebagainya sungguhpun mungkin ada risiko di dalam percubaan tersebut. Tetapi kata-kata Kevin sebenarnya adalah alasan untuk muslihatnya memakan cokelat kerana jika emaknya ada di rumah dia tak boleh makan cokelat sesuka hati.


[Isi Kandungan]
Copyright © 1995-2000 Fz Sdc
nsr@melayu.com
http://www.melayu.com/nsr


1