Dalam kartun Beetle Bailey watak yang dikenali sebagai 'Sarge' (perkataan
di dalam bahasa tak formal yang menjadi singkatan daripada sergeant, pangkat
di dalam tentera atau orang yang memegang pangkat berkenaan) menegur Plato kerana
buku-bukunya bertaburan menyebabkan biliknya tidak kemas: "Plato, it's great to
read, but those books are a mess."
Perhatikan semula bahagian ayat berikut:"Those books are a mess. (Buku-buku
itu tidak kemas). Seperti yang kita pelajari selama dua minggu yang lepas, kerap kali
kita perlu menggunakan a, an atau the di hadapan kata nama. Jadi, kita
tidak boleh berkata: "Those books are mess." Perkataan mess juga tidak
mempunyai bentuk jamak (plural). Jadi, kita juga tidak boleh berkata: "Those
books are messes." Sebenarnya perkataan mess perlu didahulukan oleh a, an
atau the. Misalnya:
This room's in a mess.
(Bilik ini tidak kemas.)
What an awmful mess!
(Heesh! Kotornya!)
The workers cleaned up the mess before they left.
(Pekerja-pekerja itu mencucikan kekotoran itu sebelum mereka pulang.)
Kalau mess digunakan untuk binatang, ia adalah perkataan berlapik untuk 'tahi'.
Misalnya:
The cat made a mess on the carpet".
(Kucing itu berak di atas permaidani)
Perhatikan pula bahagian ayat ini: "It's great to read". Great di sini
bermaksud sangat baik. Perhatikan contoh-contoh lain:
What a great idea!
(Idea ini sangat baik!)
This new actor is really great!
(Pelakon baru sungguh hebat!)
I've won $100,000! Great! We can buy a new car.
(Saya menang $100,000! Baguslah! Kita boleh beli kereta baru.)
Tetapi apabila ditegur oleh Sarge, Plato tentulah tidak berkata "Great!". Sebenarnya
ia menjawab "Right!". Plato juga menjawab "right" apabila Sarge mengarahkannya supaya:"
Get them to somekind of order!" (Susun buku-buku itu supaya teratur!) Apabila Plato
menjawab "Right" tentulah dia tidak bermaksud kanan atau betul (betul seperti di dalam ayat
"He gave the right answer.")
Right di sini adalah jawapan kepada suatu cadangan, teguran atau arahan dengan
tujuan berkata "Ya" atau "Saya bersetuju". Kita juga boleh menggunakan all right
untuk menyampaikan maksud yang sama. Tetapi apabila Plato berkata "Right" kepada teguran
Sarge yang pertama, dia lebih bermaksud: "Yalah!" (Saya bersetuju, betullah kata awak,
buku-buku ini memang tak kemas.)
Tetapi apabila Sarge berkata: "Get them in some kind of order!" dia bukan lagi
menegur tetapi memberi arahan. Jadi, apabila Plato menjawab "Right", dia lebih bermaksud
: Baiklah (Saya akan melaksanakan arahan ini.) Perhatikan bahasa arahan yang digunakan oleh
Sarge. Terdapat tiga ciri yang ketara. Pertamanya, tidak terdapat subjek kerana subjek
atau orang yang ditujukan arahan sudah termaklum, iaitu kamu (atau kamu semua).
Kedua, kata kerja yang digunakan ialah bentuk asas, iaitu bentuk kata kerja yang
digunakan di dalam kamus, iaitu tidak ada tense. Ketiga, tanda seruan (!) digunakan
di hujung ayat. Perhatikan arahan-arahan berikut:
Answer the phone!
Get out!
Shut up!
Sit down!
Seperti yang kita pelajari di dalam pelajaran-pelajaran awal, jika kita hendak
meminta atau memohon sesuatu, kita lazimnya menggunakan bentuk bahasa yang lebih bersopan,
misalnya dengan menggunakan please, would you mind, could you, supaya permintaan
kita itu berbudi bahasa dan tidak berbunyi seperti arahan. Jadi, apabila Plato berkata
"Come in" dan bukan "Please come in", bahasanya kurang sopan. Baca kartun Fish Tales.
Perhatikan perbezaan di antara:
Bend over please, Psycho.
(permintaan yang bersopan dengan nada yang mesra)
Bend over, Psycho.
(lebih merupakan arahan dengan nada yang keras).
Jadi, dengan menambahkan please misalnya, arahan boleh bertukar kepada permintaan.
Misalnya:
Please answer the phone.
Please sit down.
Tetapi sekiranya kita berkata "Please get out!" atau "Please shut up!", kita akan tidak
berjaya menjadi lebih mesra atau bersopan atau menukar arahan menjadi permintaan kerana
adakalanya kemesraan atau kesopanan bukanlah mesej yang kita ingin sampaikan! Begitu juga
jika seorang yang memegang alat suntikan yang mempunyai jarum yang besar berkata "Please"
dan menambah bahawa "It won't hurt!" (Ini tak menyakitkan!) sambil tersenyum kambing,
kita tentu tahu bahawa dia tak mesra dan kata-katanya tak boleh dipercayai!
Sarge, sebagai ketua Plato di dalam tentera, tidak perlu "meminta" Plato membuat sesuatu
kerana dia boleh mengarahkan. Tetapi bagaimana pula sekiranya Sarge mengarahkan Plato seperti
berikut?
"Come to the officer's mess tonight!"
Plato mungkin menjawab arahan tersebut dengan gembira: "Right! What time?". Kalau
diarahkan sedemikian, Plato tentu tidak keberatan mematuhinya kerana sekiranya Sarge
yang terkenal sebagai orang yang kuat makan mengarahkannya pergi ke "officer's mess", ini
tidak lain daripada "jemputan" untuk makan. Ini kerana "officer's mess" bukanlah tempat
pegawai-pegawai tentera membuat kekotoran tetapi tempat khas untuk mereka makan dan minum
iaitu "restoran" atau "kantin" pegawai.