![]() |
Rencana Article |
. | . |
Filem One Day In September telah dipilih sebagai dokumentari terbaik Anugerah Akademi ke-72 baru-baru ini.
Dengan prestij dan usia Anugerah Akademi yang begitu panjang, filem yang dimartabatkan di pentas ini cukup diberi perhatian. Dalam kata lain, One Day In September juga sebuah karya besar yang pasti menarik para pengkaji untuk melihat rencah pemikiran dan ideologi yang melahirkan filem ini.
Apabila Anugerah Akademi memilih sesebuah filem untuk diberi pengiktirafan, bermakna ia mempunyai taraf yang luar biasa dan menyumbang kepada khazanah seni, teknologi dan kemanusiaan di seluruh dunia.
Lalu kalau mengambil senario ini, One Day In September juga telah atau akan memberi sumbangan besar kepada perjuangan kemanusiaan dari sudut pandangan Barat.
Filem pula selalu dilihat dalam dunia dan realiti yang tersendiri. Realiti dalam filem dianggap bukan realiti sosial. Malah ada ekstremis filem yang memaafkan semua ketelanjuran dan kebiadaban filem kerana melihat dua realiti yang terpisah ini.
Benarkah realiti filem dan realiti sosial terpisah? Kita boleh saja melihat filem sebagai filem. Atau melihat filem sebagai karya seni dan menutup sudut lain. Sebenarnya sukar juga untuk melihat kejujuran filem sebagai karya seni atau realiti filem bukan realiti sosial.
Apa isunya One Day In September sehingga diangkat sebagai dokumentari terbaik Anugerah Akademi? Tentulah tidak lain makna ''kemanusiaan'' dari sudut pandangan Barat.
One Day In September mengenai pembunuhan 11 atlet Israel di Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman. Filem ini pasti akan membuat dunia bersimpati dengan 11 atlet itu. Dalam sekian banyak subjek lain yang boleh diangkat ke filem tetapi pengarah Scott, Kevin MacDonald ini memilih pembunuhan yang dilakukan oleh gerila Palestin. Kenapa?
Sebenarnya apabila sebuah karya dimartabatkan oleh majlis sehebat Anugerah Akademi, kita jarang bertanya kenapa ia begitu dan tidak begini.
Tragedi yang dipanggil sebagai Black September itu dari sudut pandangan Barat adalah dilakukan oleh penjenayah. Label diberikan kepada gerila Palestin yang tanah mereka dicabul oleh Israel.
One Day In September barangkali tidak 'berperikemanusiaan' kalau menggambarkan pencabulan Israel terhadap Palestin. Lalu untuk kelihatan berperikemanusiaan, tragedi di Munich.
Gerila Palestin pada mulanya membunuh dua atlet Israel dan menawan sembilan yang lain setelah memasuki perkampungan di Sukan Olimpik itu. Kerana tiada kata putus, sembilan yang ditawan itu turut dibunuh.
Seluruh dunia tahu kekejaman Israel terhadap Palestin. Tetapi kekejaman itu mempunyai makna yang berbeza mengikut siapa yang mentafsirkannya. Bagi Barat ia bukan kekejaman sebaliknya yang kejam ialah apabila gerila Palestin membunuh 11 atlet.
Barangkali kerana mahu mentafsir kekejaman gerila Palestin itu maka MacDonald menghasilkan One Day In September. Benarkah realiti filem bukan suatu yang realiti?
Sejauh mana filem hanya dilihat sebagai karya seni dan bukan pembawa agenda di sebaliknya? Kemenangan One Day In September barangkali kerana ia senada dengan filem-filem yang diberi anugerah pada tahun ini.
Kali ini Anugerah Akademi memberi penghormatan kepada filem-filem yang memancarkan kilauan seks bebas, runtuhnya institusi keluarga di Amerika dan pelbagai lagi gejala lain.
''Ini cuma realiti dalam filem. Filem kena dilihat dari sudut seni,'' demikian kata seorang rakan yang melihat filem hanya sebagai filem. Tetapi hanya dia yang tahu sejauh mana kejujurannya memisahkan seni dengan realiti di luar filem.
Barat sebenarnya telah mengajar kita bagaimana untuk menilai karya seni yang 'bermaruah' lagi artistik. American Beauty adalah karya yang bermaruah kerana nilai seninya.
Kerana Barat kata begitu, maka kita juga terpaksa mengiakan bahawa American Beauty yang dipilih sebagai filem terbaik sebagai karya yang hebat. Cendekiawan filem yang mendapat didikan di Barat memaafkan kebiadaban American Beauty yang menganjurkan hidup yang 'mulia' cara Amerika.
Benarkah filem boleh terpisah secara total dengan realiti sosial di luar filem? Mampu atau jujurkah kita untuk memisahkan kebiadaban filem dengan kemuliaan seni dalam karya yang sama?
Amerika kini menjajah dunia dengan media yang digemari. Filem menjadi media penting kerana selain mengeksport bahan hiburan, ia turut membudayakan dunia dengan cara Amerika.
Kerana itu 'kemuliaan' cara Amerika menjadi ikutan dunia. Dan kita sebenarnya tidak terkecuali malah memandang serong apabila American Beauty misalnya dipertikaikan kebiadabannya. Tahniah. Penjajahan mencapai matlamatnya.
Penulis : Ku Seman Ku Hussain (kuseman@pc.jaring.my)
Sumber : Utusan Online 4/4/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |