[ Siri 21 | Siri 22 | Siri 23 ]

'Fast', 'Fasting' dan 'Breakfast'

Oleh A.R Dean (1 Jun 1990)

Baca ayat atau ungkapan berikut yang dipetik daripada The Malay Mail, 22 Mei:

  1. More than three centuries after John Cutt contracted a fatal ilness, New Hampshire still observes an anual day of fasting and prayer for his recovery.
  2. Fast food getting faster.
    Rock Hudson: Part of the same fast, gay set.
Dalam ayat pertama, fasting bermakna puasa, iaitu menahan diri daripada makan dan minum. Bagi kebanyakan penduduk di New Hampshire puasa sehari yang dilakukan sejak 309 tahun dulu adalah sebagai satu upacara keagamaan mereka. Dalam Siri 16, kita sudah belajar bagaimana verb (kata kerja) berubah fungsi menjadi noun (kata nama) apabila ditambah dengan -ing di hujung (iaitu verb tersebut menjadi gerund).

Jadi, fasting ialah gerund (fast + ing), dan kata dasar fast ialah verb. It is obligatory for Muslims to fast during Ramadan. (Orang Islam wajib berpuasa pada bulan Ramadan). Ramadan is fasting month. (Ramadan ialah bulan puasa). Fast juga boleh digunakan sebagai noun. Misalnya:

Muslims observe a fast of six days in the month of Syawal.
(Orang Islam berpuasa selama enam hari di dalam bulan Syawal).

Muslim break fast at sunset.
(Orang Islam berbuka puasa pada waktu maghrib).

Perhatikan di dalam ayat terakhir, break fast ialah dua perkataan yang berasingan. Anda tentu tahu bahawa apabila break dan fast digabungkan menjadi breakfast (noun), lain pula maknanya, iaitu sarapan pagi. Secara hurufiah breakfast memang bermaksud berbuka puasa. Waktu sarapan pagi dianggap sebagai waktu 'berbuka puasa' kerana semalam-malaman seseorang itu seolah-olah 'berpuasa'. Apabila dia bersarapan pagi, itulah kali pertama di makan dan minum selepas 'berpuasa' sepanjang malam. Sebab itulah sarapan pagi diistilahkan sebagai breakfast di dalam Bahasa Inggeris.

Apabila tiba waktu berbuka puasa, tentulah seseorang yang berpuasa tidak sabar-sabar hendak makan dan minum. Dia tentu tidak mahu memesan dan terpaksa menunggu beberapa ketika sebelum pesanan makanannya itu dimasak. Di dalam budaya Barat, restoran atau kedai makan lazimnya hanya memasak makanan selepas dipesan oleh pelanggan. Misalnya sekirannya anda memesan "T-bone steak', anda terpaksa tunggu 'steak' itu dimasak.

Jadi, muncullah restoran seperti McDonalds, A & W dan banyak lagi yang menyediakan makanan yang sudah sedia masak, iaitu fast food. Iaitu pelanggan memesan makanan dan mendapatkan makanan yang dipesan dengan segera. Jadi, perkataan fast di dalam fast food bermakna cepat, pantas, laju. Perhatikan bahawa fast dengan maksud ini berfungsi sebagai adjective (kata sifat).

Ia juga boleh membawa maksud cepat tetapi berfungsi sebagai adverb (kata keterangan). Misalnya : Don't speak so fast (quickly). (Jangan cakap cepat sangat). Kalau kita menggunakan adjective untuk membandingkan suatu perkara dengan yang lain, lazimnya kita patut menggunakan bentuk khusus adjective tersebut. Misalnya untuk menyatakan 'lebih laju daripada' yang lain, kita menggunakan perkataan faster dan bukan fast. Dan untuk menyatakan 'paling laju', kita menggunakan perkataan fastest.

Banyak adjektif perbandingan (tetapi bukan semua) di dalam Bahasa Inggeris dibentuk dengan menambahkan -er dan -est. Misalnya: warm, warmer, warmest, cold, colder, coldest, dark, darker, darkest dan banyak lagi. Bagaimana pula dengan maksud fast di dalam ungkapan 'part of the fast, gay set'? Apabila perkataan ini digunakan untuk orang atau gaya hidup seseorang ia bermaksud gaya hidup yang liar, tak berakhlak, yang tertumpu kepada 'keseronokan dunia' seperti minum arak, berjudi dan sebagainya.

Rock Hudson dikatakan menjadi salah seorang anggota kumpulan homoseks yang mempunyai gaya hidup yang liar. Perkataan fast juga mempunyai pelbagai maksud yang lain apabila digunakan sebagai adjective. Jika ia digunakan kepada warna (fast colour), ia bermaksud warna yang tidak pudar. Jika seseorang itu 'fast asleep', ini bermakna ia sedang tidur dengan nyenyak. Fast juga boleh merujuk kepada sesuatu yang ketat atau tidak boleh diubah, seperti 'hard and fast rules' (peraturan yang ketat).

Catatan

Walaupun gay asalnya adjective yang merujuk kepada sesuatu yang riang dan gembira (misalnya, gay colours, gay music), di dalam bahasa colloquial ia bermaksud seorang homoseks. Dan kumpulan homoseks Barat juga lebih suka dikenali sebagai gay. Merekat tidak suka istilah colloquial seperti queer, fairy yang juga merujuk kepada kumpulan homoseks.

Latihan

Cari maksud perkataan fast di dalam ayat-ayat berikut:
  1. His watch is ten minutes fast.
  2. Hold fast to the rope.
  3. He used to lead a fast life.

[Isi Kandungan]
Copyright © 1995-1999 Fz Sdc
nsr@melayu.com
http://www.melayu.com/nsr


1