Terunggul, Ternama Di Malaysia
Melayari kehidupan yang penuh glamor dan sensasi sudah menjadi rutin seharian kehidupan mereka. Tidak kira apa jua pun yang melanda negara, kemunculan mereka sentiasa gah. Sering menjadi buruan dan bahan berita sensasi walau di mana sahaja berada. Segala gerak-geri, imej dan pembawaan diri menjadi ikutan kepada yang fanatik. Pendek kata, mendengar nama mereka sahaja, sudah terasa impaknya.
Menjelma sebagai individu yang diperkatakan oleh masyarakat umum mungkin boleh dicapai oleh sesiapa sahaja, namun menjadi individu yang diagung-agungkan sehingga separuh mati tidak mampu dicapai oelh semua orang. Hanya yang benar-benar layak dan teruji kelayakannya itu berhak meraihnya.
Keikhlasan seseorang artis itu kepada kegiatan seninya hanya terserlah setelah berjaya mempertahankan hayat kariernya ke suatu tempoh yang matang, sentiasa membuat pencapaian yang memberangsangkan dan membanggakan bukan sahaja di kalangan peminat tetapi juga negara, serta berusaha memperkembangkan dirinya supaya sentiasa 'baru' untuk terus diminati.
Dari sekumpulan besar karyawanseni tanah air yang ada, MASSA memilih sepuluh artis yang layak bergelar 'terunggul' - Siti Nurhaliza, KRU, M.Nasir, Yusuf Haslam, Sheila Majid, Ziana Zain, Raihan, Erra Fazira, Amy dan XPDC.
'Sifu' Industri Hiburan
Aset penting industri hiburan negara. Tanpa mempertikaikan bakatnya, sumbangan M.Nasir dalam menghasilkan lagu terutama untuk artis baru sungguh besar. Lagu-lagunya mampu menentukan masa depan atau jatuh bangun seseorang artis. Itulah kebolehan yang ada pada diri penyanyi, pelakon, penulis lirik, pencipta lagu dan pelukis yang berasal dari Singapura ini.
Sejarah membuktikan sentuhan M.Nasir selari dengan kejayaan yang pernah diraih oleh Alleycats, Search, Hattan, Jamal Abdillah, Wings dan puluhan penyanyi lainnya. Seperti yang dinyatakannya, untuk menjadi seorang penyanyi dan pencipta lagu yang berjaya, ilmu psikologi harus ada pada diri dan inilah yang banyak membantu M.Nasir dalam menghasilkan lagu-lagunya.
"Kita kena tanya pada diri kita, budak-budak di luar sana dan penggemar muzik, apa yang mereka mahukan. Contohnya, kalau kumpulan muzik itu memperjuangkan irama rock, kita kena hasilkan sesuatu yang selari dengan jiwa dan kehendak penggemar muzik sedemikian. Yang lainnya bergantung kepada penyanyi itu sendiri. Mereka perlu tahu cara bagaimana untuk menghasilkan vokal yang bagus kerana ciri-ciri tersebut akan membantu menjadikan mereka 'hero'.
"Karya yang baik secara tidak langsung mempengaruhi masyarakat. Jika karyawan seni mahu menjadikan industri hiburan sebagai kerjaya, mereka mesti tahu dan faham, apa yang mereka perlu buat. Kemahiran juga penting di samping naluri yang dibantu dengan pengalaman," jelasnya kepada MASSA.
Menurut M.Nasir, selama 20 tahun membabitkan diri, sukar baginya untuk mentafsirkan kepuasan kerana ia merupakan sesuatu yang subjektif.
"Sebenarnya tiada kepuasan, baik dalam menghasilkan laguataupun pencapaian yang telah diraih setakat ini. Apa yang penting ialah kita mesti ada fokus dalam apa juga penghasilan. Kita juga perlu berpegang pada disiplin. Ini penting kerana apa yang kita hasilkan akan mempengaruhi masyarakat dan masyarakat akan menjadikan kita sebagai idola mereka. Seperti saya, kebanyakan lirik yang dihasilkan mengajak pendengar berfikir dan cara menghasilkan muzik pula mesti sesuatu yang seronok didengar selain adunan lirik yang baik.
"Saya bercakap melalui pengalaman saya sendiri. Di awal pembabitan, saya terpaksa mengikut kehendak penerbit. Saya patuh kepada apa yang mereka inginkan. Dari situ saya buat eksperimen sendiri dalam muzik melalui kumplan Kembara sehinggalah apa yang saya hasilkan ketika ini," katanya.
Menyentuh masa depan industri muzik di negara ini, M.Nasir memberikan pandangan batas budaya dan agama menjadikan industri ini sukar untuk pergi jauh.
"Bila bercakap mengenai industri hiburan, dua perkara ini pasti ditimbulkan iaitu batas agama (Islam) dan budaya (Melayu). Kita ada had-had yang perlu diperhatikan. Bai saya tahap industri muzik sekarang ibarat 'selagi boleh cari makan', ia tidak boleh pergi jauh daripada itu.
"Kita juga sentiasa hidup dalam keadaan was-was. Apakah yang kita buat ini betul atau sebaliknya. Kita sendiri lihat kebanyakan negara Islam - industri muzik itu tidak berkembang - sebaliknya kita banyak mengimport daripada luar. Bagi saya apa yang penting hanyalah niat. Saya berusaha untuk hasilkan sesuatu yang diharapkan akan diredhai Allah - itu saja," katanya.
Menyentuh soal filem, M.Nasir yang pernah menghasilkan skrip dan mengarahkan filem Merah selain pernah tampil dalam filem, Kembara Seniman Jalanan ini menganggap industri filem ditentukan ole peminat filem sendiri.
"Saya perhatikan filem-filem sekarang lebih banyak memberikan sentuhan popular sedangkan filem yang tidak memnerikan sentuhan popular gagal di pawagam. Kita masih dibelnggu dengan sikap apa yang peminat mahukan. Peminat filem masih menganggap filem yang tidak memberikan sentuhan popular hanya mengganggu fikiran mereka.
"Bagi mereka apa gunanya berada di dalam pawagam selama dua jau semata-mata untuk menonton filem yang mereka sendiri tidak faham. Memang saya akui, hiburan sebenarnya mesti sesuatu yang mudah dan memberi kesan mendalam pada jiwa tetapi dalam masa yang sama kita perlu juga menjaga kepentingan dan mutu industri ini," tegasnya.
Oleh : Mohd Yusman Awang & Mohd. Izhar Abu Samah
Dipetik sebahagian artikel dari MASSA (Bil 213) 30 Oktober 1999 - 5 November 1999, m/s: 26-33