:: puisi klasik ::

Puisi klasik adalah pancaran masyarakat lama yang membawa sikap dan minda masyarakat pada masa tersebut. Sering kali puisi-puisi ini digarap dalam pelbagai bentuk seperti pantun, syair, seloka, gurindam dan mantera. Kebanyakan puisi klasik ini sarat dengan nilai kekeluargaan dan kepercayaan leluhur kita. Inilah antara sebab untuk kita mengkaji dan menilai sendiri jati diri bangsa kita yang kaya dengan adat resam ketimuran.

|Pantun

Puisi Melayu klasik yang paling tua dan popular ialah pantun. Pantun dikatakan popular kerana mempunyai bentuk struktural yang ringkas dan bersahaja. Jumlah barisnya juga pelbagai: ada pantun dua kerat, pantun empat kerat, enam kerat, lapan kerat, dan ada juga yang sepuluh kerat. Seterusnya, terdapat juga sejenis pantun yang rangkapnya berkait antara satu sama lain, dan dikenali sebagai pantun berkait. Namun pantun yang paling digemari merupakan pantun empat kerat. Dari sudut penggubahan, pantun dapat dicipta dengan mengikuti syarat-syarat di bawah ini:-

  • setiap baris terdiri daripada 8 hingga 12 suku kata.
  • rima akhirnya (untuk pantun empat kerat) ialah a b a b.
  • ada pembayang dan juga maksud.

Walaupun mudah membina baris-baris yang terdiri daripada 4 atau 5 perkataan (atau 8 hingga 12 suku kata), tetapi bukan semua yang terbina mempunyai nilai keindahan. Hal ini kerana pantun yang bermutu memiliki ciri-ciri semantik atau permaknaan yang menarik. Kerap kali unsur-unsur alam menjadi penghias pantun-pantun romantik. Manakala pantun-pantun yang bertema keagamaan, nasihat, lelucon dan sebagainya, didapati imej-imejnya disesuaikan dengan tema. Contoh pantun di sini.

|Syair

Syair merupakan sejenis puisi klasik yang kelihatan menyerupai bentuk pantun kerana suku kata untuk baris-barisnya menyerupai bentuk pantun. Akan tetapi, syair memiliki syarat-syarat lain yang berbeza daripada pantun. Syarat-syaratnya ialah:-

  • setiap baris terdiri daripada 8 hingga 12 suku kata.
  • rima akhirnya ialah a a a a.

Syair tidak mempunyai pembayang. Rangkap syair terbina daripada maksud-maksud. Maksud atau isi syair biasanya merupakan cerita, atau berunsurkan nasihat. Contoh syair di sini.

|Gurindam

Gurindam tidak mempunyai definisi dan konsep yang mantap. Gurindam berasal daripada bahasa Tamil yang bermaksud umpama.Terdapat beberapa khilaf atau pandangan yang berbeza antara para pengkaji. Ada pengkaji menyatakan bahawa gurindam tidak terikat dengan peraturan yang khusus. Terdapat pula pengkaji yang menyatakan bahawa rangkap gurindam terdiri daripada dua baris. Tetapi secara keseluruhannya, gurindam banyak mengemukakan nasihat, pandangan, atau gambaran sesuatu keadaan. Contoh gurindam di sini.

|Seloka

Seloka dipercayai berasal daripada bahasa Sanskrit yang membawa maksud seperti juga gurindam iaitu umpama. Oleh sebab maknanya bersamaan dengan gurindam, maka sifat seloka juga tidak jauh berbeza daripada sifat gurindam dari sudut maksud atau isinya. Seloka memuatkan sindiran atau kiasan yang tajam. Bentuknya tidak terikat apada peraturan tertentu, namun ada juga yang berbentuk seperti syair. Contoh seloka di sini.

 
:: laman utama :: :: sumbangsih :: :: puisi klasik :: :: puisi moden :: :: swakarya :: :: em@il :: :: link :: :: buku pelawat ::
1