KUALA LUMPUR: “Saya sakit, siapa yang tak sakit kalau karya
kita digunakan tanpa kebenaran. Sebagai wakil Luncai Emas Sdn Bhd,
karya saya kedua paling banyak menjadi mangsa. Saya memang kecewa,”
kata komposer terkenal, M Nasir.
M Nasir berkata demikian pada sidang media Penerbit
Muzik: Tindakan Undang- undang Ke atas Audio One Entertainment Sdn
Bhd (AOE) yang diadakan semalam.
“Saya tidak tahu mengenai komposer lain, mungkin AOE ada
mendekati mereka. Apa yang mereka lakukan tetap salah dan saya di
sini bersama kawan-kawan tetap menyaman mereka,” katanya.
Luncai Emas bersama enam lagi syarikat penerbitan muzik seperti
NSR Music Publishing, Sony Music Publishing, Suwah Music
Publishing, Universal Music Publishing dan Warner Chappell Music,
sepakat mengemukakan saman RM8.25 juta terhadap AOE, sebuah
syarikat pengeluar karaoke Melayu popular kerana disyaki melanggar
hak hakcipta lebih daripada 200 karya muzik mereka.
Kumpulan tujuh syarikat itu memfailkan tindakan undang-undang
sivil di Bahagian Dagangan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4
April lalu. Dokumen guaman bernombor D4-22-544-2003 telah dihantar
oleh peguamcara penerbit berkenaan kepada AOE pagi semalam.
Antara penyelesaian yang dipohon ialah perintah injunksi untuk
menahan AOE daripada terus melanggar hak hakcipta lagu-lagu
penerbit terbabit serta perintah menerbitkan permohonan maaf penuh
di akhbar tempatan, ganti rugi termasuk ganti rugi tambahan,
faedah dan kos guaman.
Menurut wakil penerbit pada sidang media itu, Sandy Monteiro yang
juga Pengarah Urusan Universal Music Publishing, ini tindakan
bersama pertama yang diambil penerbit di negara ini serta
pendirian mereka terhadap syarikat yang enggan menghormati
hakcipta lagu dan mematuhi undang-undang.
“Tindakan ini juga sebagai sebahagian daripada tanggungjawab
mereka untuk melindungi kepentingan komposer dan penulis lirik.
“Kami bukan saja mengemukakan di bawah undang-undang sivil malah
kami membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengambil tindakan
berdasarkan kes jenayah.
“Apa yang kami buat ini, bukan untuk menutup syarikat AOE malah
kami ingin menjalankan bisnes dengan mereka tetapi melalui cara
yang betul. Kami mahu mereka ikut peraturan yang ditetapkan,”
katanya.
Bagaimanapun Sandy tidak memberi jumlah kerugian sebenar yang
dialami ketujuh-tujuh syarikat penerbitan itu tetapi dia
menganggarkan AOE memperolehi kira-kira RM20 juta setahun dan
kerja ini sudah berlanjutan sejak 10 tahun lalu.
Sandy berkata, sebelum ini syarikat secara ‘individu’ cuba
menyelesaikan masalah mereka, tetapi bukan saja membabitkan kos
agak tinggi malah penyelesaian bagaikan samar-samar. Sebab itu
katanya, bermula Oktober lalu, mereka sepakat bersatu mengambil
tindakan ini.
Dalam satu lagi perkembangan, Sandy berkata, kelmarin penerbit itu
melalui peguamcara mereka membuat aduan kepada KPDNHEP untuk
melakukan serbuan ke atas kedai muzik yang disyaki menjual VCD AOE
yang dipercayai mengandungi karya muzik cetak rompak.
“Di bawah seksyen 41 (1) Akta Hakcipta 1987, sesiapa saja jika
disabit kesalahan akan didenda tidak melebihi RM10,000 sebuah lagu
atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
“Berdasarkan bukti, kami percaya AOE masih menerbit dan menjual
lagu-lagu ciptaan mereka tanpa kebenaran walaupun tuntutan dibuat
berulang kali. Oleh itu, kami tiada pilihan selain mengambil
tindakan undang-undang,” kata Sandy.