Khazanah
Laman ini perlukan e-mel menarik dari seantero dunia


Liar
© Uthaya Sankar SB

Filem Liar Liar ternyata telah meninggalkan kesan yang cukup mendalam di jiwa anak saya.

“Saya juga membuat permintaan yang sama sebelum meniup lilin pada kek hari jadi. Ayah tidak boleh membohongi saya hari ini,” kata Johnathan.

Saya pada mulanya kurang faham maksud kata-katanya. Setelah Johnathan bergegas lari keluar menaiki bas sekolah, barulah Isabella menerangkan kedudukan sebenar.

“Kau terlupa, Sam.”

Saya mula memikirkan apa yang saya terlupa. Ternyata sukar untuk mengingat sesuatu yang benar-benar sudah dilupa!

“Semalam hari jadi John yang keempat belas,” Isabella mengeluh sambil merenung anak-anak mata saya berulang kali.

Saya tidak punya alasan bagi menutup kesalahan saya. Sesungguhnya saya tidak ingat langsung bila hari jadi Johnathan. Malah hari jadi Isabella. Begitu juga dengan tarikh perkahwinan kami. Mei 1982, kalau tak silap saya. Semalam, 25 April. Ini bermakna Johnathan lahir pada 25 April 1983. Saya harus cuba menghafaz tarikh itu.

“Kau terlupa, bukan?”

Saya memilih untuk tidak menjawab. Saya kembali menatap halaman dua Utusan Malaysia. Seperti biasa, tiada apa-apa berita yang bermanfaat. Cuma laporan tentang menteri mana pergi ke mana untuk buat apa dan apa yang dikatakannya di sana.

Isabella nampaknya telah duduk di hadapan saya. Tentu dia telah lama merenung saya. Sewaktu saya habis membaca akhbar, dia masih merenung saya. Lalu renungannya itu saya balas dengan kerutan kening.

“Sam, kenapa kau bersikap begini?” tanyanya dengan tenang seraya menyentuh tangan kanan saya dengan lembut. “John mengharapkan kehadiran kau malam tadi.”

“Aku lupa. Aku tak ingat,” kata saya dengan hambar; sekadar untuk menyembunyikan hakikat bahawa saya telah luangkan malam tadi bersama Jane.

Isteri saya menggeleng kecil. Amat kecil. Tangan yang menyentuh tangan saya ditariknya perlahan ke pangkuan.

“Kau tidak pandai menipu, Sam.”

Dia bangkit menuju ke tepi dinding. Matanya tertumpu pada foto Johnathan sewaktu berusia lapan tahun. Di kiri kanannya, saya dan Isabella. Wanita dalam foto itu tersenyum girang. Jauh berbeza dengan penampilan dirinya
sekarang.

Seketika saya mula membanding-bandingkan Isabella dengan Jane, teman sekerja di firma guaman. Ternyata Jane lebih membangkitkan selera untuk dimesrai. Memang Isabella juga begitu suatu masa dahulu. Tapi itu dulu. Bukan lagi kini.

“Kau tahu, Sam?”

Segera saya menoleh ke arah Isabella; sekaligus mematikan khayalan terhadap Jane. Wanita itu masih berdiri di tempat tadi. Tapi pandangannya tidak lagi tertumpu pada foto di dinding. Dia sedang memandang saya dengan lesu.

“Kau tahu apa permintaan John semasa meniup lilin malam tadi?”

Sesungguhnya saya sudah tahu. Baru sebentar tadi Johnathan telah menerangkannya kepada saya: “Saya harap ayah tidak akan berbohong sekurang-kurangnya selama sehari.”

Impian dan permintaan yang bagus, bukan? Ternyata Johnathan terpengaruh dengan filem Liar Liar lakonan Jim Carrey. Aneh juga bagaimana seseorang boleh terpengaruh dengan filem seumpama itu. Apatah lagi sebuah filem lakonan si bodoh tolol itu!



Ace Ventura, Mask, Dumb and Dumber dan entah apa-apa lagi filem yang layak bagi tontonan khalayak berselera rendah. Tapi khabarnya lakonan Jim Carrey dalam Liar Liar menunjukkan peningkatan. Ah! Mungkin sahaja penipuan sebagai strategi dan taktik untuk menarik penonton ke panggung.

Ceritanya cukup mudah: tentang seorang peguam yang sentiasa menipu dan berbohong dalam kerjaya mahu pun dalam hidup seharian. Lalu anaknya membuat permintaan pada hari jadinya agar ayahnya tidak menipu selama satu hari. Impiannya menjadi kenyataan. Nah! Dari situlah bermulanya kecelaruan dan kelucuan dalam hidup peguam berkenaan. Tidak ubah seperti sebuah fairy tale.

Dan anak saya juga nampaknya membuat permintaan yang sama malam tadi. Betapa filem-filem bodoh seumpama itu masih mampu mempengaruhi pemikiran remaja! Tetapi ini lebih baik daripada Johnathan terpengaruh dengan filem-filem X-rated.

“Kau tidak mendengar kata-kataku, Sam.”

Saya terus memandang kosong ke wajah Isabella. Memang benar kata-katanya. Saya tidak sedar langsung bahawa saya sedang mengelamun. Entah apa yang telah diperkatakannya sebentar tadi.

“Aku akan terlewat!”

Spontan saya melihat pergelangan tangan. Mujurlah saya tidak terus leka. Segera saya mengucapkan selamat tinggal dan keluar rumah. Isabella sempat mengingatkan bahawa dia akan menggunakan Kancil Era untuk ke pasar. Jadi, saya memandu Suzuki Vitara.

Sepanjang perjalanan ke pejabat, saya pasang lagu-lagu dari filem Indian dan Arunachalam. Jalan raya di bandar raya Ipoh sesak seperti biasa. Namun tidak timbul soal saya akan terlewat masuk kerja. Ini untungnya menjadi rakan kongsi di firma guaman.

Sambil menjalankan rutin harian, saya terkenangkan juga Johnathan yang nampaknya genap berumur 14 tahun  semalam. Kami pernah rapat sedikit masa dahulu. Tetapi bilamana Johnathan berumur 13 tahun, dia mula lebih
banyak meluangkan masa bersama rakan-rakan.

Perkara seperti itu tidaklah menghairankan. Saya juga bersikap begitu semasa remaja. Cuma, saya harap, Johnathan tidak akan terpengaruh dengan unsur-unsur negatif yang mungkin dibawa oleh rakan-rakannya.

Johnathan adalah cahaya dalam hidup saya dan Isabella selama ini. Saya berkahwin pada usia 25 tahun. Isabella setahun lebih muda. Sebagai anak tunggal, Johnathan menerima sepenuhnya kasih-sayang daripada kami berdua.

Tetapi hidup tidak selamaya seperti sebuah filem, bukan? Tidak seperti filem Melayu dan Tamil yang sering ditonton. Tetapi ada sedikit persamaan dengan filem Inggeris. Ya: hidup yang realistik; penuh dengan permasalahan.

Dan agak tidak adil juga kerana Jonathan terpaksa turut menjadi mangsa dalam permasalahan hidup ini. Tetapi dia terpaksa akur pada hakikat bahawa ibu bapanya tidak bahagia. Setelah dua kali berpisah dan kemudian
berbaik-baik semula, saya sudah tidak bahagia bersama Isabella.

Sejak akhir-akhir ini, saya lebih suka mencari keseronokan di luar. Isabella sudah tidak mampu melayani saya sepenuhnya. Dia sudah hilang keupayaan itu. Malah, bila-bila masa sahaja saya mungkin akan meninggalkannya.

Johnathan perlu memahami semua itu. Atau sekurang-kurangnya menerima hakikat hidup orang tuanya. Saya tidak dapat berbohong kepadanya untuk selama-lamanya. Dia bukan budak-budak lagi. Esok atau lusa, dia terpaksa
menerima hakikat hidup. Hakikat bahawa ayahnya bukan sebaik yang disangkanya sewaktu dia masih kecil. Saya bukan hero yang dipujanya dahulu. Saya hanyalah manusia biasa yang menjalani hidup sebagaimana mana-mana manusia lain. Hidup penuh noda dan pura-pura. Hidup yang nyata.

Bayangkan! Johnathan membuat permintaan agar saya tidak berbohong selama satu hari. Masakan boleh. Semua itu hanya mungkin dalam dunia layak perak; dunia lakonan. Betapa Jim Carrey berjaya mempengaruhi anak saya!

Bayangkan apa akan berlaku jika permintaan Johnathan benar-benar dimakbulkan Tuhan. Tentu saya senasib dengan watak yang dilakonkan oleh Jim Carrey dalam Liar Liar.

Sepanjang hari, bayangan itu terus bermain dalam fikiran saya. Betapa sukarnya jika saya tidak berupaya untuk berbohong selama 24 jam. Apakah saya akan berterus-terang kepada Jane bahawa saya tidak berhasrat
mengambilnya menjadi isteri? Apakah saya akan tetap berbohong kepada Johnathan bahawa saya tidak akan meninggalkan Isabella? Bahawa hidup kami bertiga akan kembali bahagia seperti suatu masa dahulu dan
kami akan “live happily ever after”?

Bagaimana pula dengan hidup seharian saya tanpa sedikit pun melakukan pembohongan dan penipuan? Masakan saya boleh berterus-terang kepada pelanggan terbaru saya, Thurai bahawa dia pasti tidak akan berhasil dalam tuntutan saman malu terhadap Vellusami yang menghinanya dalam kempen pilihan raya.

Agak menarik juga memikirkan segala kemungkinan yang boleh terjadi. Namun begitu, semua itu adalah mustahil. Kecuali jika seseorang berbohong bahawa dia tidak berbohong!

Johnathan perlu menerima hakikat hidup. Dia tidak boleh terus bersikap keanak-anakan dengan menyimpan impian yang bersikap kebudak-budakan.

Dalam hidup ini, cuma satu perkara yang tidak dapat saya bohongi: hakikat bahawa saya amat menyayangi Johnathan. Cuma, saya sudah tidak mampu lagi untuk mengungkapkan kasih sayang saya terhadapnya.

Mungkin hidup yang penuh pura-pura, penuh penipuan dan pembohongan sedang semakin menghakis nilai kasih sayang dalam diri saya. Saya tidak berani menatap mata Johnathan lebih daripada sepuluh saat. Dulu saya
mampu melakukannya selama berjam-jam sambil memeluknya erat.

Tetapi itu dulu; sewaktu Johnathan masih kanak-kanak dan masih menganggap ayahnya seorang wira yang serba sempurna. Kini saya tidak berani menatap matanya. Saya bimbang bahawa mata saya akan turut berbohong kepada Johnathan. Lalu akan hilang langsung satu-satunya deria pada tubuh saya yang tidak pernah berbohong kepada Johnathan.

Walaupun impian Johnathan nampaknya tidak menjadi kenyataan, tetapi sekurang-kurangnya dia telah mencuba. Dan saya tidak pula akan menurut contoh dari filem Tamil dan Hindustan di mana watak-watak sering ‘insaf’ dalam jangka waktu yang relatif singkat.

Itu filem. Ini hidup. Johnathan perlu memahaminya. Tidak lama lagi, dia juga perlu belajar untuk berbohong dan menipu. Belajar untuk berpura-pura untuk terus hidup. Belajar untuk berlakon dengan cukup baik sehingga orang lain tidak menyedari kepura-puraannya. Tidak akan ada situasi seperti dalam filem Liar Liar.

Tidak lama lagi, Johnathan pasti akan menyedari betapa pentingnya keupayaan berbohong. Sebagai remaja, tentu banyak perkara yang akan cuba disembunyikannya daripada pengetahuan saya dan Isabella. Waktu itu, dia akan sedar bahawa hidup tidak bermakna jika manusia tidak berupaya untuk berbohong dan menipu.

Johnathan sudah tidur semasa saya pulang pada sebelah malam. Saya duduk di sisi katilnya selepas mandi. Nampaknya Johnathan tertidur sambil membaca. Di tangannya tergenggam beberapa helai kertas komputer.

Tiba-tiba – ya, tiba-tiba sahaja – saya terasa sedikit kesal dengan sikap saya terhadap Johnathan pagi tadi. Saya menatap wajahnya puas-puas: jernih dan tiada tanda kepura-puraan. Namun, saya pasti bahawa tidak lama lagi, wajah itu juga akan belajar untuk berpura-pura.

“Maaf, John. Impian hari jadi kau tidak menjadi kenyataan.”

Saya tersengih sendirian. Bagaimana agaknya reaksi Johnathan apabila dia mendapat tahu bahawa ayahnya tetap telah berbohong seperti biasa sepanjang hari ini? Tetapi tentulah Johnathan tidak akan tahu apa yang telah saya lakukan sepanjang hari ini. Mungkin saya akan berbohong kepadanya pagi esok: bahawa saya tidak berbohong sepanjang hari!

Saya tersenyum sendirian sambil terus duduk di sisi katil Johnathan. Saya pandang poster-poster yang ditampal pada dinding bilik. Buku-buku komik berselerak di atas meja. Komputer masih belum dimatikan. Screen saver berupa scrolling marquee memaparkan kata-kata “Liar Liar”. Dulu, Johnathan pernah memasukkan frasa “My Dad, My Hero” pada screen
saver.

Saya menghampiri komputer untuk mematikannya. Pada waktu itu saya menyedari bahawa printer juga masih hidup dan sedang mencetak sesuatu. Saya menarik sehelai kertas secara rambang dan membaca:
 

“… Johnathan perlu memahaminya. Tidak lama lagi, dia juga perlu belajar untuk berbohong dan menipu. Belajar untuk berpura-pura untuk terus hidup. Belajar untuk berlakon dengan cukup baik sehingga orang lain tidak menyedari kepura-puraannya. Tidak akan ada situasi seperti dalam filem Liar Liar. … Tidak lama lagi, Johnathan pasti akan
menyedari betapa pentingnya keupayaan berbohong. Sebagai remaja, tentu banyak perkara yang akan cuba disembunyikannya daripada pengetahuan saya dan Isabella. Waktu itu, dia akan sedar bahawa hidup tidak bermakna
jika manusia tidak berupaya untuk berbohong dan menipu. …”
 

Mingguan Malaysia, 23 November 1997 © Uthaya Sankar SB


Cerpen ini saya terima dari e-mel Uthaya Sankar SB, banyak lagi Cerpen beliau ada disimpanan saya jika inginkan
cerpen beliau sila emel uthayasb@tm.net.my  -iDAN

Hadis


Laman Utama KSS

1