M. Nasir dan Marlia pilih bernikah di Hari Kebangsaan
SELEPAS kematian isteri dua tahun lalu penyanyi popular M. Nasir
digosip mempunyai hubungan dengan beberapa orang wanita.
Akhirnya penyanyi itu memilih pelakon Marlia Musa sebagai pasangan
hidupnya. Mereka bernikah semalam ketika rakyat negara ini dalam suasana
menyambut Hari Kebangsaan ke-43.
Tarikh itu sengaja dipilih untuk menyenangkan mereka mengingati dan
merayakan ulang tahun perkahwinan serentak dengan perayaan sambutan Hari
Kebangsaan.
M. Nasir, 43 membawa wang hantaran se-banyak RM20,000 serta tujuh
dulang hantaran manakala pihak Marlia, 33 membalas dengan sembilan dulang
hantaran.
Penyanyi itu membawa 13 keping dinar emas bernilai RM2,000 sebagai mas
kahwin ketika bernikah di rumah keluarga Marlia di Subang Jaya tengah hari
semalam.
Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid
Subang Jaya, Othman Arifeen. M. Nasir menjawab akad nikah sebanyak dua
kali.
Dalam majlis yang diadakan secara sederhana itu dihadiri oleh kira-kita
500 tetamu. Sekitar 50 orang rombongan daripada pihak M. Nasir
menghadirinya termasuk bapanya yang kelihatan uzur.
Majlis persandingan akan diadakan di sebuah hotel di Subang Jaya malam
ini manakala M. Nasir akan mengadakan majlis di Dewan Serbaguna Bandar
Baru Sungai Buloh, tengah hari esok.
Ditanya mengenai perancangan berbulan madu M. Nasir berkata dia belum
memikir-kannya kerana masih banyak komitmen kerja yang harus diselesaikan.
"Saya hanya cuti beberapa hari sahaja dan akan meneruskan kerja
selepas ini,'' katanya semasa ditemui selepas majlis akad nikah itu.
Mereka menyatakan kemungkinan akan berbulan madu bersama lima anak M.
Nasir hasil perkahwinan terdahulu di kawasan peranginan dalam negeri.
M. Nasir yang kelihatan ceria sepanjang majlis berlangsung tidak pernah
menghalang Marlia aktif berlakon, malah dia senang melihat isterinya maju
dalam kerjayanya.
"Sekiranya dia maju ke depan, saya lagi suka,'' kata M. Nasir
apabila ditanya mengenainya.
Sementara itu Marlia berkata dia akan membataskan aktiviti seni untuk
memberi tumpuan pada keluarga dan kerjanya sebagai pensyarah di Akademi
Seni Kebangsaan.
"Telah lebih dua tahun saya tidak berlakon drama televisyen dan
kali terakhir saya berlakon teater pada April lalu,'' kata Marlia.
Dia akan menimbangkan tawaran berlakon drama televisyen sekiranya dapat
menguruskan masa dan keutamaan akan diberikan kepada keluarga.
"Saya akan terus berlakon teater selepas ini,'' kata Marlia lagi.
Ditanya mengapa dia memilih dinar emas sebagai mas kahwin kata M. Nasir
dia ingin kembali kepada tradisi Islam dalam perkahwinan.
Dia akan membawa Marlia pindah ke rumahnya di Sungai Buloh selepas
majlis perkahwinan mereka selesai sepenuhnya.
© UTUSAN MELAYU (M) BHD,
46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur. E-mail: online@utusan.com.my
Laman Web: http://www.utusan.com.my
|