Nasir unggul
Oleh Meor Riduwan Ahmad
Petikan Harian Metro, 18 Januari 2004
KOMPOSER terkenal M Nasir
terus unggul apabila
meraih anugerah bagi kategori Pencipta Terunggul dalam Anugerah
MACP 2004 yang diadakan di hotel terkemuka di ibu kota, malam
kelmarin.
Bagi M Nasir
anugerah anjuran Persatuan Pelindung
Hakcipta Karyawan Muzik itu cukup bermakna kepadanya yang
mempercayai bahawa karyawan seni tanah air sememangnya boleh
bergantung kepada pertubuhan seperti MACP.
Saya adalah antara komposer terawal yang menganggotai MACP,
sedangkan pada awal langkah saya itu ada segelintir karyawan
bagaikan tidak mempercayai kredibiliti MACP.
Syukur kerana kepercayaan saya terbukti benar dan inilah hasilnya
yang saya perolehi. Sebagai ahli MACP saya turut memantau
penyiaran dan penerbitan lagu saya di seluruh negara,katanya.
M Nasir yang baru muncul dengan album kompilasi
Mentera Semerah Padi berkata pada masa sama dia beruntung kerana
MACP sentiasa menjalankan tanggungjawab kepada ahli.
MACP juga memantau bagi pihak karyawan, namun saya tak nafikan
masih ada karyawan yang tidak dapat dikesan.
Saya berpandangan bahawa tidak semestinya seseorang komposer itu
menulis lirik atau mencipta lagu dalam volume yang banyak. Yang
lebih penting biarlah lagu yang kita cipta itu disukai dan dapat
diterima pendengar.
Ini lebih bermakna kerana tanpa pendengar yang juga pembeli apa
ertinya lagu yang saya ciptakan,katanya.
Sementara itu sesudah sekian mencipta kejayaan dalam bidang
nyanyian, Siti Nurhaliza melangkah setapak lagi dalam bidang seni
apabila meraih anugerah Pencipta Muda Berpotensi.
Siti yang anggun dengan pakaian serba hitam sama sekali tidak
menyangka menerima anugerah anjuran Music Authors Copyright
Protection ) itu.
Siti yang kebetulan menyambut hari lahirnya yang ke-25, semalam,
berkata kehadirannya di majlis itu sekadar memenuhi jemputan
pengurusan MACP yang mahukan beliau membuat persembahan khas bagi
meraikan komposer dan penulis lirik veteran, Kassim Masdor, 66.
Biarpun saya dah banyak menerima anugerah, namun anugerah dari
MACP ini sesuatu yang membuatkan saya terharu kerana kategorinya
jelas berlainan berbanding yang saya perolehi selama ini.
Pihak MACP tidak pula memberitahu saya akan menerima sesuatu,
sebaliknya mereka mahu saya buat persembahan suprise untuk
Kassim Masdor.
Rupanya mereka juga mempunyai kejutan untuk saya iaitu anugerah
ini. Walhal hakikatnya tumpuan saya pada untuk persembahan saja
dan memang terkejut dengan pengumuman ini,katanya.
Menurut Siti, selama ini peminat cuma mengenai dan menghargainya
menerusi lagu ciptaan komposer terkenal yang dinyanyikannya. Namun
pada kali ini dia memperoleh anugerah berdasarkan daya usahanya
sendiri.
Sudah tentu saya bangga dan bersyukur kerana segala yang saya
usahakan tidak sia-sia. Tidak dapat tidak anugerah ini satu
motivasi yang mendorong saya untuk lebih aktif menulis lirik lagu.
Saya juga berpegang kepada prinsip yakin pada diri dan setia yang
kita lakukan ada balasannya.
Daripada hanya suka-suka menulis lirik, kejayaan ini sudah
tentunya memberi inspirasi kepada saya untuk menulis lirik lagu
sama ada untuk saya atau penyanyi lain.
Malah siapa tahu, satu masa kelak menulis lirik lagu akan jadi
salah satu cabang kerjaya saya,katanya yang mencipta lirik lagu
antaranya Percayalah dan Bukan Cinta Biasa.
Populariti kedua-dua lagu ini ternyata meletakkan Siti antara
bakat baru yang harus diberi perhatian. Tahun lalu anugerah
Pencipta Muda Berpotensi (yang diberikan untuk pencipta di bawah
25 tahun) menjadi milik salah seorang anggota kumpulan Exits iaitu
Azhrul B Nasir atau nama popularnya Along.
Kassim yang didatangkan khas dari Singapura menerima Anugerah Nadi
Cipta oleh panel penilai MACP di atas sumbangan dan jasanya kepada
industri muzik yang diceburi sejak era 50an.
Malam Anugerah MACP 2004 itu yang dihoskan Bob Lokman turut
diserikan persembahan Salamiah Hassan, Abot, Anuar Zain, S Amin
Shahab, Azmeer, Is Wow, Lan Laga dan Khir Rahman.
Anuar Zain menyampaikan lagu Sesucinya Cintamu manakala Salamiah
Hassan mendendangkan secara medley lagu Gelombang, Surat Terakhir,
Pelangi Petang, dan Bahtera Merdeka, Superstar, If You Go Away, I
Feel The Earth Move dan lagu baru Tinggal Kenangan.
Abot(Penantian Puteri), S Amin Shahab dan Khir Rahman (Jika Aku
Bukan Aku). Tiga lagu yang dicipta ketika bengkel Cinta Ekspress
MACP 2003 di Port Dickson, September lalu turut didendangkan
Bob Lokman yang juga pengantara rancangan Telebriti begitu hebat
mengacarakan majlis dan sesekali membuat jenaka spontan yang
menerima tepukan gemuruh hadirin.
1: Nadi Cipta
Kassim Masdor
2: Pencipta Terunggul
Mohd Nasir Mohamed (M Nasir)
3: Penulis Lirik Terunggul
Rosli Khamis (Loloq)
4: Penerbit Terunggul
EMI Music Publishing
Malaysia Sdn Bhd
5: Penerbit Tempatan Terunggul
Suwah Music Publishing Sdn Bhd
6: Lagu Dengan Pendapatan Luar Negara Tertinggi
Lang Hua Yi Duo Duo (Richie Ren) Michael Wong & Ah Niu)
ciptaan Ah Niu
7: Lagu Luar Negara Persembahan Terbanyak
Around The World (La La La) (ATC) ciptaan Zhukov Sergej, Alex
Joerg Chrisrensen, Peter Koenemann & Alexej Potechin
8: Lagu Melayu Persembahan Terbanyak
Intifada (Rabanni) ciptaan KRU dan B Nuri
9: Lagu Cina Persembahan Terbanyak
Ta Yi Ding Hen Ai Ni (A-Do) ciptaan Lee Chee Cheng
10 : Lagu Inggeris Tempatan Persembahan Terbanyak
Weekender (Reefa) ciptaan Audi Mok, Reefa, Moots & Ronin
11 : Pencipta Muda Berpotensi
Siti Nurhaliza Tarudin & Lee Chee Cheng
12 : Syarikat Pengurusan Acara Terbaik
Nexus Event Managment Sdn. Bhd.
|
|