[ Isi Kandungan | Siri 50 | Siri 51 | Siri 52 ]
Beberapa Keanehan Bahasa Inggeris

Oleh A.R Dean (1 Feb 1991)

Minggu lepas kita menumpukan perhatian kepada satu masalah di dalam mempelajari bahasa Inggeris yang timbul kerana ada perkataan-perkataan yang mempunyai sebutan yang sama tetapi mempunyai ejaan dan makna yang berbeza. Tetapi dari satu segi, ini bukanlah satu masalah. Lazimnya, sungguhpun sesuatu perkataan itu mungkin mempunyai sebutan yang sama, kita dapat mengenal pasti perkataan mana yang disebut atau dimaksudkan dari konteks ucapan dan dengan ini tahu pula ejaan perkataan berkenaan.

Dalam erti kata lain, kita mungkin tidak tahu perkataan mana yang dimaksudkan hanya sekiranya perkataan itu disebut secara 'tunggal' atau 'tersendiri' seperti yang dibuat oleh Bimmy di dalam kartun Bringing Up Father yang disiarkan bersama pelajaran minggu lepas. Sekiranya ini berlaku seperti yang dilakukan oleh Jiggs, kita terpaksa bertanya perkataan mana yang dimaksudkan sebelum kita dapat menentukan ejaannya.

Sebagai contoh yang lain, mari kita lihat tiga perkataan yang mempunyai sebutan yang sama: rain (hujan), rein (tali yang diikat kepada kuda), reign (pemerintahan). Jika seseorang itu bertanyakan kita, "How do you spell rain?", kita belum boleh memberi jawapan kerana di dalam diri kita tertanya-tanya -- 'ren' mana yang dimaksudkan -- rain, rein atau reign? -- kerana kita tidak tahu konteksnya.

Di sebaliknya, sekiranya kita tahu konteks iaitu kita tahu makna perkataan maka kita tidak akan terkeliru oleh sebutan. Misalnya:
  1. It looks like 'ren' tomorrow.
    Dari konteks ayat ini, kita tahu bahawa maksudnya hujan. Jadi, ejaan 'ren' ialah rain:
    It looks like rain tomorrow.

  2. The Yang di-Pertuan Agong 'rens' but he does not rule.
    Dari konteks ayat ini, kita tahu bahawa maksudnya memerintah (takkanlah hujan pula, misalnya!). Jadi ejaan 'rens' ialah reigns:
    The Yang di-Pertuan Agong reigns but he does not rule.

  3. Please 'ren' in your horse.
    Dari konteks ayat ini, kita tahu bahawa maksudnya mengawal. Jadi, ejaan 'ren' ialah rein:
    Please rein in your horse.
Jadi, bukanlah sangat sebutan yang sama yang menimbulkan masalah. Apa yang menjadi masalah ialah sistem ejaan bahasa Inggeris tidak mengikut sistem bunyinya. Ini berbeza dengan Bahasa Melayu terutama selepas penyelarasan sistem ejaan dan bunyi di dalam bahasa baku.

Di dalam Bahasa Melayu, yang mungkin mendatangkan sedikit sebanyak masalah ialah huruf e, yang mempunyai sebutan berbeza berdasarkan sama ada ia e taling atau e pepet. Selain daripada ini, kita tahu bahawa suku kata ka, misalnya akan tetap berbunyi ka, tidak kira sama ada ia berada di dalam kapal, sekarang, belaka dan sebagainya.

Tetapi sistem ejaan bahasa Inggeris lebih rumit. Lihat sajalah perkataan sword. Seperti yang dimenungkan oleh Bugs Bunny: 'Is it pronounced' 'sword' 'or' 'sord'? Jawapannya: Strange as it sounds, I think it's pronounced "sord" but spelled "sword".

Inilah keanehan yang ada pada bahasa Inggeris yang kadangkala memeningkan kepala. Kalau barisan yang dimaksudkan, row berbunyi 'ro'. Tapi jika bunyi bising atau perkelahian yang dimaksudkan, row berbunyi 'rau'. Begitu juga jika air mata yang dimaksudkan, tears berbunyi 'tiers'. Tapi jika mengoyak yang dimaksudkan, tears berbunyi 'tez'.

Ini bermakna bahawa dari satu segi, di dalam Bahasa Inggeris bercakap dan mendengar lebih sukar daripada membaca dan menulis kerana kemungkinan salah faham atau membuat kesilapan lebih tinggi. Ini terutamanya berlaku apabila kita salah sebut (mispronounce) perkataan.

Kadang-kadang buruk padahnya. Inilah yang berlaku kepada sebuah syarikat penerbitan seperti yang dilaporkan di dalam ruangan Hotline akhbar The Malay Mail (Jan 22, 1991). Syarikat berkenaan menghantar telegram ucapan selamat hari jadi ke-65 kepada Perdana Menteri Malaysia. Antara lain ia (sepatutnya) berbunyi: "We join hundreds of thousands of grateful fellow Malaysians..."

Tetapi oleh kerana ucapan selamat hari jadi ini tidak ditulis oleh si pengirim tetapi disampaikan melalui telefon kepada petugas di Syarikat Telekom Malaysia yang kemudiannya menyalin ucapan tersebut, maka apa yang dihantar ialah: "We join hundreds of great fools (!!!) fellow Malaysians..." Sikit punya haru!

Nak salahkan si petugas di STM pun tak boleh juga. Maklumlah kerja banyak. Grate memang bunyi seakan-akan great. Dan ful memang bunyi seakan-akan (tapi tak serupa) dengan fool. Tetapi sebenarnya ful disebut pendek dan fool panjang (seperti perbezaan antara pull dengan pool atau antara still dan steel).

Pendek kata, berhati-hatilah apabila bercakap atau mendengar. Jika anda mengorat makwe yang tak pernah dikenali melalui telefon yang tersipu-sipu mengaku bahawa dia berumur sixty tetapi anda tersyok sendiri ingatkan sixteen, bayangkan wajah anda apabila anda menatap wajahnya di tempat temujanji kelak!

Latihan
Senarai berikut mengandungi maksud perkataan-perkataan yang mempunyai sebutan yang sama tetapi ejaan yang berbeza. Cuba cari perkataan-perkataan tersebut:
  1. A. Correct (betul)
    B. Solemn ceremony (upacara)
    C. Set down on paper (menulis)

  2. A. Because of or with the purpose of (kerana atau dengan tujuan)
    B. Warning call in golf (kata amaran di dalam permainan golf)
    C. The number after three (angka selepas angka tiga)

  3. A. Power of seeing (penglihatan)
    B. Place where something is found (tempat letak sesuatu)
    C. Quote (petikan)
Jawapan
  1. A. Right
    B. Rite
    C. Write

  2. A. For
    B. Fore
    C. Four

  3. A. Sight
    B. Site
    C. Cite

[Isi Kandungan]
Copyright © 1995-2000 Fz Sdc
nsr@melayu.com
http://www.melayu.com/nsr


1