[ Isi Kandungan | Siri 53 | Siri 54 | Siri 55 ]
Pelajari Akar Umbi Perkataan

Oleh A.R Dean (22 Feb 1991)

Minggu ini mari kita mula dengan membaca kartun Bettle Bailey. Plato berkata, "They say the Pentagon will devote more time to peace efforts." Sesuai dengan watak Plato, yang diambil daripada nama ahli falsafah Yunani Kuno, perkataan pentagon berasal daripada kombinasi dua perkataan Yunani penta + gonia. Penta bermakna lima dan gonia bererti segi atau sudut. Jadi, pentagon bermaksud segi lima.

Oleh kerana banyak juga perkataan Inggeris dibentuk daripada kombinasi sukukata yang berasal daripada bahasa Yunani Kuno dan juga Latin, pelajar-pelajar bahasa Inggeris sering dianjurkan supaya mempelajari akar umbi perkataan sebagai satu cara untuk membina perbendaharaan kata. Pengetahuan mengenai akar umbi perkataan boleh membantu kita meneka maksud perkataan yang belum diketahui dan memahami dengan lebih bermakna pengertian sesuatu perkataan. Dengan cara ini, lebih mudah bagi kita untuk mengingat dan menggunakan perkataan.

Di dalam contoh di atas suatu angka di dalam bahasa Yunani diambil untuk bergabung dengan perkataan lain. Jadi, jika kita terjumpa suku kata penta - di dalam perkataan lain, perkataan itu akan merujuk kepada unsur lima atau sesuatu yang berkaitan dengan angka lima. Begitu juga jika kita terjumpa dengan sukukata -gon di dalam sesuatu perkataan ia merujuk kepada segi atau sudut.

Lihat, misalnya kepada perkataan pentathlon dan octagon. Pentathlon merujuk kepada suatu acara di dalam sukan Olimpik di zaman Yunani Kuno di mana 'lima acara sukan' 'dipertandingkan' kerana penta bermaksud lima dan athlon bererti pertandingan atau acara sukan. Begitu juga octagon ialah segi lapan kerana octa ialah lapan dan gon ialah segi.

Sebab itu acara octet ialah pancaragam yang terdiri daripada lapan pemain muzik dan decathlon di dalam sukan Olimpik terdiri daripada sepuluh acara kerana deka ialah angka sepuluh di dalam Yunani Kuno. Begitu juga misalnya dengan akhiran logy yang bermaksud bidang kajian dan berasal dari perkataan Yunani logos yang bermaksud perkataan. Setiap kali kita jumpa dengan logy, kita tahu bahawa ia merujuk kepada suatu bidang kajian. Bidang kajian ini akan dijelaskan oleh suku kata yang bergabung dengan logy.

Misalnya, archaeology. Archaeo berasal daripada perkataan Yunani arche yang bermaksud asal. Jadi, archaeology ialah bidang kajian mengenai asal usul manusia dan sesuatu yang archaic pula ialah sesuatu yang lama atau kuno. Jadi, pengetahuan mengenai asal usul perkataan boleh membantu kita memahami maksud perkataan serta meneka erti perkataan yang baru.

Sebenarnya, jika kita berjumpa dengan suatu perkataan yang baru, kita tidak perlu tergesa-gesa membuka kamus untuk mencari maknanya. Satu pendekatan yang berfaedah, selain daripada mengkaji akar umbi perkataan, ialah melihat kepada konteks atau keadaan perkataan itu digunakan dan cuba meneka maksud perkataan itu daripada konteks tersebut. Dengan cara ini, bacaan kita lebih lancar kerana tidak diganggu oleh amalan membuka kamus setiap kali kita bersua dengan perkataan yang tidak diketahui maknanya. Kamus perlu dirujuk. Tetapi ia boleh dirujuk selepas kita meneka dan rujukan kepada kamus dibuat untuk mengesahkan sama ada tekaan itu betul atau tidak.

Baca kartun Nancy untuk mencari "bukti-bukti" bagi membantu kita meneka mengapa mencuci biliknya "sparked a new interest in archaeology" (merangsangkan minat baru di dalam kaji purba) di dalam diri Nancy. Apakah yang ditemui oleh Nancy dibawah katilnya? "Blouse that I lost last spring" dan "an old bag of corn chips...that I was eating...at about the same time that I lost the blouses". Inilah "barang-barang purba" yang Nancy "jumpa". Dan inilah yang dibuat oleh para archaeologists (ahli-ahli kaji purba), mereka menggali tapak tamadun lama untuk mencari peninggalan purba.

Kita pun boleh meneka apa maksud cynical di dalam kartun Beetle Bailey, suatu perkataan yang mengelirukan Zero yang menganggap bahawa ia berkaitan dengan sin (dosa). Seperti yang kita lihat di dalam beberapa pelajaran yang lalu, Zero terkeliru oleh sebutan perkataan cynical yang berbunyi sinikal sungguh pun dieja cynical.

Apakah yang dikatakan oleh Zero hingga menyebabkan Plato menegurnya supaya jangan jadi cynical? Zero berkata, "I'll believe it when I see it". Ini merupakan suatu ucapan yang digunakan apabila kita hendak menyatakan keraguan terhadap kebenaran sesuatu. Jadi, seorang cynic selalu bersikap cynical (sinis) terhadap sesuatu kerana dia selalu tidak mempercayai bahawa sesuatu itu benar.

Apakah Zero tak percaya? "They say the Pentagon will devote more time to peace efforts." (Pihak pentagon akan menumpukan lebih banyak masa untuk usaha-usaha damai.) Mungkin anda bertanya apakah kaitan "segi lima" (pentagon) dengan perang atau kedamaian? Sebenarnya, the Pentagon (perhatikan bahawa ungkapan ini mesti didahului oleh the dan P ialah huruf besar) tidak sama dengan pentagon.

Jika kita mengikuti laporan-laporan mengenai Perang Teluk, kita tentu tahu bahawa Pentagon ialah Jabatan Pertahanan Amerika. Ia digelar sedemikian kerana Jabatan Pertahanan Amerika menduduki bangunan berbentuk pentagon. Jadi, apabila the Pentagon disebut, ia bukan merujuk kepada bangunan itu tetapi institusi yang berkait dengan bangunan tersebut.

Penggunaan nama bangunan untuk mewakili sesuatu institusi kerap juga berlaku di dalam Bahasa Inggeris. Misalnya, the White House untuk Presiden Amerika Syarikat, 10 Downing Street atau Number 10 untuk Perdana Menteri British, the Kremlin untuk kerajaan pusat Russia dan Whitehall untuk pentadbiran pusat kerajaan British.


[Isi Kandungan]
Copyright © 1995-2000 Fz Sdc
nsr@melayu.com
http://www.melayu.com/nsr


1