![]() |
Rencana Article |
. | . |
Peminat filem negara ini barangkali tidak berpeluang menyaksikan filem Eyes Wide Shut di pawagam kerana kontroversi adegan seks antara pelakon utama Nicole Kidman dan Tom Cruise.
Kalau ditayangkan selepas penapisan, 45 minit terakhir filem ini akan dipotong dan membuatkan jalan ceritanya hilang dan menjejaskan keseluruhan filem ini.
Filem arahan Stanley Kubrick ini dianggap filem kontroversi yang menutup abad ini. Kubrick yang meninggal dunia beberapa bulan lalu tidak sempat melihat reaksi penonton terhadap filem terakhirnya selepas 12 tahun menghasilkan Full Metal Jacket.
Eyes Wide Shut pada mulanya dijangka hanya mengambil masa penggambaran 18 minggu sahaja bagaimanapun selepas semuanya selesai, Kubrick berubah fikiran dan membuat semula banyak adegan sehingga filem itu mencatat masa penggambaran 52 minggu.
Filem lakonan pasangan suami isteri popular ini menghadapi masalah dengan pihak badan penapisan filem di Singapura sejak sebulan lalu.
Pihak penapisan Singapura mahu memotong adegan seks di dalam filem tersebut tetapi dibantah oleh pengedarnya, Warner Bros.
Pihak pengedar bertegas mahu menayangkan filem terakhir Kubrick itu sebagaimana potongan yang telah mereka buat untuk versi Asia.
''Kami fikir ia hanya membazirkan masa penonton sekiranya mereka tidak dapat menonton adegan tersebut (adegan seks),'' kata jurucakap Warner Bros, Li Sok Heng.
Pihak pengedar pada mulanya telah menghantar versi Eropah yang memuatkan aksi bogel dari sudut hadapan.
Tetapi apabila pihak penapisan Singapura menolak, mereka menghantar versi Amerika yang telah dipadamkan aksi bogel secara digital.
''Tetapi mereka masih tidak senang dengan versi Amerika itu,'' kata Li.
Singapura sebelum ini telah melonggarkan penapisan terhadap filem-filem luar khususnya dari Amerika.
Filem Eyes Wide Shut telah diluluskan tayangannya di beberapa negara Asia antaranya Hong Kong, Taiwan, Filipina dan Jepun.
Kidman dalam temubual majalah Time tidak lama dulu berkata, dia berbangga kerana turut terlibat dengan filem tersebut sekalipun banyak pihak mengkritik kerana adegan seks.
Tom Cruise pula semasa menghadiri Festival Filem Venice baru-baru ini, menegaskan Eyes Wide Shut bukan filem lucah sebaliknya mengenai seks dan perkara-perkara lain dalam hidup manusia.
''Saya gembira kerana orang di Venice dapat menonton filem itu dalam versi asal,'' kata Cruise lagi.
Kidman mengulas, filem tersebut telah memberi tekanan berat kepada perkahwinan mereka yang mencecah sepuluh tahun.
Selain filem itu beberapa filem lain yang ditayangkan di Venice turut memperkatakan mengenai seks, antaranya filem arahan Frederic Fonteyne, Une Liaison Pornographique dan Lies arahan Jang Sun Woo.
Kidman dikatakan memberikan sesuatu yang lebih kepada peminatnya melalui filem tersebut yang dianggap terlalu keterlaluan oleh sesetengah pihak.
Dalam festival itu Eyes Wide Shut versi Eropah dipilih untuk tayangan gala. Ia memuatkan aksi seks yang tiada dalam versi Amerika.
''Banyak pembikin filem memutuskan untuk bercerita mengenai seks, saya tidak fikir ia adalah kebetulan sebaliknya pihak festival sengaja mahukan filem sedemikian,''kata pengarah Itali, Alberto Barbera.
Malah juri festival itu, Emir Kusturica berkata filem lakonan Kidman dan Cruise itu akan memenangi anugerah sekiranya turut bertanding.
''Filem itu membawa balik kekuatan pada dunia perfileman yang telah hilang sejak 20 tahun, ''kata pengarah kelahiran Sarajevo itu lagi.
Sumber : Utusan Online 6/9/1999
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |