M. Nasir ...beralih kepada irama Arab

M.Nasir
Oleh ROSLI MANAH
Dalam keghairahan kebanyakan komposer tempatan meminjam dan mengulangi
gaya muzik Barat dalam karya-karya lagu mereka, M. Nasir mencari hala tuju
yang baru dalam penciptaan muziknya.
Gaya muzik Barat kelihatan begitu dominan dalam lagu-lagu tempatan.
Sebagai produk dalam industri hiburan, muzik Barat dianggap mempunyai
nilai komersial tanpa menghiraukan akar budaya muzik tempatan.
Setelah membuat kajian dan penyelidikan tentang sejarah dan arus muzik
tempatan, M. Nasir mendapati irama Arab telah sekian lama menjadi akar
kepada muzik tempatan di negara ini.
Ini diperkuatkan lagi dengan cara kehidupan dan beragama Islam (di
kalangan orang Melayu) yang membuktikan hubungan rapat antara selera dan
akar budaya muzik tempatan dengan muzik Arab.
Menyedari hakikat itu, M. Nasir yang sebelum ini pernah menghasilkan
lagu Andalusia tentang sejarah kejatuhan sebuah negara Islam, kini
cenderung membawakan irama Arab dalam lagu-lagu ciptaannya.
Irama Arab menjadi teras kepada konsep muzik dunia yang dibawa menerusi
album terbarunya, Phoenix Bangkit. Album ini akan dipasarkan 12 Jun depan
oleh Warner Music.
``Saya bukan sekadar mahu lari dari muzik Barat sebaliknya kerana minat
pada irama Arab,'' kata M. Nasir dalam temu bual dengan Utusan baru-baru
ini.
Sebelum ini lagu-lagu ciptaan M. Nasir membawa elemen-elemen muzik
adunan tradisional dan moden yang unik. Kebanyakan muzik ciptaan M. Nasir
bebas daripada pengaruh Barat malah sangat ketara nilai-nilai tempatan
seperti menyelitkan elemen muzik Cina dalam lagu Melayu.
Menurut M. Nasir, orang Melayu dekat dengan budaya Arab sejak dahulu
melalui amalan cara kehidupan.
Di dalam menerbitkan lagu-lagu untuk album sulung di bawah label Warner
Music itu, kata M. Nasir dia menyelitkan unsur kemelayuan.
``Untuk membuat album yang ingin dipasarkan kepada orang Malaysia, kita
harus hasilkan apa yang dekat dengan mereka,'' tegas M. Nasir.
Album tersebut dianggap sebagai album muzik dunia kerana terkeluar dari
konsep muzik pop dari Barat, kata M. Nasir lagi.
Kini lagu Raikan Cinta mula diperdengarkan di corong radio sebagai
promosi awal sebelum album penuh penyanyi itu dipasarkan.
Lagu-lagu lain yang dijangka mendapat sambutan antaranya, Hijab Kekasih,
Sahabat Gua, Masirah, Phoenix Bangkit Dari Abu dan beberapa lagi.
M. Nasir juga mendedahkan. dia memilih irama Arab kerana kedengaran
hampir sama dengan irama joget yang cukup terkenal di kalangan peminat
muzik Melayu. Irama joget dibawa oleh kedatangan Portugis di Melaka telah
melalui proses asimilasi budaya dan kini joget menjadi sebahagian muzik
Melayu.
Kata M. Nasir, joget yang dibawa ke rantau Melayu oleh penjajah
Portugis itu juga menerima pengaruh muzik Arab.
Menerusi album ini, M. Nasir juga banyak memilih muzik yang segar dan
rancak untuk menampakkan kesegaran dan sesuai untuk ditarikan apabila
mengadakan persembahan.
Ditanya mengenai perancangan mengadakan konsert, kata Nasir, dia sedang
berbincang dengan pihak-pihak berkaitan untuk pelaksanaan konsert itu.
Sekiranya tiada halangan dia akan muncul dalam konsert istimewa sempena
kemunculan album itu pada September depan. Sesuai dengan pilihan muzik
yang ingin kembali kepada akar umbi Melayu, dia juga memilih lirik yang
menyentuh mengenai kisah dahulu kala.
``Saya tidak ceritakan mengenai kisahnya secara langsung sebaliknya
perkara lain berkaitan sesuatu kejadian dahulu,'' katanya.
© UTUSAN MELAYU (M) BHD,
46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur. E-mail: online@utusan.com.my
Laman Web: http://www.utusan.com.my
|