APM 2001 ...memartabatkan lagu Melayu

M.Nasir, Ramli Sarip dan Chrisye
menyampaikan lagu Mantera Semerah Padi pada persembahan terakhir Anugerah
Planet Muzik 2001 (APM) di Habour Pavilion, Singapura, Sabtu lalu.
Penganjuran Anugerah Planet Muzik 2001 (APM) oleh dua stesen radio
popular Singapura iaitu Ria dan Warna diharapkan akan menjadi titik tolak
kepada karyawan Melayu melahirkan hasil yang bermutu tinggi pada masa akan
datang.
Ini kerana APM yang menggabungkan karyawan seni dari tiga negara Asia
Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura mampu meningkatkan
martabat muzik Melayu di rantau itu.
Menurut penerima sulung Anugerah Khas APM, M. Nasir, dia optimis
selepas ini karyawan Melayu khususnya di ketiga-tiga negara itu akan
tampil dengan semangat baru untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu.
Seniman kelahiran Singapura itu menambah, kejayaan lagu Melayu adalah
bergantung kepada bangsa itu sendiri.
"Saya melihat tidak ada sebab lagu Melayu tidak boleh berjaya di
peringkat yang lebih global dan melalui APM kita sebenarnya boleh
menzahirkan usaha itu,'' katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah
tersebut di Harbour Pavilion, Singapura malam Sabtu lalu.
Lantaran itu, M. Nasir menyaran agar karyawan tempatan mengambil
kesempatan melalui APM untuk mengetengahkan hasil karya mereka ke
peringkat rantau tersebut.
Katanya, muzik Melayu khususnya mempunyai identitinya tersendiri bukan
satu perkara yang mustahil untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih
luas.
Bagaimanapun, M. Nasir menegaskan, apa yang penting ialah setiap
karyawan perlu tahu matlamatnya dalam berkarya.
"Setiap karyawan tidak sekadar hanya bergantung kepada nasib
semata-mata sebaliknya lebih berusaha.Itu adalah kenyataannya,'' jelas
beliau lagi.
Pada satu soalan lain, M. Nasir berkata, sepatutnya APM telah
dianjurkan lebih awal lagi kerana majlis anugerah seperti ini banyak
menyumbang kepada kemajuan industri muzik sesebuah negara.
"APM bukan sekadar majlis sebaliknya satu perhimpunan yang
menekankan setiap karyawan kepada masalah-masalah yang dihadapi dalam
industri muzik,'' kata M. Nasir.
APM 2001 merupakan majlis yang memberi pengiktirafan kepada karya seni
penggiat muzik dari tiga negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia
dan Singapura.
Sebanyak 17 kategori dipertandingkan termasuk sebuah Anugerah Khas
Planet Muzik.
M. Nasir diberi penghormatan menerima Anugerah Khas Planet Muzik
berdasarkan sumbangan besarnya kepada industri muzik di ketiga-tiga negara
Asia Tenggara itu.
© UTUSAN MELAYU (M) BHD,
46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur. E-mail: online@utusan.com.my
Laman Web: http://www.utusan.com.my
|