[ Isi Kandungan | Siri 40 | Siri 41 | Siri 42 ]

Perbezaan Istilah Dan Ejaan

Oleh A.R Dean (12 Oct 1990)

Di dalam kartun The Gambols, George Gambol menelefon isterinya, Gaye, untuk menyampaikan berita baik:

They've given me a rise.
(Mereka memberi saya kenaikan gaji)

Seandainya Gary Appleby, pencipta kartun The Gambols, ialah seorang rakyat Amerika dan bukan rakyat Britain, George Gambol tidak akan berkata begitu. Sebaliknya dia akan berkata, "They've given me a raise." Sememangnya terdapat banyak perbezaan di antara Bahasa Inggeris yang digunakan di Britain dengan apa yang digunakan di Amerika Syarikat.

Jika kita menonton televisyen, kita akan mendapati terdapat perbezaan dalam sebutan. Jika kita membaca kita akan dapati bahawa ada banyak perbezaan ejaan. Perhatikan beberapa contoh ini.

Ejaan UKEjaan USA
colourcolor
centrecenter
programmeprogram
nightnite

Terdapat juga perbezaan di dalam istilah yang digunakan seperti yang terdapat dalam kartun The Gambols dan di dalam senarai ringkas berikut.

Ejaan UKEjaan USA
autumn fall
bill check
caretaker janitor
curtains drapes
flat apartment
holiday vacation
lift elevator
pavement sidewalk
postman mailman
potato chips French fries
shop store

Sekarang baca kartun Nancy dan Peanuts. Kedua-duanya dicipta oleh orang Amerika dan cuba cari ejaan atau istilah yang tergolong dalam Bahasa Inggeris Amerika. Di dalam gambar pertama kartun Nancy, dia merujuk kepada hallowen yang menjadi amalan orang Amerika daripada orang Britain. Holloween jatuh pada malam 31 Oktober.

Pada malam itu, kanak-kanak pergi rumah ke rumah dengan memakai pelbagai pakaian dan topeng "seram" dan berkata "trick or treat" apabila penghuni rumah membuka pintu. Lazimnya penghuni rumah akan memberi treat (makanan) terutamanya dalam bentuk candy. Sebab itu Nancy sibuk menyusun dan membahagi candy pada hari selepas halloween. Candy adalah istilah yang khusus digunakan di Amerika untuk gula-gula.

Orang Britain lazimnya menyatakan sweet atau sweets. Di dalam gambar ketiga kartun Nancy terdapat pula perkataan favorite, iaitu dalam ejaan Amerika tetapi di Britain dieja favourite. Di dalam gambar keempat, Nancy mempelawa kawannya, Sluggo: "Stale taffy? maksudnya "Gula-gula basi?". Taffy ialah istilah Amerika untuk toffee, sejenis gula-gula keras berwarna coklat.

Tentu saja Sluggo tidak mahu gula-gula yang telah basi! Jadi, dia menjawab dengan nada sindiran: "Yeah sure." (Ya, tentu sekali). Menjawab satu pertanyaan atau permintaan dengan menggunakan sure untuk bermaksud "Ya" dianggap sebagai kebiasaan Amerika. Di Britain perkataan certainly digunakan. Misalnya:

May I borrow your book?
Certainly. (UK)
Sure. (USA)

Are you all right?
Certainly. (UK)
Sure. (USA)

Can you sing?
I certainly can. (UK)
I sure can. (USA)

Di dalam kartun Peanuts, Marcie bertanya: "Do you think a parent can really love a kid who doesn't get strait A's? Kid merupakan satu istilah yang lazimnya digunakan oleh orang Amerika untuk merujuk kepada kanak-kanak atau orang muda. Di dalam Bahasa Inggeris Amerika kid juga boleh bermaksud adik. Misalnya:

That boy over there is my kid brother.

Snoopy pula suka makan cookies (plural bagi cookie). Orang Britain pula berkata biscuit. Oleh sebab kita di Malaysia mengamal Bahasa Inggeris baku seperti yang terdapat di Britain, kita perlu tahu sedikit sebanyak mengenai perbezaan di antara amalan bahasa di UK dan USA. Lagi pula, oleh sebab ada perbezaan di antara istilah yang digunakan untuk perkara yang sama, kita perlu tahu sama ada kita bercakap kepada orang Amerika atau Britain. Jika tidak, kita mungkin disalahfaham.

Misalnya jika anda berkata kepada seorang Amerika bahawa pejabat anda di 'first floor' Bangunan X, dia mungkin tak akan dapat mencarinya. Ini adalah kerana anda bermaksud bahawa pejabat anda di 'tingkat 1'. Tetapi mengikut kelaziman Bahasah Inggeris Amerika 'first floor' ialah 'tingkat bawah' dan bukan 'tingkat 1' seperti di dalam Bahasa Inggeris Britain. Di Britain pula 'tingkat bawah' ialah ground floor dan bukan first floor.

[Isi Kandungan]
Copyright © 1995-2000 Fz Sdc
nsr@melayu.com
http://www.melayu.com/nsr


1