Telnet ialah antara perkhidmatan dalam Internet yang membolehkan kita
bersambung dengan komputer lain. Apabila sambungan telah dibuat dengan
komputer xyz misalnya, telnet
bertindak sebagai perantaraan antara kita dengan komputer tersebut. Setiap
huruf yang anda taip menggunakan papan kunci akan dihantar ke komputer
xyz. Apa yang komputer xyz paparkan akan dihantar kepada skrin
anda. Ia seolah-olah anda berhubung secara terus dengan komputer berkenaan.
Untuk membuat sambungan jauh, gunakan arahan telnet. Taip
arahan tersebut diikuti dengan nama domain atau alamat IP komputer
yang anda hendak hubungi. Sebagai contoh, andaikan anda hendak
berhubung dengan komputer nsr.com.my :-
telnet nsr.com.my
Apabila sambungan berjaya dilakukan, anda akan lihat mesej seperti
berikut:-
Connected to nsr.com.my
Escape character is '^].
Andaikan anda tersilap mengeja nama komputer, anda mungkin dapat
mesej seperti di bawah:-
nst.com.my: unknow host
telnet>
Ada banyak kemungkinan sebenarnya jika anda dapat mesej unknown host.
Antaranya ialah:-
tersilap taip nama komputer.
komputer tersebut tidak boleh dihubungi buat sementara waktu.
nama komputer tersebut memang tidak wujud dalam Internet.
Setelah telnet berjaya membuat sambungan dengan komputer lain, anda
mungkin perlu menaip ID pengguna dan kata laluan. Terdapat juga
keadaan di mana anda hanya perlu menaip ID pengguna tanpa kata laluan di mana sistem tersebut akan terus memaparkan menu tertentu untuk dipilih.
Terdapat juga perkhidmatan umum menggunakan telnet di mana anda perlu
bersambung ke port tertentu komputer tersebut. Misalnya untuk
bersambung ke sebuah pelayan IRC di Austria, anda perlu bersambung ke port 6666
komputer tiger.itc.univie.ac.at:-
telnet tiger.itc.univie.ac.at 6666
Jika anda tidak tentukan port mana yang perlu dihubung, telnet
secara automatik akan bersambung dengan port 23 komputer yang dihubungi.
Dalam komputer tersebut sebenarnya terdapat program yang sedang bersedia
menerima pengguna-pengguna yang hendak berhubung dengan port 23. Bermula
dengan proses kemasukan ID pengguna, kata laluan, penggunaan sumber
dalam komputer tersebut dengan arahan-arahan tertentu sehinggalah
pengguna memutuskan sambungan.