Perhatikan beberapa ungkapan dan perkataan berikut yang disiarkan dalam iklan (New Straits
Times, 18 Jun) Nasi Dagang, Daging Gulai, Ayam Percik, Sotong Sumbat, Laksa Terengganu,
songket, mengkuang dan batik painting. Kemudian baca ayat berikut yang dipetik daripada laporan
agensi berita Associated Press mengenai peristiwa yang berlaku di India Utara:
Groups of men in sarongs negotiated with the guardians of prospective wives, discussing
points such as the prospective husband's salary and the attractiveness of the would-be bride.
(The Malay Mail, Jun 19)
Walaupun petikan-petikan ini ditulis dalam Bahasa Inggeris, ada beberapa perkataan dan
ungkapan Bahasa Melayu. Satu sebab mengapa perkataan Melayu digunakan kerana tidak ada perkataan
persamaan di dalam Bahasa Inggeris. Jenis masakan seperti Nasi Dagang, Ayam Percik, Sotong
Sumbat dan Laksa Terengganu adalah masakan Melayu. Songket ialah pakaian Melayu dan mengkuang
pula bahan anyaman kerja tangan orang Melayu.
Jadi, "terpaksalah" perkataan Melayu digunakan. Sebab itulah juga penjelasan dibuat di dalam
Bahasa Inggeris di dalam kurungan supaya permbaca tahu maksud perkataan Melayu itu. Begitulah juga
sekiranya kita menulis di dalam Bahasa Melayu. Jika kita hendak makan 'pizza', misalnya terpaksalah
kita menggunakan perkataan itu kerana tidak ada perkataan Melayu untuk masakan itu.
Tetapi lain pula keadaannya bagi perkataan 'batik' dan 'sarung'. Perkataan-perkataan Melayu
ini juga perkataan Inggeris. 'Batik' dan 'sarung' adalah perkataan Melayu yang dipinjam oleh
Bahasa Inggeris. Oleh kerana demikian, perkataan seperti ini juga merupakan sebahagian daripada
perbendaharaan kata Inggeris dan dimuatkan di dalam kamus Bahasa Inggeris.
Semua bahasa meminjam perkataan dan istilah daripada bahasa-bahasa lain. Ada dua jenis
kata pinjaman dalam Bahasa Inggeris. Satu kumpulan adalah daripada perkataan yang dianggap telah
diserap masuk sepenuhnya ke dalam Bahasa Inggeris, iaitu telah begitu sebati dan 'diinggeriskan'
sepenuhnya sehingga ia tidak lagi dianggap sebagai perkataan asing.
Inilah kedudukan perkataan 'batik' dan 'sarung' di dalam Bahasa Inggeris. Dan inilah kedudukan
sebilangan besar perkataan di dalam iklan itu yang sebenarnya dipinjamkan dari pada bahasa
asing. Misalnya, 'chef' (Perancis), 'barbecued' (Haiti), 'delirium' (Latin). Apabila 'batik'
dan 'sarung' dipinjamkan oleh Bahasa Inggeris, tidak berlaku perubahan di dalam ejaan. Begitu juga
dengan perkataan 'amuk' dan 'gong'.
Tetapi biasanya kata pinjaman mengalami perubahaan ejaan. Misalnya 'orang-utan' (orang-hutan),
'bamboo' (bambu), 'rattan' (rotan), 'gingham' (dari genggang, sejenis kain yang bercorak jalur-jalur),
'sago' (sagu), 'paddy' (padi), 'nipa' (nipah), 'gutta-percha' (getah percha), 'kris' (keris).
Perkataan-perkataan yang berasal daripada Bahasa Melayu ini sudah beratus tahun berada di dalam
perbendaharaan kata Bahasa Inggeris hingga tidak lagi dianggap asing. Misalnya, perkataan 'sago'
digunakan sejak abad ke-16, 'amok' sejak abad ke-17, 'caddy' sejak abad ke-18 dan 'batik' sejak
abad ke-19.
Ada beberapa perkataan Melayu yang bukan hanya mengalami perubahan di dalam ejaan tetapi juga
di dalam makna. Di dalam perkataan 'tea-caddy', 'caddy' berasal daripada perkataan Melayu 'kati'.
Kita tahu makna 'kati'. Tetapi, entah mengapa, 'tea-caddy' bermaksud kotak untuk menyimpan daun
teh. Begitu juga dengan perkataan 'kampung' yang mengalami perubahan makna apabila menjadi
'compound' (halaman rumah).
Tetapi 'kampung' juga dipinjam oleh Bahasa Inggeris tanpa perubahan ejaan dan juga perubahan
maksud. Perkataan 'kampung' yang dipinjam sedemikian rupa tergolong ke dalam kumpulan kedua
kata pinjaman di dalam Bahasa Inggeris. Begitu juga dengan 'kapuk' dan 'ronggeng'.
Kumpulan kedua ini adalah daripada perkataan yang dianggap sebagai belum 'diinggeriskan'
sepenuhnya dan masih dianggap perkataan asing sungguh pun ia tergolong ke dalam perbendaharaan
kata Bahasa Inggeris dan tercatat di dalam kamus Inggeris. Lazimnya, perkataan seperti ini dicetak
di dalam bentuk huruf condong atau 'italic' untuk menunjukkan bahawa ia masih merupakan perkataan
asing. Sebagai contoh, perkataan pinjaman dari bahasa Perancis 'coup d'etat' (penggulingan kerajaan
dengan menggunakan kekerasan), akan dicetak sebagai coup d'etat.
Selain daripada perkataan Melayu di atas, ada beberapa perkataan lain yang terdapat di dalam
Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris. Tetapi perkataan Melayu ini sebenarnya dipinjamkan oleh
Bahasa Melayu dari bahasa lain. Jadi, apabila perkataan seperti ini terdapat di dalam Bahasa
Inggeris, ia datang daripada bahasa asal dan bukan dari Bahasa Melayu. Misalnya, 'raja' (Hindi),
dan 'sultan' (Arab).
Bila kita jumpa perkataan 'guru' di dalam Bahasa Inggeris, kita harus berhati-hati.
Penggunaannya agak berbeza sedikit daripada maksudnya di dalam Bahasa Melayu. Di dalam Bahasa
Inggeris, 'guru' tidak digunakan dengan maksud 'teacher', iaitu 'cikgu, pendidik, pengajar'.
Ia lebih mirip kepada 'guru' seperti yang digunakan di dalam ungkapan 'Tok Guru', iaitu guru
agama atau pemimpin agama yang berpengaruh yang mengetuai kumpulan atau aliran agama.
Akhir sekali, perhatikan ungkapan 'tongues a-wagging'. Ini bermaksud menggerakkan lidah.
Apa tidaknya! Apabila terasa pedas, mulalah lidah terjelir. Tetapi, ungkapan ini juga bermaksud
membawa mulut atau menjadi buah mulut orang. Perhatikan juga bahawa 'a' di dalam 'a-wagging'
tidak bermakna 'satu' (seperti 'He owns a cat' = Dia mempunyai seekor kucing). Perkataan 'a'
merujuk kepada suatu perbuatan yang sedang berlaku.
Latihan:
Adakah anda tahu daripada bahasa apakah Bahasa Inggeris meminjam perkataan 'pizza'? Perkataan-perkataan
berikut yang ada di dalam iklan di atas juga berasal daripada bahasa asing. Cuba-cari bahasa asal
mereka.