Ketika ini e-mel merupakan antara perkhidmatan paling penting dalam Internet.
Selain dari digunakan untuk menghantar mesej peribadi, ia juga digunakan secara
meluas untuk menghantar maklumat seperti dokumen, program komputer,
gambar dan sebagainya. Kita mungkin tertanya-tanya bagaimana perkhidmatan
e-mel melangkaui pelbagai jenis komputer yang berbeza dari segi perkakasan,
sistem pengoperasian (operating system) dan juga program e-mel itu sendiri.
Jawapannya ialah e-mel dipiawaikan oleh sistem yang dikenali sebagai
SMTP (Simple Mail Transfer Protocol). SMTP ialah sebahagian daripada
protokol dalam keluarga TCP/IP.
Setiap komputer yang bersambung dengan Internet biasanya mempunyai
satu program yang mematuhi protokol SMTP. Program ini dipanggil
agen penghantaran (transport agen) membolehkan e-mel kita berhubung
dengan dunia luar. Dalam kebanyakan sistem , agen penghantaran ini
berfungsi dalam mod background. Ia dipanggil daemon
dalam sistem Unix. Kebanyakan sistem Unix menggunakan daemon yang
dinamakan sendmail.
Sebagai pengguna anda tidak berhubung dengan agen penghantaran
secara terus. Ia beroperasi di sebalik tabir menghantar dan menerima
mel melalui SMTP. Program e-mel yang anda guna dipanggil agen pengguna
(user agent). Agen pengguna ini bertindak sebagai antara muka (interface)
kepada sistem e-mel Internet. Ia membenarkan anda membaca mesej,
menghantar mesej baru, memadamkan mesej yang sudah dibaca dan sebagainya.
Antara program e-mel yang biasa digunakan ialah elm,pine,
mail dan mailx dalam Unix, Netscape Mail dalam pelayar
web Netscape, Eudora dan MS Exchange dalam Windows 95 dan banyak lagi.