Pada dua minggu lalu, kita mempelajari secara ringkas beberapa perkara mengenai
tense. Soal nahu seperti tense sering menimbulkan masalah. Tetapi,
kadang-kadang perkara yang telah diketahui pun boleh menimbulkan masalah. Lihat
istilah hit, misalnya. Ia adalah satu perkataan yang hanya mengandungi tiga
huruf dan mungkin salah satu perkataan awal yang dipelajari di dalam Bahasa Inggeris.
Kita tahu bahawa apabila ia digunakan sebagai verb, ia bermaksud "memukul".
Misalnya, "He hit a man on the head" (Dia memukul kepala orang itu).
Tetapi perhatikan bagaimana pula perkataan hit digunakan di dalam ayat ini,
"Which house do we hit tonight?" (Sila lihat gambar 2 kartun Rip Kirby).
Adakah kedua-dua orang di dalam gambar itu bercadang 'memukul' atau 'mengetuk' atau
'meruntuhkan' rumah?
Di dalam ayat berkenaan, hit sebenarnya bererti 'menyerang' atau lebih tepat
lagi 'merompak' atau 'pecah rumah'. Hit yang mempunyai maksud begini sebenarnya
berasal daripada slang atau bahasa khas yang digunakan di kalangan penjenayah di
Amerika Syarikat. Apabila seorang penjenayah Amerika berkata, "He's the man I have to
hit, dia berkata bahawa itulah orang yang dia akan 'bunuh'.
Daripada ini, timbul ungkapan hit man (yang bererti seorang pembunuh upahan)
yang sering terdengar di dalam rancangan TV, terutama di dalam siri jenayah keluaran
Amerika Syarikat. Di dalam Bahasa Melayu, kadang-kadang kita berkata, "Orang itu cakap
Bahasa Inggeris dengan 'slang' Mat Salleh."
Slang sebenarnya bukanlah loghat atau cara sebutan. Ia merujuk kepada perkataan
atau ungkapan yang digunakan oleh ramai orang tetapi tidak diterima oleh sebahagian
besar masyarakat sebagai bahasa baku. Kadang-kadang dikatakan bahawa slang ialah
bahasa tidak formal yang digunakan di dalam perbualan saja dan tidak boleh digunakan
di dalam bahasa persuratan.
Dari satu segi, ini memang benar. Tetapi ini tidak bermakna bahawa semua slang
tidak boleh digunakan di dalam penulisan. Bahasa colloquial juga bahasa tidak
formal. Ia berbeza daripada slang dari segi penerimaan masyarakat. Bahasa
colloquial digunakan dan difahami oleh hampir semua orang sungguhpun ia tidak
dianggap sebagai bahasa baku.
Dari segi ini, slang boleh meningkat menjadi bahasa colloquial. Dan
kadang-kadang bahasa colloquial boleh meningkat menjadi bahasa baku. Jadi,
sungguhpun slang dan bahasa colloquial adalah bahasa tak formal, mereka
sering digunakan di dalam perbualan dan penulisan. Jadi, untuk memahami dan menggunakan
Bahasa Inggeris, kita perlu juga mempelajari slang.
Misalnya, hit juga digunakan secara colloquial dengan maksud 'sampai'.
Misalnya, "His new book hit the best seller list" (Buku barunya
dimasukkan di dalam senarai buku yang paling laris dijual). Begitu juga "We hit
the main road a mile from the river" (Kami tiba di jalan raya yang terletak hampir
sebatu daripada sungai).
Tetapi idiom 'hit the road' juga adalah slang yang bererti 'memulakan
perjalanan'. Satu lagi idiom yang bersifat slang ialah hit the hay
atau hit the sack yang bermaksud 'tidur'. Lihat pula ayat ini: "The record was
a big hit and sold a million copies." (Rekod itu 'meletup' dan dijual
sejuta naskah).
Hit di dalam ayat ini merupakan bahasa colloquial dan digunakan sebagai
noun dengan maksud 'kejayaan'. Hit juga digunakan di dalam beberapa
idiom yang colloquial seperti hit the roof atau hit the
ceiling (menjadi sangat marah), hit the bottle (minum terlalu banyak minuman
alkohol), hit the deck (baring dengan serta merta) dan hit the jackpot
(mencapai kejayaan atau menjadi kaya).
Hit juga bergabung dengan perkataan lain untuk menjadi perkataan yang baru.
Ini berlaku apabila hit bergabung dengan run untuk membentuk hit-and-run.
Hit-and-run berfungsi sebagai adjective untuk merujuk kepada kemalangan
jalan raya di mana pemandu yang menyebabkan kemalangan itu melarikan diri dan tidak berhenti
untuk membantu mangsa kemalangan. Hit-and-run juga digunakan untuk serangan tentera yang dilakukan secara mengejut
di mana pasukan penyerang menyerang dengan tiba-tiba dan berundur secepat mungkin.
Latihan
Ada satu lagi perkataan tiga huruf di dalam kartun Rip Kirby, iaitu get.
Gunakan kamus untuk memberi makna dan kegunaan perkataan ini yang begitu banyak sekali.