Selasa, 22 Januari 2002
 
 
Berita Harian : Hiburan                                                             

15 artis Malaysia berentap di APM 2002

 

M.Nasir


SABTU ini, sekali lagi penggiat muzik di tiga negara - Malaysia, Singapura dan Indonesia - berkumpul pada majlis yang memberi pengiktirafan terhadap pencapaian artis tempatan dan serantau menerusi Anugerah Planet Muzik 2002 (APM 2002).

APM 2002 yang memasuki tahun kedua bakal menyaksikan saingan hebat artis baru serta popular dari ketiga-tiga negara itu pada majlis berprestij yang akan berlangsung di Singapore Expo.

Seperti tahun lalu, APM 2002 menyaksikan pencalonan artis Singapura, Malaysia dan Indonesia, malah membanggakan apabila mencatat jumlah sehingga lebih 200 pencalonan.

Angka itu diperolehi dengan bantuan rakan penyiar dari Malaysia dan Indonesia yang bekerjasama untuk proses penghakiman dan menyenarai pendek calon bagi pusingan pertama. Malah, rakan penyiar juga diundang menjadi panel hakim untuk majlis anugerah anjuran MediaCorp Radio Singapore ini.

Sementara itu, fungsi peminat tidak dilupakan apabila mereka juga diberi peluang mengundi artis pilihan menerusi telepol dan Internet.

Jurucakap APM 2002, Nur Yusnita Omar, berkata tempoh kelayakan pencalonan artis dan lagu yang dicalonkan untuk tahun ini ditetapkan bermula dari 1 November 2000 hingga 31 Oktober 2001.

Proses pengadilan yang dijalankan pada 3 Januari lalu di Singapura menyaksikan barisan artis Malaysia seperti Fazley, Yasin, Aqasha, Elyana, Samirah, Mala, Bozz, Ajai & Nurul, M Nasir, Ziana Zain, Dayang Nurfaizah, Siti Nurhaliza, Rabbani dan Raihan menggalas tanggungjawab besar untuk mengharumkan nama negara.

"M Nasir unggul dengan empat pencalonan dalam tiga kategori manakala Siti Nurhaliza dan Ziana Zain pula masing-masing dengan tiga pencalonan. M Nasir menerima pencalonan sebagai Artis Terbaik (Lelaki) selain Raikan Cinta/Masirah (Lagu Terbaik) dan Phoenix Bangkit (Album Terbaik).

"Siti Nurhaliza dan Ziana pula akan bersaing untuk merebut trofi Artis Terbaik (Wanita) dan Album Terbaik bersama dengan Dayang Nurfaizah, selain mengharapkan tuah kepada Percayalah dan Menadah Gerimis untuk Lagu Terbaik.

Turut menerima pencalonan, Fazley, Yasin dan Aqasha sebagai Artis Baru Terbaik (Lelaki) manakala Elyana, Mala dan Samirah pula berentap membawa pulang trofi Artis Baru Terbaik (Wanita).

"Pasangan Ajai dan Nurul serta Bozz pula bersaing untuk anugerah Kumpulan/Duo Baru Terbaik, sementara kumpulan nasyid, Raihan dan Rabbani perlu berhadapan dengan calon mantap dari Indonesia, Padi serta Kris Dayanti dan Anang bagi kategori Kumpulan/Duo Terbaik.

Kata Nur Yusnita, penguasaan lagu ciptaan komposer tempatan jelas kelihatan untuk kategori Lagu Terbaik dengan pencalonan Masirah/Raikan Cinta (M Nasir), Percayalah (Siti Nurhaliza) dan Menadah Gerimis (Ziana Zain).

Mereka ditentang hebat oleh Kasih Tak Sampai (Padi) dan Makin Aku Cinta (Kris Dayanti/Anang). Sementara itu, album Phoenix Bangkit (M Nasir), Safa (Siti Nurhaliza), Aku Cinta Padamu (Ziana Zain) dan Seandainya Masih Ada Cinta (Dayang Nurfaizah) pula akan bertanding merebut trofi Album Terbaik.

APM 2002 menyaksikan 16 anugerah dipertandingkan antaranya Lagu Terbaik, Artis Wanita Terbaik, Lagu Paling Popular, Pendatang Baru Terbaik Lelaki dan Wanita, Album Terbaik, Kumpulan Terbaik, Artis Tempatan Terbaik, Album Tempatan Terbaik dan Lagu Tempatan Terbaik.

Penganjuran APM 2002 dibantu syarikat pengiklanan terkemuka, Beyond DBB Sdn Bhd yang bertindak sebagai penerbit bersama serta mendapat sokongan Persatuan Industri Muzik Malaysia (RIM), Persatuan Industri Rakaman Indonesia (ASIRI) dan Persatuan Karyawan Muzik Singapura (Pekamus).

"Peminat dari Malaysia, Singapura dan Indonesia yang turut mengundi pula akan berpeluang memenangi wang tunai S$1,000," katanya.

Kata Nur Yusnita lagi, meskipun penggiat seni terutama dari Malaysia berhadapan dengan masalah kemerosoton penjualan album yang semakin meruncing, namun penganjuran APM 2002 diharap dapat menjana semangat karyawan muzik untuk terus memperkembangkan bakat mereka.

"Kami yakin penganjuran majlis seperti ini akan membuka ruang kepada artis tempatan dan serantau mengembangkan karier seni mereka di samping mempromosi album artis itu," kata Yusnita.

Gabungan persembahan pada acara itu ialah Kris Dayanti & Anang, Padi, Sheila Majid & Harvey Malaiholo, Shanty, Ziana Zain, Nurul & Ajai, Dayang Nurfaizah, Siti Nurhaliza, Hetty Sarlene, Ferhad, Mashmellow dan Jai.

APM 2002 akan dikendalikan gandingan penyanyi bersuara soprano, Syafinaz Selamat dari Malaysia, Sarah Sechan (Indonesia) dan Adi Rahman (Singapura).
 

MyAffiliate  MyArchive   MyClassifieds  MyFactfiles  MyF1   MyInfoMy   MyMobile   New Straits Times   Business Times   Malay Mail   Sunday Mail   Harian Metro   Metro Ahad   Computimes   Business Computing

Emel webheads untuk sebarang soalan teknikal. Persoalan lain emelkan pada editor, atau sales untuk maklumat pemasaran.
Hakcipta © The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Balai Berita 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur, Malaysia.
nothing 1