[ Siri 16 | Siri 17 | Siri 18 ]

'Present, Past And Future Tense'

Oleh A.R Dean (27 Apr 1990)

Minggu lalu kita mempelajari apabila -ing ditambah kepada verb, ia boleh berfungsi sebagai present continuous tense dan juga sebagai gerund. Fungsi -ing yang berbeza-beza ini boleh menimbulkan kekeliruan. Sebenarnya tense sering menimbulkan masalah bagi pelajar Bahasa Inggeris.

Dari segi nahu, tense ialah masa. Tegasnya, tense menunjukkan masa sesuatu perbuatan atau keadaan itu berlaku atau dilakukan. Pada asasnya ada tiga 'masa', iaitu:

  1. masa sekarang (present)
  2. masa lampau (past)
  3. masa akan datang (future)
Bagi setiap 'masa asas' ini ada tiga jenis tense:

simple
perfect
continuous


Ingatlah bahawa hanya verb (kata kerja) sahaja yang mempunyai tense. Bentuk asas verb akan berubah mengikut tense. Lazimnya perubahan ini dilakukan melalui perubahan di dalam ejaan. Bagi kebanyakan verb, kita hanya perlu menambahkan -ed atau -d untuk membentuk past tense dan past participle. Misalnya, walk menjadi walked, rule menjadi ruled.

Dari segi nahu, verb yang ditambah dengan -ed atau -d untuk membentuk past tense dikenali sebagai regular verb. Seperti dikatakan tadi, kebanyakan verb di dalam Bahasa Inggeris adalah regular verb. Tetapi ada lebih kurang 200 verb yang tidak ditambah dengan -ed atau -d untuk membentuk past tense dan past participle. Verb seperti ini dikenali sebagai irregular verb.

Kebetulan pula kebanyakan daripada verb yang digunakan di dalam kartun bersiri Rip Kirby adalah daripada irregular verb. Misalnya:

infinitivepresent participlepast tensepast participle
(to) getgettinggotgot
(to) keepkeepingkeptkept
(to) givegivinggavegave
(to) knowknowingknewknown
(to) dodoingdiddone
(to) hithittinghithit

Bentuk infinitive digunakan untuk simple present tense dan future tense (shall/will + infinitive). Bentuk present participle digunakan untuk continuous tense. Bentuk past tense digunakan untuk simple past tense. Bentuk past participle digunakan untuk perfect tense (has/have/had + past participle).

Perhatikan bahawa ada verb seperti hit yang langsung tidak berubah bentuknya (kecuali dalam continuous tense). Ada pula verb seperti get, keep dan give yang mempunyai bentuk yang sama bagi past tense dan past participle. Dan ada pula verb seperti know dan do yang mempunyai bentuk yang berbeza bagi past tense dan past participle.

Apa yang penting ialah penggunaan tense yang bersesuaian dengan 'masa' perbuatan itu berlaku atau dilakukan. Ini juga bermakna mengubah bentuk verb jika perlu. Sebagai contoh mari kita lihat gambar-gambar di dalam kartun Rip Kirby. Salah seorang watak berkata, "Ginley gave me the address".

Dia menggunakan simple past tense untuk merujuk kepada perbuatan yang berlaku pada masa lepas - sebentar tadi, lima minit yang lepas, kelmarin dan sebagainya. Sekiranya orang tersebut merujuk kepada perbuatan tersebut sebagai perbuatan yang akan berlaku di masa akan datang, tense perlu pula diubah kepada simple future tense. Misalnya, "Ginley shall give me the address".

Katakanlah sewaktu perbuatan itu berlaku, ada orang lain melihatnya. Jika orang itu melaporkan perbuatan itu kepada orang lain sebagai perbuatan yang sedang berlaku (seperti perbuatan di dalam gambar 1), tense perlu diubah kepada present continuous tense: "Ginley is giving him the address".

Salah satu perkara yang mungkin mengelirukan ialah past continuous tense. Ada dua unsur yang perlu difahami mengenai tense ini. Pertama, perbuatan itu berlaku di masa yang lepas. Tetapi, kedua, pada masa yang lepas itu, perbuatan itu "sedang berlaku".

Lihat semula gambar 1 kartun Rip Kirby. Perempuan itu berkata, "Rip knows what he's doing". Sekiranya perempuan itu mengubah "masa" yang dia rujuk daripada "masa sekarang" kepada "masa lepas" maka tense perlu diubah. Perhatikan bahawa terdapat dua perbuatan yang dirujukkan. Pertama, know. Kedua, do. Jadi, kedua-dua verb ini perlu diubah bentuk mereka.

"Rip knew what he was doing".

Kita tidak boleh berkata "Rip knows what he was doing" kerana ada perselisihan antara dua "masa". Knows berlaku pada "masa sekarang" pada hal "was doing" "sedang" berlaku pada "masa lepas". Kita juga tidak boleh berkata "Rip knew what he's doing" di atas sebab yang sama.

Nota:
Harap maaf kerana imej kartun tidak dapat diletakkan buat masa ini.

Latihan

Tukar verb yang terdapat di dalam ayat berikut kepada simple past tense.
  1. It is getting dark.
  2. What is keeping your friend Kirby?
  3. Which house do we hit tonight?

[Isi Kandungan]
Copyright © 1995-1999 Fz Sdc
nsr@melayu.com
http://www.melayu.com/nsr


1