Sekarang musim bolasepak Piala Dunia. Jadi, agak wajarlah minggu ini kita menggunakan pertandingan
itu sebagai bahan pelajaran. Cuba baca keratan akhbar The Malay Mail, 13 Jun mengenai
perlawanan antara Mesir dengan Belanda. Menurut berita itu:
Egypt became the third Cinderella side of the World Cup yesterday when they held the
mighty Dutch to a 1-1 draw, posing the European champs endless riddles with an enchanting blend
of soccer sorcery.
Seperkara yang perlu diawasi ialah bunga bahasa di dalam ayat ini, terutamanya perkataan
riddles dan sorcery. Riddle bererti teka-teki dan sorcery bermakna sihir.
Tetapi tentulah padang bola bukan tempat untuk bermain teka-teki dan pasukan Mesir tidak pula
menggunakan ilmu sihir untuk memukau pihak lawan! Pasukan Belanda memang seolah-olah 'terpukau'
oleh corak permainan Mesir. Tetapi ini berlaku bukan kerana mereka terkena sihir.
Ungkapan "posing the European champs enless riddles with an enchanting blend of soccer
sorcery" bermaksud bahawa johan Eropah (Belanda) menghadapi masalah untuk mengatasi pasukan
Mesir yang menunjukkan corak dan mutu permainan bolasepak yang mempesonakan. Seperkara lagi yang
menarik perhatian ialah penggunaan perkataan Cinderella. Ia adalah salah satu perkataan
di dalam perbendaharaan kata Bahasa Inggeris yang berasal daripada watak terkenal di dalam
kesusasteraan Barat.
Perkataan yang berasal daripada watak di dalam kesusateraan juga tidak asing bagi Bahasa
Malaysia. Misalnya, jika seseorang mengharapkan sesuatu yang mustahil, kita berkata dia
berangan-angan Maj Jenin. Anda mungkin tahu bahawa Cinderella ialah gadis di dalam cerita
dongeng kanak-kanak. Cinderella ialah seorang anak yatim yang hidup penuh sengsara
kerana ditindas oleh ibu tirinya. Akhirnya dia berkahwin dengan seorang putera raja dan hidup
bahagia.
Perkataan Cinderella ini masuk ke dalam perbendaharaan kata Bahasa Inggeris untuk
merujuk kepada mana-mana gadis yang mengalami riwayat hidup yang sama, iaitu orang miskin yang
tiba-tiba menjadi kaya. Di samping itu seorang Cinderella ialah orang atau benda yang
mempunyai keistimewaan, kecekapan, kepandaian dan sebagainya yang tidak diiktiraf atau diakui
oleh orang lain atau "dianaktirikan".
Lazimnya seorang Cinderella ialah seorang gadis. Kita tidak boleh menggunakan
perkataan ini untuk lelaki. Tetapi ia boleh juga digunakan kepada perkara lain yang dianggap
sebagai "perempuan" dari segi nahu. Misalnya, sebuah negeri boleh dianggap sebagai "perempuan".
Sebab itu perkataan ini boleh digunakan untuk merujuk kepada negeri Mesir dan juga pasukan
bolasepaknya. Perkataan ini digunakan untuk menunjukkan bahawa dahulu kebolehan pasukan Mesir
disangsikan atau belum menyerlah. Tetapi selepas berjaya menandingi kehebatan Belanda, kebolehannya
terserlah.
Selain daripada perkataan Cinderella terdapat beberapa perkataan lagi yang berasal
daripada watak yang terdapat di dalam kesusateraan Barat. Begitulah asal-usul perkataan robot,
sejenis mesin yang dapat melakukan pekerjaan manusia. Kita boleh juga menggunakan perkataan ini
untuk manusia. Orang yang membuat segala yang disuruh tanpa memikir bertindak macam robot.
Sebenarnya, perkataan robot berasal dari perkataan Czech robota yang bererti
kerja. Perkataan ini masuk ke dalam Bahasa Inggeris melalui sebuah drama berjudul R.U.R
(Rosum's Universal Robots) oleh penulis bangsa Czech bernama Karel Capek. Drama ini
dipentaskan di London tiga tahun kemudian.
Orang yang quixotic pula ialah orang yang idealistik tetapi tidak praktikal. Sungguhpun
ide atau rancangannya baik dan penuh dengan idealisme tetapi ia tidak boleh dilaksanakan.
Perkataan ini berasal daripada watak utama bernama Don Quixote di dalam novel Don
Quixote de Mancha oleh penulis Sepanyol bernama Miguel de Cervantes.
Di dalam Bahasa Melayu, orang lelaki yang suka bertukar-tukar pasangan wanitanya dan
meninggalkan mereka selepas dinodai dikenali sebagai buaya darat. Di dalam Bahasa Inggeris
terdapat beberapa perkataan seperti Casanova, Don Juan dan Lothario bagi lelaki
yang kaki perempuan.
Casanova yang asal ialah seorang bangsa Itali bernama Goivanni Jacopo Casanova yang
hidup di dalam abad ke 18. Di dalam riwayat hidupnya yang diterbitkan di dalam 12 jilid, dia
mendakwa bahawa dia mempunyai 130 kekasih. Lothario pula merupakan watak di dalam
cerita The Fair Penitent. Orang yang bakhil dikenali sebagai Scrooge. Ini diambil
dari watak Ebenezer Scrooge yang tedapat di dalam novel A Christmas Carol oleh
Charles Dickens.
Orang kulit hitam yang suka berbaik-baik dengan orang kulit putih dihina oleh bangsanya
sendiri dengan cemuhan Uncle Tom. Perkataan ini berasal daripada watak Uncle Tom di dalam
novel anti-perhambaan berjudul Uncle Tom's Cabin yang ditulis oleh Harriet Beech Stowe
pada pertengahan abad ke 19.
Orang yang kadang-kadang baik dan kadang-kadang jahat, iaitu mempunyai dua peribadi yang
bertentangan, dianggap sebagai mempunyai peribadi Jekyll and Hyde. Ini diambil dari
novel Robert Louis Stevenson, The Strange Case of Dr Jekyll and Mr Hyde. Dr Jekyll
merupakan peribadi yang baik yang terperangkap di dalam peribadi jahat Mr Hyde.
Latihan
Cuba cari maksud perkataan berikut yang berasal daripada novel Jonathan Swift, Gulliver's
Travels: