I
Dalam perjuangan kebangsaan
merebut kemerdekaan
engkau di barisan hadapan
dari titik-titik keringatmu
dari semangat kental di hatimu dari sinar geliga di otakmu
engkau curahkan segala bakti
mendidik anak bangsa
di samping ketandusan masa petang dan malam
menjadi pemimpin di kota dan desa
hingga wujud sebuah negara yang merdeka.
II
Negara yang baru bebas
dari belenggu penjajahan
perlu dibina dengan semangat waja
perlu dibina ekonomi yang teguh
agar hidup rakyat sama setaraf
berdiri sama tinggi, duduk sama rendah
tugas guru sebagal pendidik
generasi muda dibimbing cerdik
menanam semangat cintakan bangsa dan negara
di hatimu, di kepalamu, di tanganmu
membentuk perpaduan rakyat
mewujudkan institusi kebangsaan
berkobar membara di hati setiap guru
walaupun pahit rintangan ditelan
walaupun terpaksa bertindak tanpa rela
keluar daripada parti pemerintah
namun perjuangan hak bangsa pasti diredah
akhirnya maksud tercapai jua
biduk lalu kiambang pun bertaut semula.
III
Sejarah yang menentukan
semangat perjuangan kebangsaan
mula bersemarak di jiwa guru April 46
Tertubuhnya Kesatuan Persekutuan
Guru-Guru Melayu Semenanjung (KPGMS)
walaupun sebelum itu telah tersemai dan bertunas
semangat perjuangan
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) juga
lahir di tahun yang sama
berganding bahu membina semangat 46
seiring sejalan menuju matlamat citarasa
kasihkan bangsa dan negara
tetapi ...
tenaga guru Melayu lebih berganda dan utama
berjuang dalam dua badan raksaksa
mencapai dan mengisi kemerdekaan negara.
IV
Empat puluh dua tahun berlalu
empat puluh enam lapan puluh lapan
tenaga dan peranan guru tidak dapat dipisahkan
darl sejarah perjuangan dan kebangkitan tanahair
mewujudkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat
mendidik bangsa menjadi rakyat yang berguna
menabur ilmu membentuk pemimpin negara
jasamu tetap diabadikan dengan tinta emas
dalam sejarah
tetapi ...
andainya tiada insan yang mahu mengenang jasamu
atau tiada yang mahu mengenal dirimu
engkau adalah umpama benih
jatuh ke laut menjadi pulau
terus berbunga, berputik dan berbuah
memberi rahmat untuk insan sejagat
hingga ke hari kiamat
engkaulah insan pembentuk warisan
generasi muda diabaikan jangan
ummah dipimpin ke jalan yang lurus
restu Ilahi dipohon selalu
untung nasib bangsamu di tangan GURU.
|