Konsert Phoenix Bangkit di Singapura
PENYANYI dan komposer terkenal, M. Nasir akan mengadakan Konsert
Phoenix Bangkit di Suntex City, Singapura pada 5 Oktober ini.
Konsert itu lanjutan daripada konsert yang sama dirakamkan oleh stesen
ntv7 baru-baru ini.
Phoenix Bangkit M. Nasir menjadi isu hangat baru-baru ini
apabila Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) memotong segmen deklamasi
puisi dalam persembahan untuk siaran stesen itu.
Pengurus Produksi Luncai Emas Sdn. Bhd., Mohd Khirin Omar berkata,
pihaknya berharap, konsert itu akan mendapat sambutan hangat seperti
Konsert Gembala M. Nasir yang diadakan pada tahun 1999.
Menurutnya, memandangkan kejayaan Konsert Gembala di Singapura itu,
pihaknya dan Kawan Creative International Pte. Ltd. sekali lagi
menganjurkan konsert penyanyi itu.
Konsert itu telah mendapat sokongan dan penajaan promosi daripada
stesen radio dan televisyen di sana.
``Kami berharap akan menerima sokongan daripada semua media cetak di
Singapura dan Malaysia supaya dapat menghangatkan lagi usaha-usaha promosi
konsert itu,'' katanya.
Konsert Phoenix Bangkit M. Nasir menyaksikan penyanyi itu
membawakan lagu-lagu daripada album terbaru itu dengan lagu-lagu hit
seperti Raikan Cinta, Phoenix Bangkit dan Langgam Pak Dogo.
Album M. Nasir yang mula dipasarkan pada pertengahan Jun lalu
mendapat sambutan menggalakkan.
Kata Mohd Khirin lagi, pada konsert itu juga, M. Nasir akan
mengimbas kembali lagu-lagu popularnya seperti Express Rakyat, Andalusia
dan Kias Fansuri yang turut mengetengahkan 15 pemuzik termasuk penyanyi
latar.
Selain itu, tambah beliau, persembahan M.Nasir juga akan turut diiringi
oleh seorang pemain gendang Sunda yang diterbangkan khas dari Indonesia.
Mengenai pemilihan lokasi persembahan pula, Mohd Khirin berkata, kali
ini, Konsert Phoenix Bangkit M. Nasir akan dipentaskan di dewan
yang lebih besar bagi keselesaan peminat penyanyi itu.
``Daripada maklum balas yang diterima, kami amat gembira dengan peminat
M. Nasir di Singapura yang sudah tidak sabar lagi menunggu
persembahan M.Nasir,'' katanya.
Beliau memberitahu, tiket-tiket untuk menyaksikan konsert itu boleh
dibeli dengan harga S$48, S$68, S$88 dan S$108 di semua outlet SISTIC di
Singapura dan juga menerusi Luncai Emas dengan menelefon 03-61561357 (Nieza).
© UTUSAN MELAYU (M) BHD,
46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur. E-mail: online@utusan.com.my
Laman Web: http://www.utusan.com.my
|