![]() |
|
![]() |
Ahad, 03 Februarii 2002 |
|
Berita Harian :
Hiburan
![]() APM2002 kenang perjuangan Anita Sarawak
JIKA dua tahun lalu, Anugerah Bintang Popular 2000 (ABP2000) memberikan
anugerah khas kepada penghibur antarabangsa, Anita Sarawak, Anugerah
Planet Muzik 2002 (APM2002) yang berlangsung di Singapore Expo,
Singapura, sekali lagi memberi pengiktirafan kepada anak seniwati, Siput
Sarawak itu.
Anita yang ditemani suaminya, Mohd Mahathir Abdullah, menerima Anugerah Pencapaian APM2002 atas sumbangan dan jasanya mengharumkan nama Singapura di persada muzik antarabangsa. "Saya bersyukur pada Tuhan kerana terus memberikan saya tenaga untuk terus berjuang. Juga ucapan terima kasih dan kasih sayang kepada adik yang sering bersama. "Niat saya pulang ke tanah air untuk memimpin anak muda dan bakat baru kalau sudi untuk berkongsi pengalaman 35 tahun dalam bidang seni. Saya harap mereka juga akan bekerja keras dan kalau diizinkan Tuhan, impian ini akan menjadi kenyataan," katanya. Anita yang pernah beraksi di pentas Caesars Palace, Las Vegas turut menghiburkan lebih 3,000 penonton dengan dendangan bertenaganya menerusi lagu Akhirnya Kini Pasti. APM2002 yang berlangsung malam Sabtu lalu turut menyaksikan karyawan muzik Indonesia, Ebiet G Ade menerima Anugerah Khas APM yang tahun lalu dibawa pulang sifu industri muzik, M Nasir. Penganjuran anugerah yang memasuki tahun kedua itu memperlihatkan Malaysia dan Indonesia saling bersaing membuktikan kehebatan masing-masing. APM2002 yang mempertandingkan 15 anugerah, tiga trofi khusus untuk penggiat muzik Singapura menyaksikan dua gergasi muzik Melayu itu berkongsi kedudukan apabila masing-masing membolot enam anugerah utama, mengatasi tuan rumah yang terpaksa akur dengan sengatan penggiat dari kedua-dua negara itu. Malam 26 Januari itu jelas menjadi milik M Nasir, insan seni paling bertuah apabila membawa pulang tiga trofi iaitu Artis Lelaki Terbaik, Artis Lelaki Paling Popular dan Album Terbaik menerusi Phoenix Bangkit mengatasi penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza yang nyata berpuas hati dengan dua anugerah. Sentuhan Nasir masih berbisa apabila menyingkirkan calon pilihan Indonesia, Harvey Malaiholo, Ari Lasso dan Andre Henanusa apabila meraih trofi Artis Lelaki Terbaik. Kategori itu juga menyaksikan Nasir mengenepikan calon tempatan, Ferhad yang mempertaruhkan kehebatan vokal menerusi album Soul Alive. Nasir sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila menjadi pilihan peminat dari tiga negara yang bertanding iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura yang memberinya kelebihan untuk membawa pulang anugerah kategori Artis Paling Popular. Pemenang bagi kategori ini dilakukan menerusi undian pembaca tiga majalah iaitu Media Hiburan (Malaysia), Manja (Singapura) serta Bintang (Indonesia) selain Internet. Phoenix Bangkit pula menghampakan Sesuatu Yang Tertunda (Padi), Safa (Siti Nurhaliza), Aku Cintakan Mu (Ziana Zain), Seandainya Masih Ada Cinta (Dayang Nurfaizah) dan Makin Aku Cinta (Anang & Kris Dayanti) apabila merangkul trofi Album Terbaik. Siti Nurhaliza yang anggun dengan dua busana rekaan Rizalman membuktikan kehebatannya apabila dipilih sebagai Artis Wanita Paling Popular rantau Melayu mengalahkan nama besar seperti Sheila Majid, Ziana Zain, Kris Dayanti dan Fauziah Latiff. Turut menerima pencalonan Erra Fazira, Dayang Nurfaizah, Reza, Shanty dan penyanyi Singapura yang kian menyerlah di Malaysia, Hetty Sarlene. Siti juga membawa pulang trofi Artis Wanita Terbaik menepis harapan Ziana Zain, Dayang Nurfaizah, Titi DJ dan Rossa. Lagu ciptaan Ajai, Seandainya Masih Ada Cinta nyanyian Dayang Nurfaizah membuat kejutan apabila dipilih sebagai Lagu Paling Popular menewaskan lagu ÔberhantuÕ nyanyian Sheila On 7, Sephia selain Makin Aku Cinta (Kris/Anang), Sesuatu Yang Indah (Padi) dan Pandang-Pandang Jeling-Jeling (Tan Sri SM Salim/Siti Nurhaliza). Indonesia pula cukup berbangga apabila bakat barunya seperti Shanty, Yovie-Nuno dan Rio Febrian begitu menyerlah pada malam itu. Shanty menerima trofi Artis Baru Wanita Terbaik menyaksikan bakat baru Malaysia iaitu Elyana, Samirah dan Mala turut menaruh harapan untuk memenanginya. Penyanyi lelakinya, Rio Febrian pula mengungguli Artis Baru Lelaki menghampakan penyanyi baru Malaysia, Aqasha, Yasin dan Fazley selain Khareem dari Singapura. Yovie-Nuno yang mendaki populariti menerusi album Semua Bintang menepis saingan terdekatnya, Bozz, Ajai & Nurul selain calon Singapura, Yakamashi, Mashmellow dan Kaleidoscopicuriosity bagi meraih Duo/Kumpulan Baru Terbaik. Tuah juga berpihak kepada kumpulan yang popular dengan lagu Sesuatu Yang Indah, Padi menewaskan kumpulan nasyid popular negara, Raihan dan Rabbani untuk membawa pulang trofi Duo/Kumpulan Terbaik. Manakala, pasangan duet suami isteri, Kris Dayanti dan Anang unggul menerusi Makin Aku Cinta sebagai Lagu Terbaik mengenepikan calon pilihan, Raikan Cinta (M Nasir) selain Percayalah (siti Nurhaliza), Kasih Tak Sampai (Padi) dan Menadah Gerimis (Ziana Zain). Bagi kategori tempatan, Hetty Sarlene mencatat pencapaian paling membanggakan menerusi album keduanya, Tiada Lain apabila meraih trofi Artis Tempatan Terbaik. Selain penyampain trofi, APM 2002 turut menyajikan hiburan daripada penghibur terbaik tiga negara bertanding iaitu Ziana Zain, Siti Nurhaliza, Man Bai, Ferhad, Dayang Nurfaizah, Asiyah Sinnan, Fazley, Rio Febrian, Padi dan Kris Dayanti/Anang |
![]() |
MyAffiliate MyArchive MyClassifieds MyFactfiles MyF1 MyInfoMy MyMobile New Straits Times Business Times Malay Mail Sunday Mail Harian Metro Metro Ahad Computimes Business Computing |
Hakcipta © The New Straits Times Press (Malaysia)
Berhad, Balai Berita 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur,
Malaysia. |