S.M Salim berduet dengan 10 penyanyi
POPULARITI lagu Pandang Pandang, Jeling Jeling yang didendangkan oleh
Tan Sri S.M Salim dan Siti Nurhaliza secara tidak langsung telah membuka
mata banyak pihak.
Ini menyebabkan ramai artis yang menyatakan hasrat mereka untuk berduet
dengan penyanyi yang menerima anugerah Ijazah Kehormat Master Muzik (Persembahan)
daripada Universiti Putera Malaysia, Serdang baru-baru ini.
Permintaan yang bertalu itu menyebabkan S.M Salim berada dalam keadaan
serba salah. Beliau tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih.
Sebaliknya jika pihak syarikat rakaman artis tersebut memberi
kelonggaran, beliau bersedia untuk bergandingan dengan siapa sahaja.
``Bukan saya sengaja mahu berduet dengan Siti Nurhaliza. Ini berlaku
kerana cadangan penyanyi tersebut. Sebelum Siti tidak ada penyanyi yang
menyuarakan hasrat mereka untuk berduet dengan saya.
``Alhamdulillah, lagu tersebut meletup pula. Sekarang ini untuk tidak
menghampakan pelbagai pihak syarikat rakaman telah mengenal pasti beberapa
penyanyi untuk berduet dengan saya,'' katanya ketika ditemui di rumah di
Kampung Baru, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bergandingan
Untuk projek album duet itu, S.M Salim akan berpadu suara dengan 10
penyanyi popular masa kini. Penyanyi yang akan bergandingan dengannya
ialah Ramli Sarip, Zainal Abidin, kumpulan Raihan, Rosiah Chik, Sharifah
Aini, Siti Nurhaliza, Sheila Majid, Amy Search, kumpulan Ghazal Remaja
Tebrau dan M.Nasir.
Menurutnya, kesemua penyanyi yang disenaraikan itu adalah hasil
daripada perbincangannya dengan syarikat rakaman. Sementara lagu-lagu yang
akan didendangkan kebanyakannya adalah lagu-lagu baru yang menampilkan
rentak asli, world music, R & B dan rock.
Projek
Walaupun projek ini merupakan album S.M Salim namun beliau sebagai
penyanyi utama terpaksa mengalah kepada artis jemputan.
Sebagai penyanyi yang sudah 57 tahun membabitkan diri dalam bidang
seni, beliau terpaksa menyanyi mengikut konsep muzik setiap artis.
``Kalau menyanyi cara Zainal Abidin, saya tidak kisah sebab sebelum ini
saya pernah berduet dengannya menerusi lagu Satu. Saya risau apabila
berduet dengan M.Nasir.
``Saya sudah mendengar lagu-lagu dia, saya rasa susah. Entahlah mungkin
dalam studio nanti dapat ilham,'' katanya.
Setakat ini antara lagu-lagu yang telah siap dirakam ialah Seiris Hati
Sedulang Budi bersama Ramli Sarip, Melenggang Mak Inang dengan Rosiah Chik
dan Assalamualaikum bersama Raihan.
Lagu Assalamualaikum yang pernah didendangkan oleh Raihan dalam album
mereka telah dinyanyikan semula dengan susunan muzik baru.
Sementara lagu Bukit Kepong yang didendang bersama kumpulan Ghazal
Remaja Tebrau adalah lagu pilihan S.M Salim sendiri.
``Saya memang minta lagu itu didendang semula, sebab lagu itu penuh
makna pada saya.
``Waktu saya berada di Tangkak, saya melihat rakan-rakan saya ditahan
komunis dan sewaktu peristiwa Bukit Kepong, saya sendiri melihat apa yang
berlaku. Lagu tersebut saya tujukan khas pada rakan-rakan lama saya,''
katanya mengimbas semula sejarah silam.
Album yang diterbitkan oleh Arab, M.Nasir dan ramai lagi
itu dijangka akan berada di pasaran Jun ini.
© UTUSAN MELAYU (M) BHD,
46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur. E-mail: online@utusan.com.my
Laman Web: http://www.utusan.com.my
|