World Wide Web atau Web bermula dengan timbulnya idea berkenaan hiperteks (hypertext).
Hiperteks ialah dokumen/data yang mengandungi hubungan (link) ke dokumen/data lain.
Dalam dunia hiperteks, perkataan hipermedia (hypermedia) merujuk kepada dokumen yang mungkin
mengandungi pelbagai jenis data dan bukan hanya teks biasa. Web mula-mula
dibangunkan di Switzerland di sebuah pusat penyelidikan CERN.
Ia bermula apabila ahli-ahli Fizik CERN mencipta satu cara untuk berkongsi hasil kerja dan maklumat di dalam komuniti mereka. Idea Web ini kemudiannya dikembangkan dan digunakan dalam Internet sebagai mekanisma utama bagi mencapai maklumat dan perkhidmatan. Pada awalnya kegunaan Web secara umum terhad kepada dua fungsi utama iaitu membaca artikel hiperteks dan mencapai sumber Internet. Tetapi sejak akhir-akhir ini ia telah digunakan sebagai salah satu alat atau tempat untuk menjalankan aktiviti perniagaan, pembelajaran secara online, sidang video dan sebagainya.
Seperti sumber-sumber Internet yang lain, Web menggunakan sistem pelanggan/pelayan (client/server). Anda perlukan program pelanggan (browser) berupa tetingkap untuk mencapai sumber maklumat yang terdapat dalam pelayan Web.