M. Nasir -- Pelbagaikan muzik Nusantara

M.Nasir
Oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin
Album terbaru komposer M. Nasir, Phoenix Bangkit dianggap karya muzik yang
unik lagi unggul kerana menyelongkar filosofi muzik nusantara untuk
menerjah dunia yang lebih luas.
Menurut M. Nasir, kelahiran album Phoenix Bangkit bertolak daripada
kehendaknya yang ingin mempelbagaikan lagu-lagu berentak nusantara.
``Selepas menghasilkan album Canggung Mendonan kira-kira tujuh tahun
lalu, saya sudah terfikir untuk melakukan sesuatu untuk album seterusnya,''
demikian kata M. Nasir ketika ditemui di pelancaran album Phoenix Bangkit
di Hotel Concorde Kuala Lumpur Khamis lalu.
Dalam sejarah muzik Melayu Malaysia, Phoenix Bangkit dianggap telah
mengembangkan sayap kembara dengan meninjau hubungan sejarah dan budaya
dengan elemen-elemen muzik masyarakat di timur tengah.
``Lagu Akar Kita dan Lembayung Sukma yang pernah saya hasilkan sebelum
ini adalah pembayang kepada apa yang saya lakukan sekarang,'' jelas M.
Nasir lagi.
M. Nasir mempunyai matlamat dalam muzik biar pun album Phoenix Bangkit
terpaksa melalui galur masa yang panjang untuk dijelmakan kepada khalayak
muzik.
Ini menurut M. Nasir, keadaan kemuraman ekonomi dan turunnya kuasa
membeli di kalangan peminat pada tahun 1998 membuatkan sebahagian besar
syarikat rakaman memilih untuk menghasilkan album kompilasi.
``Kerana itu saya terpaksa menunggu hampir tujuh tahun menzahirkan
album ini seperti yang anda dengar hari ini,'' jelas komposer yang
mencipta semua lagu dalam album terbarunya itu.
Phoenix Bangkit juga adalah gambaran jiwa M. Nasir yang sentiasa mahu
memberikan nafas dan suasana baru kepada lagu-lagu berentak tradisional
Melayu.
``Rentak lagu Melayu asli seperti inang ada tarikan yang agresif. Dalam
Pheonix Bangkit saya mendekatkan dengan muzik disko supaya ada satu rentak
moden berlandas muzik kita,'' tegasnya.
``Tujuannya supaya ada elemen tradisional yang boleh ditarikan oleh
orang muda.''
Mengenai penerimaan peminat terhadap album ini yang dikelaskan oleh
sesetengah pihak sebagai berat dan sarat dengan filosofikal, M. Nasir
berkata, selera peminat terlalu sukar ditelaah.
Ini kerana menghasilkan album adalah satu ``perjudian'' dan di negara
ini orang selalu bertanya tentang album baru.
``Di Barat orang tidak buat banyak album. Sebab itu sekali mereka buat
album yang meletup dan mereka sudah tidak boleh buat album lagi selepas
itu,'' jelas M. Nasir.
Majlis pelancaran Phoenix Bangkit itu turut diserikan dengan
persembahan M. Nasir yang menyanyikan lima lagu dari album terbaru itu.
Sementara itu ketika ditanya mengenai pengedaran album kompilasinya,
Prahara Seni Abadi oleh syarikat rakaman BMG Music, M. Nasir berkata, itu
adalah suatu yang tidak sepatutnya terjadi ketika album barunya berada di
pasaran.
Jelas M. Nasir, tindakan memasarkan album kompilasi seiring dengan
pasaran album terbaru adalah sesuatu yang menyalahi etika profesionalisme.
M. Nasir menafikan dia menghadapi ``masalah'' dengan BMG Music yang
menaunginya sebelum ini tetapi dia tidak mungkin dapat membantu syarikat
itu untuk mempromosikan album kompilasi tersebut.
``Masanya bukan sekarang. Mungkin saya akan beri kerjasama. Ada caranya
walaupun saya sudah berada di syarikat rakaman lain,'' katanya.
Kewujudan dua album penyanyi yang sama di pasaran boleh menimbulkan
kekeliruan peminat untuk memiliki album berkenaan.
Bahkan memasarkan album kompilasi ketika artis muncul dengan album
terbaru semacam menjadi gaya baru bagi sesetengah syarikat rakaman di
negara ini.
Sebelum ini, Warner Music pernah menerbitkan album kompilasi penyanyi
Nora ketika album barunya, Kencana baru beberapa hari berada di pasaran.
Menyentuh keadaan itu, M. Nasir berharap, peminat boleh menilai untuk
mendapatkan satu album berkenaan di pasaran.
``Saya fikir sebelum ini sudah banyak album kompilasi saya berada di
pasaran. Sebaliknya album Phoenix Bangkit adalah sesuatu yang terbaru.
Tentu elok beri laluan kepada album terbaru,'' jelas M. Nasir.
© UTUSAN MELAYU (M) BHD,
46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur. E-mail: online@utusan.com.my
Laman Web: http://www.utusan.com.my
|