[ Siri 15 | Siri 16 | Siri 17 ]

Penggunaan 'Present Continuous Tense'

Oleh A.R Dean (20 Apr 1990)

Cuba baca dialog yang di dalam kartun bersiri Rip Kirby. Perhatikan kata-kata Tweedy dalam gambar pertama. (Harap maaf, hanya dialog dapat disiarkan disini)

Tweedy: It's getting dark... What's keepin' your friend Kirby?
Kirby's friend: Don't worry, Tweedy, Rip knows what he's doing.

"It's getting dark...What's keeping your friend Kirby?" (Ingat bahawa "It's" ialah singkatan bagi "It is" dan "What's" ialah singkatan bagi "What is"). Tweedy menggunakan present continuous tense kerana keadaan atau perbuatan yang dia maksudkan masih 'sedang berlaku' pada 'masa sekarang'. Misalnya, Tweedy sedang berkata bahawa hari sedang bertukar 'menjadi' malam. Keadaan ini sedang berlaku dan belum tamat pada masa ia bercakap. Sebab itu dia berkata "It's getting dark". (Hari semakin atau 'menjadi' bertambah gelap).

Begitu juga, Kirby masih belum muncul pada masa Tweedy bercakap. Jadi, jika ada sebab atau halangan mengapa Kirby tidak datang, tentu sebab atau halangan itu masih dan sedang 'bertindak' terhadapnya. Sebab itu Tweedy bertanya, 'What's keeping your friend Kirby?" (Mengapakah Kirby lambat? Atau apakah yang menyebabkan Kirby lambat?)

Perhatikan bahawa present continuous tense dibentuk dengan menambahkan -ing, kita tidak boleh menggunakan semua verb di dalam tense ini. Perhatikan jawapan wanita di dalam gambar pertama:

"Don't worry, Tweedy. Rip knows what he's doing".

Verb "know" tidak boleh digunakan di dalam present continuous tense. Wanita tersebut tidak boleh berkata "Rip is knowing what he's doing". Begitu juga, sungguhpun kita boleh berkata, misalnya, bahawa "I know how to speak English", kita tidak boleh berkata "I am knowing how to speak English". (Perhatian: "know how to speak English" dan bukan "know to speak English").

Namun demikian memang terdapat perkataan knowing di dalam Bahasa Inggeris. Tetapi ia bukanlah bentuk present continuous tense verb 'know'. Apabila kita berjumpa dengan perkataan knowing ia mungkin sebuah adjective (sifat nama) atau noun (nama). Apabila knowing digunakan sebagai adjective ia membawa maksud pintar, berpengetahuan atau mengetahui sesuatu rahsia. Misalnya, 'a knowing' ialah orang yang pandai. "He said nothing but gave us a knowing look". (Dia tidak berkata apa-apa tetapi memberi pandangan yang penuh bererti, iaitu pandangan yang menunjukkan bahawa dia mengetahui sesuatu).

Seringkali apabila -ing ditambah kepada verb ia bukan lagi berfungsi sebagai noun. Verb yang bertukar menjadi noun dengan penambahan -ing dikenali sebagai gerund. Inilah yang berlaku kepada know di dalam ayat berikut:

"There's no knowing what the weather will be tomorrow."
(Adalah sukar untuk mengetahui apakah keadaan cuaca pada esok hari).

Perhatikan fungsi yang berbeza apabila -ing ditambah kepada verb di dalam ayat-ayat berikut:

I am cooking a meal.
(Cooking berfungsi sebagai present continuous tense. Saya sedang masak)

I dislike cooking. (cooking berfungsi sebagai gerund, verb di dalam ayat ini ialah dislike (present tense) Saya tidak suka memasak). He is listening to the radio. (listening berfungsi sebagai present continuous tense. Dia sedang mendengar radio). He enjoys listening to the radio. (listening berfungsi sebgai gerund, verb di dalam ayat ini ialah enjoys (present tense) - Dia suka mendengar radio).

Ahmad is writing a novel. (writing berfungsi sebagai present continuous tense - Ahmad sedang menulis novel). Ahmad spent five years writing his novel. (writing berfungsi sebagai gerund, verb di dalam ayat ini ialah spent (past tense) - Ahmad mengambil masa lima tahun untuk menulis novelnya). Gerund juga sering digunakan di dalam papan kenyataan sepert "No Parking" ( Do not park here) atau "No Smoking" (Do not smoke here).

Catatan

Penjelasan di atas (dan di dalam beberapa siri akan datang) mengandungi beberapa istilah bahasa atau nahu (present continuous tense, gerund, dll). Seperti ditegaskan di dalam beberapa siri yang lalu, tidak penting anda tahu atau ingat istilah seperti ini. Apa yang penting ialah anda cuba memahami perbezaan dan perubahan yang berlaku apabila sesuatu perkataan itu berubah fungsinya.

Latihan

Tentukan sama ada verb yang ditambah -ing berfungsi sebagai present continuous tense atau gerund di dalam ayat-ayat berikut. Ingatlah bahawa sekiranya ia berfungsi sebagai gerund, ada perkataan lain yang berfungsi sebagai verb.
  1. Dancing is good exercise.
  2. He hates getting up early in the morning.
  3. Sudirman is not performing tonight.
  4. No swimming in this lake.
  5. Are you fasting today?

[Isi Kandungan]
Copyright © 1995-1999 Fz Sdc
nsr@melayu.com
http://www.melayu.com/nsr


1