Tajuk berita (headline) mempunyai gaya dan ciri tersendiri. Lazimnya, ia terdiri daripada
beberapa baris dan dicetak dengan huruf tebal yang lebih besar daripada huruf yang digunakan
untuk mencetak berita. Tujuan utama tajuk berita ialah untuk menyampaikan inti berita dengan
ringkas, padat dan tepat. Oleh kerana ruangan akhbar terhad, tajuk berita tidak mengandungi
banyak perkataan.
Usaha untuk menghadkan bilangan huruf dan perkataan yang digunakan tanpa menjejas tujuan
menyampaikan initi berita dengan tepat menghasilkan gaya tersendiri di dalam penulisan tajuk
berita. Pada asasnya, ini bermakna bahawa perkataan-perkataan yang kurang penting ditinggalkan.
Misalnya perkataan seperti 'a' dan 'the' (yang dikenali sebagai articles
di dalam nahu Bahasa Inggeris) tidak digunakan.
Jika sesuatu perkataan mempunyai erti yang sama (sinonim) yang lebih pendek, perkataan yang
lebih pendek ini akan digunakan. Misalnya, untuk menggantikan perkataan earthquake
(gempa bumi), perkataan-perkataan seperti shake, tremor atau 'quake mungkin
digunakan.
Bagi penulis tajuk berita, bilangan huruf di dalam sesuatu perkataan penting. Walaupun
sesuatu sinonim itu hanya mengurangkan bilangan huruf dengan satu huruf sahaja, dia tetap akan
memilih perkataan tersebut. Dari satu segi, dengan sengaja meninggalkan perkataan tertentu yang
lazimnya dipakai, tajuk berita nampaknya seolah-olah menyalahi peraturan bahasa. Sebenarnya
keadaan ini hanya menggambarkan bahawa penulisan tajuk berita mempunyai gaya dan ciri tersendiri
dan tidak bererti bahawa ia menggunakan bahasa yang tidak betul.
Tajuk berita mempunyai kaitan rapat dengan perenggan pengenalan di dalam berita. Lazimnya,
perenggan pengenalan di dalam berita mengandungi perkara pokok yang terkandung di dalam berita
tersebut. Oleh kerana tajuk berita menyampaikan secara ringkas, padat dan tepat inti berita,
ia terdiri daripada perkataan-perkataan yang menjadi 'kunci' (key words) kepada perenggan
pengenalan. Tegasnya, tajuk berita adalah ringkasan perenggan pengenalan.
Supaya lebih jelas lagi, baca tajuk-tajuk berita dan perenggan atau ayat-ayat pengenalan
berikut yang dipetik daripada New Straits Times, Julai 11:
Hotel guest found dead
A guest was found dead at a hotel on Jalan Anson here today.
Subra to defend V.P post at polis
Hulu Selangor MP S.S. Subramaniam said today he will defend his post of vice-president in the MIC
elections scheduled for November.
Ghafar: 10-year grant to councils extended
The Federal Government has extended the 10-year launching grant given to municipal and district
councils in Kelantan in view of their excellent services to the people.
Keempat-empat perkataan yang ada dalam tajuk berita pertama di dalam ayat pengenalan dan
dianggap sebagai key words yang menyampaikan inti berita. Sebagai ayat, tajuk berita ini
tidak lengkap dan tergantung. Sekiranya kita hendak melengkapkan ayat ini, kita terpaksa
menggunakan perkataan-perkataan yang sengaja ditinggalkan iaitu 'a' dan 'was':
A hotel guest was found dead.
Perhatikan bahawa maklumat seperti on Jalan Anson here today dianggap sebagai maklumat
tambahan kepada perkataan hotel. Justeru itu ia tidak perlu dimuatkan di dalam tajuk
berita. Lagipun, yang lebih penting, tanpa maklumat ini, inti berita tidak terjejas. Begitu juga
misalnya, di dalam tajuk berita kedua ungkapan-ungkapan in the MIC dan scheduled for
November menjadi maklumat tambahan kepada elections dan Hulu Selangor MP pula
adalah maklumat tambahan kepada perkataan Subramaniam.
Seterusnya, di dalam tajuk berita ketiga perkataan launching adalah maklumat tambahan
perkataan grant dan ungkapan municipal and districts menjad maklumat tambahan
perkataan councils. Satu teknik yang digunakan untuk mengurangkan bilangan perkataan
ialah untuk menggunakan kata gabungan (compound word). Ini berlaku apabila ungkapan guest at a
hotel di dalam berita pertama diringkaskan kepada kata gabungan hotel guest.
Begitu juga, ungkapan V-P post adalah kata gabungan yang terbit dari ungkapan post
of vice-president. Perhatikan bahawa teknik menggunakan singkatan kata (abbreviation) juga
digunakan dalam usaha mengurangkan bilangan perkataan yang digunakan di dalam tajuk berita.
Misalnya, vice-president menjadi V-P dan S.S Subramaniam menjadi Subra di dalam
tajuk berita kedua.
Seperti yang telah disebutkan di atas, sekiranya terdapat sinonim yang lebih pendek untuk
menyampaikan maksud yang sama, penulis tajuk berita akan menggunakan perkataan yang lebih pendek
itu. Ini berlaku di dalam tajuk berita kedua bila perkataan polls (5 huruf) menggantikan
perkataan elections (9 huruf) yang terdapat di dalam ayat pengenalan.
Catatan Nahu
Seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris juga mempunyai bentuk kata kerja yang aktif dan pasif.
Ingatlah bahawa passive verb mestilah mengandungi verb "be" (am/are/is/was/were/been/being)
dan past participle verb tersebut.