![]() |
Ulasan Review |
. | . |
Judul : Layar Lara
Tahun : 1997
Pengarah : Shuhaimi Baba
Lakon Layar : Shuhaimi Baba
Pelakon : Ida Nerina, Azean Irdawaty, Sidi Oraza, Man Bai, Shazleen Shahbi, Kavita
Kaur, Ismail Hutson, Maman dan lain-lain
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Layar Lara adalah filem ketiga Shuhaimi Baba.
Kematangan karya seseorang pembikin filem selalu diukur dari filem ketiganya. Sebagai
sebuah karya, Layar Lara adalah mantap dan sekali gus membuktikan keupayaan
sebenar Shuhaimi sebagai antara pembikin filem tempatan yang penting hari ini.
Secara tematik, Layar Lara adalah lanjutan filem-filem Shuhaimi yang terdahulu seperti Selubung (1992), Ringgit Kasorrga (1994) dan drama tv Maria.
Kesemua filem-filem ini memusatkan persoalannya kepada citra wanita. Umpamanya dalam Maria, drama itu cuba memahami ketabahan seorang wanita yang menghadapi kemelut rumahtangga. Selubung membawa cabaran dan ketabahan wanita sebagai pejuang dalam dua dunia yang berbeza. Dan dalam Ringgit Kasorrga, kita melihat wanita dalam gemerlap dan kemilau dunia model.
Dunia yang punya sisi gelapnya yang tersendiri. Dalam Layar Lara, Citra wanita terus dilihat peranan mereka dalam dunia seni yang penuh ranjau di sebalik sanjungan yang diterima. Ia dilihat dalam konteks dua zaman yang berbeza. Nyata Shuhaimi cukup konsisten dalam pandangannya dan sentiasa memberikan tafsiran yang menarik.
Secara yang cukup berkesan, Layar Lara menunjukkan hakikat dunia filem yang dilalui oleh kedua-dua seniwati bukan hanya kilauan gemerlap suluhan glamor. Ia adalah perjuangan yang sarat dengan ranjau duri dan airmata.
Peranan wanita dalam dunia filem cukup besar ertinya. Mereka adalah `figure' dan subjek utama dalam setiap pembikinan filem.
Layar Lara secara sensitif bercerita tentang hubungan dan nilai kemanusiaan tanpa perlu berprasangka pada dua generasi insan filem. Yang satu mewakili generasi awal filem Melayu yang pernah melalui zaman gemilangnya dan yang satu lagi mewakili generasi kini filem Melayu yang menghadapi kesukaran tersendiri dalam berkarya.
Seniwati Zai (Azean Irdawaty) yang kini dimamah usia adalah pelakon terkenal sewaktu di zaman kegemilangan filem Melayu Studio Jalan Ampas dan Cathay Keris di Singapura.
Seniwati Zai terperangkap dengan kegemilangan silamnya. Dia hidup dengan kenangan masa lampaunya itu (kanvas poster filem lakonannya Asmara Juita sentiasa terpampang berhampiran rumahnya).
Peristiwa runtuhan batu dari bangunan yang sedang dibina sebenarnya memberikan kesan yang tersendiri kepada ingatannya. Kesan daripada runtuhan itu, fikirannya kacau dan tidak menentu.
Kehidupan `real' dan kenangan kepada zaman kegemilangannya sebagai pelakon filem berbaur dan sering tidak dapat dibezakannya selepas itu. Kesemua kesan psikologi dan intrig perwatakan seniwati Zai menjadikan wataknya cukup menarik.
Pada wataknya, terserlah makna kecekalan, tanggungan penderitaan dan harapan. Seniwati Zai mampu meraih simpati tetapi tidak menjadikannya watak yang pathetic.
Pada pelakon seperti Ena Manjalara (Ida Nerina), dunia lakonan dan filem adalah kemewahan, keseronokan dan gemerlapan dunia glamor. Ena mewakili sebahagian daripada pelakon muda yang berbakat, cantik dan mempunyai daya tersendiri menentukan kejayaan komersial.
Tetapi, sikapnya yang liar, tidak berdisiplin dan masalah hubungan dengan pelakon lain hampir sahaja memusnahkan kariernya.
Bagaimanapun, di sebalik kelemahannya, Ena masih mempunyai nilai-nilai mulia.
Di tengah kesibukan orang lain, Ena menghargai dan menghormati Seniwati Zai pelakon pujaannya yang sudah tidak dipedulikan lagi.
Memang Ena angkuh dengan keupayaannya tetapi pada ketika yang lain sanggup berlutut mengakui kelemahannya. Perhatikan dalam satu adegan yang mengesankan bila dia harus mendepani Malik (Sidi Oraza) untuk memohon maaf.
Dia berhenti sebentar mengumpul seluruh kekuatan dalamannya. Dia diam dan menelan segala kepedihan dalam menghadapi tempelak dan penghinaan dari Malik. Kemudian sewaktu ditinggalkan bersendirian, dengan perlahan, tetapi pasti Ena melepaskan segala perasaannya yang terbuku. Lengkaplah satu transformasi watak dari kekuatan lakonan Ida Nerina.
Filem ini boleh sahaja dieksploit dengan mengambil aspek yang melodramatik. Subjeknya memungkinkan unsur melankolis yang berlebihan. Konflik nilai antara dua generasi pelakon serta hubungan Ena, Daud (Man Bai) dan Syak (Maman) boleh diperbesarkan untuk menggerakkan cerita yang lain. Tetapi Shuhaimi tidak membiarkan dirinya terperangkap dengan kemungkinan itu. Biarpun banyak pelakon veteran digunakan dalam filem ini, mereka tidak digunakan untuk meraih simpati. Dia memberi keseimbangan sewajarnya dalam mengembangkan watak-wataknya. Ini kerana Layar Lara bergantung pada kekuatan lakonan yang mengerakkan watak-wataknya. Hubungan watak-watak inilah yang menggerakkan konflik dalam filem ini.
Layar Lara sebenarnya adalah filem dalam filem. Sebagai cerita utama, ia sebenarnya bercerita tentang hubungan kemanusiaan dan semangat anak-anak seni yang bergiat dalam pembikinan filem. Generasi lama pelakon filem yang masih bersemangat untuk terus berlakon, tetapi terus terpinggir. Mereka hanya mampu melihat cara generasi baru bekerja. Filem yang dihasilkan dalam filem ini berjudul Tanah yang diarahkan oleh Malik dengan pelakon utamanya ialah Ena Manjalara. Tanah bercerita tentang kelangsungan generasi, `survival' bangsa, hak milik dan tanah pusaka. Filem dalam filem ini sebenarnya membawa kenyataan politik yang cukup berani dari Shuhaimi.
Sebenarnya dua persoalan utama dalam filem ini berkait rapat. Yang satu bercerita tentang hubungan dan nilai-nilai kemanusiaan, manakala yang satu lagi bercerita tentang kelangsungan generasi yang melibatkan hak milik tanah dan pusaka.
Hubungan antara keduanya diikat secara simbolik dalam kesimpulan di penamat filem ini, bilamana tuan punya bangunan tinggi yang sekian lama hendak dinaiki kekemuncaknya oleh Seniwati Zai menawarkan diri untuk membeli rumah pusaka Seniwati Zai.
Bukan sahaja kerana minatnya kepada Seniwati Zai, tetapi juga agar ia terus kekal di situ, di celah-celah pembangunan yang begitu pesat.
Filem ini tidak bergantung kepada pemandangan yang hebat atau kehebatan pada dekor dalaman setnya, tetapi ia bergantung pada kekuatan pelakonnya. Ida Nerina dan Azean Irdawaty cemerlang dengan watak masing-masing. Sidi Oraza sebagai Malik, pengarah yang tidak mudah berkompromi memperkuatkan lagi aspek lakonan dalam filem ini. Yang memeranjatkan pastilah Man Bai. Sebagai Daud, anak saudara seniwati Zai yang amat meminati dunia lakonan dan dalam masa yang sama harus membawa harapan Makciknya dan sekumpulan seniman veteran. Dalam masa yang sama dia mudah lemah dengan rayuan Ena yang disangkanya menaruh perasaan kepadanya. Dia sanggup berdepan dengan Malik demi mempertahankan keyakinannya dan bila dicabar. Keupayaan lakonan Man Bai teralir dari mimik dan ekspresi wajahnya. Lakonannya terkawal dan dia tahu bila waktunya yang tepat melepaskan perasaannya.
Dari segi pengarahan, inilah filem terbaik Shuhaimi. Arahannya mantap dan setiap `shot' dirancang dengan baik. Suntingan yang baik membantu mengawal `mood' dan ritma filem ini. `Shot'nya ekonomikal tetapi berfungsi dengan cukup baik dalam mentafsir ceritanya. Lakonan, fotografi dan suntingan nyata saling memperkejapkan filem ini.
Pada saya ini adalah filem Shuhaimi yang terbaik setakat ini. Layar Lara adalah penghasilan yang boleh dibanggakan.
Sumber : Utusan Online 14/2/1997
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |