K E N A N G A N   S I L A M
(Khas untuk tatapan anak-anak dan jenerasi yang terkemudian untuk dibuat perbandingan)
Siapa Saya | Pekerjaan | Quran | Anugerah | Home

Zaman Persekolahan

Saya telah dimasukkan ke darjah satu Sekolah Umum, Bukit Gantang, Taiping, Perak pada bulan Januari, 1959. Masa itu syarat masuk sekolah tidak berapa ketat sangat seperti sekarang. Murid yang lebih tua pun boleh masuk sekolah bersama kita. Murid yang pernah lari sekolah dahulunya pun boleh ulang semula sedarjah dengan kita. Tak ada Sijil Kelahiranpun boleh masuk sekolah. Hari persekolahan ialah dari Ahad hingga Khamis, manakala waktu persekolah adalah dari jam 7.30 pagi hingga 1.30 tengahari. Waktu rehat ialah pada jam 10.00 hingga 10.30 pagi.

Pakaian seragam sekolah pada masa itu ialah bagi lelaki, kemeja putih lengan pendek, seluar pendek biru tua dan berkasut getah putih, manakala bagi perempuan pula baju kurung putih, kain biru tua dan berkasut putih. Beg sekolah pada masa itu kebanyakannya adalah yang diperbuat daripada anyaman rotan ataupun mengkuang. Itupun dikira sudah cukup baik jika hendak dibandingkan dengan yang tidak berbeg, berselipar dan yang berkaki ayam.

Mata pelajaran pada masa itu ialah bahasa melayu, ugama, kira-kira, ilmu alam, tawarikh, ilmu kesihatan, ilmu kejadian, english, lukisan serta pekerjaan tangan dan latihan tubuh. Pendekatan yang dibuat oleh guru-guru pada masa itu ialah dengan cara bercerita, menghafal kali-kali (sifir) dua hingga dua belas secara beramai-ramai dan berirama dan membuat soalan-soalan congak.

Pada masa itu kemudahan kantin sekolah tidak disediakan seperti sekarang. Yang ada cuma meja kekal tanpa atap yang dibuat untuk tempat makan. Segala makanan jualan seperti nasi lemak bungkus, bihun, sotong kuah, pecal, takua sumbat, sepera gandum, tepung bungkus, jagung rebus dan sagun dijaja oleh kebanyakannya murid-murid sendiri yang membawanya dari rumah semasa mereka pergi ke sekolah.

Pendek kata terhegeh-hegehlah murid-murid yang terpaksa menjinjing jualan kesekolah dengan dua raga dikiri kanan. Satu beg sekolah dan satu lagi raga kueh, yarengge (berjalan kaki) sampai ke sekolah. Sayapun pernah mengalami tugas yang semacam itu semasa didarjah tiga. Nyah suruh jual bihun dengan sepera gandum. Bila sampai kesekolah terus sangkut raga jualan pada palang penyangkut yang disediakan dibelakang sekolah. Siapa yang lewat sampai, tempat sangkut kueh telah penuh, maka kena letak raga kueh atas meja makan sahajalah. Nasib tak baik kena selongkar kucing.

Belanja kesekolah pada waktu itu sekupang sahaja (sepuluh sen). Bagi yang berada tu lebihlah sikit. Tetapi kenyang kebuntat juga dibuatnya sebab nasi lemak sebungkus lima duit (lima sen) berlambak. Begitulah juga makanan yang lain. Bagi yang tidak berada membawa bekal dari rumah. Nasi dengan lauk ikan belanak masin. Itupun sedap ooo!.

Bila loceng pukul sepuluh dibunyikan, apalagi ketua darjahpun berkata, "bangun!....". Semua murid-murid bangun...."Terima kasih chegu!....". Murid-murid lain pun mengikut..."Terima kasih chegu!..." berseraung bunyinya. Bila keluar sahaja dari bilik darjah, terus berebut-rebut beli makanan dibelakang sekolah.

Air minuman tidak dijual. Yang ada cuma paip air sahaja. Untuk minum, kenalah bawa bekal dari rumah. Kopi o ke atau teh o ke, diisi kedalam botol nipis bekas "woodward gripe water" atau botol bulat bekas "ubat cap tiga senapang". Kalau tidak kena gogok (langgah) air paip sahajalah selepas makan.

Semasa darjah empat dipindahkan ke bangunan sekolah yang terletak di Sungai Serai, Bukit Gantang, Perak. Guru-guru yang pernah mengajar saya semasa di sekolah rendah ialah cikgu Hamzah, ustaz Abdul Karim, cikgu Abdul Ghani (guru besar), cikgu Rahman, cikgu Tahir, cikgu Sanuddin, cikgu Ahmad, ustaz Haji Hashim, ustazah Jamaiah, cikgu Aziz, ustaz Adnan, cikgu Khairiah, cikgu Ahmad, cikgu Desa (guru besar) dan cikgu Hashim.

Saya pernah mengambil bahagian dalam tilawah alquran peringkat sekolah rendah semenjak dari darjah tiga hingga darjah enam. Kali pertama saya berjaya hingga peringkat mukim sahaja. Emak dan bapa saya terus memberikan tunjuk ajar kepada saya untuk mempastikan saya berjaya pada masa akan datang. Alham dulillah, berkat dorongan dan do'a mereka saya telah berjaya pada tahun-tahun berikutnya hingga mendapat Johan peringkat negeri selama tiga tahun berturut-turut.

Pada 29 Oktober, 1964 semasa didarjah enam telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Agama Kerajaan Negeri Perak yang telah diadakan di Taiping, Perak. dengan mendapat pangkat ketiga. Yang anehnya tu ialah, bacaan quran 96% manakala tajwid 32% sahaja. Semasa belajar dalam darjah lima dan enam, disebelah petangnya belajar pula di Sekolah Agama Rakyat Alfalah, Kampung Berchat, Bukit Gantang. Masuk pukul 2.00 keluar pukul 6.00 petang. Ustaz yang pernah mengajar saya disekolah tersebut ialah ustaz Teridi, ustaz Bakar, ustaz Yusuf dan ustaz Ibrahim. Diantara mata pelajaran yang diajar ialah Tauhid, Fikah, Tajwid, Tarikh, Sorof, Khat dan Imlak.

Selepas tamat darjah enam, masuk pula Sekolah Menengah Rendah, Changkat Jering, Taiping, Perak yang pada masa itu dikenali dengan Sekolah Anika Jurusan. Sekolah tersebut pada awalnya menumpang di bangunan Sekolah Kebangsaan Changkat Jering. Sesi persekolah adalah disebelah petang. Masuk pukul 1.00 keluar pukul 6.00 petang. Pelajar-pelajar kononnya boleh pilih jurusan apa yang dia nak masuk. Emak bapakpun bukan main lagi seronoknya kerana anak dapat masuk sekolah serba-serbi dan boleh angan-angan nak jadi apa. Masuk tingkatan dua, sekolah tersebut tidak mampu lagi menampung pelajar-pelajar baru. Maka kami dipindahkan pula untuk menumpang di Sekolah Menengah Kebangsaan Cina Sin Hwa, Simpang, Taiping.

Guru-guru yang pernah mengajar saya pada masa itu ialah Cikgu Radzi (Guru besar), cikgu Salleh, Miss Phuah Soo Ean, Mr Krishnan, Mr. Teh, Mr Teh, Miss Devi, Mr Khor Peh Sim.

Selepas cuti penggal pertama tingkatan dua berpindah pula ke Sekolah Menengah Rendah Sungai Siput, kerana mengikut keluarga berpindah ke Jalong, Sungai Siput berniaga kedai runcit. Pada masa itu berulang-aliklah dari Jalong ke Sungai Siput yang jaraknya lebih kurang 16 kilometer dengan berbasikal buruk melalui jalan yang berbukit-bukit. Cukuplah seksanya pada masa itu untuk mencari ilmu.

Selepas sepuluh bulan belajar disitu, berpindah pula ke Sekolah Menengah Rendah, Jalan Baru, Talang, Kuala Kangsar, Perak. Perpindahan tersebut adalah kerana mengikut emak bapak yang berpindah ke Talang kerana mencari tapak perniagaan yang lebih baik. Pendaftaran disekolah tersebut dibuat seminggu sebelum cuti akhir tahun penggal persekolahan bermula. Dengan kata lain selepas belajar seminggu sahaja sekolahpun bercuti.

Belum sempat penggal persekolahan bermula bapa saya membuat keputusan untuk berpindah ke Taiping kerana hangat hati disebabkan pada waktu itu pencuri banyak di Talang. Habis satu reban ayam yang kami bela termasuk telor-telor ayam yang sedang di eram dicuri. Saya kembali semula belajar di Sekolah Menengah Rendah, Changkat Jering. Kali ini di bangunan sekolah menengah sendiri yang baru siap dibina dan namanyapun telah ditukar kepada Sekolah Menengah Tengku Menteri.

Saya telah menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran pada bulan Oktober, 1968 di Sekolah Menengah Rendah, Changkat Jering dengan mendapat keputusan Sijil Pangkat A. Setelah tamat tingkatan tiga, menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah King Edward VII atau ringkasnya K.E., Taiping dan ditempatkan dalam tingkatan 4A3. Pada awalnya terpaksa berdayung basikal dari Bukit Gantang ke Taiping sampai berkilat badan dibuatnya. Bayangkanlah 40 kilometer pergi-balik. Semasa disekolah ini keadaan lagi mencabar kerana kawan-kawan sedarjah, majoritinya adalah cina, kedua India (Punjabi dan Tamil) dan beberapa kerat sahaja penuntut Melayu.

Memandangkan emak bapa saya sudah mulai sedar akan kepentingan pelajaran dan amat perihatin terhadap persekolahan dan masa hadapan dua orang anak lelakinya iaitu saya dan adik saya, maka atas dasar itulah suatu pengorbanan dan tindakan drastik telah dibuat, iaitu berpindah ke Kampung Jambu, Taiping untuk meneroka penghidupan baru disana dengan harapan agar anak-anaknya akan berjaya pada suatu hari nanti. Dari saat itu barulah saya berulang-alik ke sekolah K.E. dekat sikit dan boleh mengambil bahagian dalam aktiviti sekolah pada sebelah petangnya.

Saya telah menduduki peperiksaan Malaysia Certificate Of Education (MCE) pada November/Disember 1970 bertempat di Dewan Perhimpunan Sekolah K.E. Saya telah mendapat tempat ketiga dalam peperiksaan tersebut. Ini tidak memungkinkan saya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi kerana kedudukan ekonomi keluarga saya pada masa itu tidak mengizinkan. Setelah itu terpaksalah saya berusaha mencari pekerjaan dan bermulalah era alam pekerjaan saya yang bermula pada bulan September, 1971.

Pencapaian dan Kelulusan Semasa Disekolah

  1. Johan Tilawah Alquran sekolah-sekolah rendah peringkat Negeri Perak sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1962, 1963 dan 1964.
  2. Lulus Pangkat ketiga Sijil Pelajaran Agama Kerajaan Negeri Perak pada 29 Oktober, 1964.
  3. Lulus Pangkat A Lower Certificate Of Education
  4. Lulus Pangkat ketiga Malaysia Certificate Of Education

 

(Cerita ini belum habis. Bersambung........)

Jika sesiapa yang ingin menghubungi saya tulislah ke alamat berikut:-
ahsanari@hotmail.com
1