Istilah rangkaian (network) merujuk kepada dua atau lebih komputer yang dihubungkan bersama.
Ada banyak sebab untuk menghubungkan komputer dengan rangkaian. Antaranya ialah:-
membenarkan kita saling berkomunikasi
berkongsi maklumat
Rangkaian Kawasan Tempatan (Local Area Network) atau LAN ialah rangkaian di mana
sekumpulan komputer dihubungkan secara terus, biasanya dengan beberapa jenis sambungan.
Apabila kita menghubungkan beberapa LAN bersama, ia dipanggil Rangkaian Kawasan Jauh
(Wide Area Network) atau WAN. Kebanyakan WAN disambungkan melalui talian telefon . Satelit
juga turut digunakan.
Di dalam Internet, setiap komputer dikenali sebagai host. Terdapat juga komputer
yang dirujuk sebagai nod (node). Secara umum terdapat dua cara anda mungkin menggunakan
komputer. Komputer berkuasa tinggi yang digunakan oleh seorang pengguna biasanya dipanggil
stesyen kerja (workstation). Terdapat juga komputer yang boleh digunakan oleh beratus-ratus
pengguna dalam satu masa. Kebiasaannya ia menggunakan sistem pengoperasian Unix yang
merupakan sistem multi pengguna.
Sebagaimana yang kita tahu, prinsip penggunaan rangkaian ialah untuk membenarkan
perkongsian sumber. Perkongsian ini dilaksanakan oleh dua program berbeza yang dilarikan
pada komputer-komputer yang berasingan. Program pertama dipanggil pelayan (server),
yang menyediakan sumber-sumber tertentu. Manakala program kedua dipanggil pelanggan
(client) yang menggunakan sumber tersebut.
Sebagai contoh bagi konsep pelanggan-pelayan (client-server) ini ialah anda sedang
menggunakan Netscape untuk mencapai laman Berita Harian dari pelayan www.jaring.my.
Program Netscape itu akan menghantar mesej meminta supaya laman web Berita
Harian di paparkan. Contoh mesej yang dibuat ialah dengan menaip alamat seperti
berikut pada ruang Location diikuti dengan menekan kunci [Enter]:-
http://www.jaring.my/bharian
Pelayan web di www.jaring.my akan menerima mesej tersebut dan menghantar maklumat
dalam bentuk HTML kepada program Netscape untuk dipaparkan.
Dalam kes ini, Netscape merupakan pelanggan manakala pelayan web merupakan pelayan.
Untuk menggunakan perkhidmatan dalam Internet, anda mesti faham:-
Bagaimana cara memulakan program pelanggan (client) untuk perkhidmatan tertentu.
Bagaimana memberitahu program pelanggan, server apa yang hendak digunakan.
Apa arahan-arahan yang perlu digunakan pada program pelanggan tersebut.
Terdapat empat perkhidmatan penting yang disediakan dalam Internet:-
Mel Elektronik (e-mail)
Digunakan untuk menghantar dan menerima mesej. Setiap mesej dihantar dari satu komputer ke
komputer lain. Perkhidmatan e-mel memastikan mesej tersebut sampai ke alamat yang betul.
Telnet
Ia membenarkan sesi terminal dengan komputer jauh (remote computer). Misalnya anda boleh
menggunakan telnet untuk menghubungi satu host yang berada di bahagian lain dunia. Sebaik
sahaja sambungan dibuat, anda boleh masuk (log in) ke dalam komputer/host berkenaan. Sudah
semestinya anda perlu akaun pengguna dan kata laluan (password) yang sah sebelum memasuki
sistem berkenaan. Kemudian anda bolehlah menggunakan perkhidmatan yang ada dalam sistem
tersebut misalnya membaca e-mel dan sebagainya.
FTP (File Transfer Protocol)
FTP atau protokol penghantaran fail pula membolehkan anda menghantar
fail dari satu komputer ke komputer lain. Selalunya kita mengambil fail dari komputer lain ke
komputer kita. Proses ini dipanggil downloading manakala penghantaran fail dari komputer
kita ke komputer lain dipanggil uploading.
Pelanggan-Pelayan (client-server)
Program pelanggan boleh menghubungi komputer lain untuk mengguna atau mencapai
sumber-sumber yang ada di situ. Contohnya anda menggunakan Netscape (program
pelanggan) untuk membaca atau menghantar e-mel yang dicapai dari pelayan Hotmail
(www.hotmail.com).
Sebagaimana yang kita tahu, Internet terdiri daripada sekumpulan rangkaian dari seluruh
dunia. Kesemua rangkaian ini terdiri daripada komputer yang pelbagai jenis.
Untuk memastikan komputer yang pelbagai jenis ini boleh berhubung antara
satu sama lain, pengaturcara komputer membina program menggunakan protokol
piawai (standard). Protokol dalam istilah teknikal ialah satu set peraturan
yang menetapkan bagaimana satu perkara itu perlu dibuat atau dilaksanakan.
Sebagai contoh, terdapat protokol yang menetapkan dengan jelas format
apakah yang patut digunakan bagi mesej yang dihantar menggunakan
perkhidmatan e-mel.
TCP/IP ialah nama biasa untuk koleksi lebih daripada 100 protokol yang
digunakan untuk menyambungkan komputer dan rangkaian. TCP/IP berasal dari
dua protokol paling penting iaitu TCP (Transmission Control Protocol) atau
Protokol Kawalan Penghantaran dan IP (Internet Protocol) atau Protokol
Internet. Kita boleh andaikan TCP/IP sebagai satu bahasa yang membolehkan
satu komputer berhubung dengan komputer lain terutama sekali apabila
komputer-komputer ini berlainan dari segi perkakasan dan sistem
pengoperasian yang digunakan.
Di dalam Internet, maklumat biasanya dipecahkan kepada pakej kecil yang
dipanggil paket (packet). Sebagai contoh, jika anda menghantar e-mel
panjang kepada rakan di negara lain, TCP akan membahagikan mesej tersebut
kepada beberapa paket. Setiap paket akan ditanda mengikut turutan nombor
serta alamat penerima. Sebagai tambahan, TCP menyelitkan beberapa
maklumat kawalan kesalahan.
Kemudian paket-paket ini dihantar melalui rangkaian ke destinasinya
oleh IP. TCP akan menerima paket-paket tersebut dan memeriksa jika terdapat
sebarang ralat. Jika ralat berlaku, TCP akan meminta supaya paket yang
mengandungi ralat tersebut dihantar semula. Apabila kesemua paket telah
diterima dengan sempurna, TCP akan menggunakan turutan nombor untuk
membina kembali mesej asal. Dalam lain perkataan, tugas IP ialah menghantar
data dari satu tempat ke tempat lain manakala TCP mengendalikan proses
tersebut dan memastikan data yang diterima adalah tepat.