Rencana
Article
. .

Antara realiti dan metamorfosis

Seperti filem-filem klasik Melayu yang lain Bawang Putih Bawang Merah yang disiarkan melalui TV3 baru-baru ini sekali lagi membuka ruang untuk dikupas dari sudut tematik.

Variasi tema dan persoalan filem-filem klasik Melayu, tidak harus dipertikaikan kepelbagaian, keunikan dan kerelevanannya dengan masyarakat majmuk yang mendiami bumi Melayu (Malaya) ketika itu dan kini.

Bertolak dari latar sejarah budaya bangsa dan cara hidup masyarakat lama Melayu, Bawang Putih Bawang Merah mengungkapkan beberapa realiti yang mengisi kehidupan kelompok terbesar Nusantara - Melayu.

Karakteristik perikemanusiaan dan tidak berperikemanusiaan menjadi dasar persoalan filem ini. Bawang Merah dan ibunya Labu, mewakili kelompok terdahulu manakala Kundur dan Bawang Putih mewakili kelompok terkemudian.

Jalan cerita Bawang Putih Bawang Merah mirip kepada Cinderella, terutamanya apabila Bawang Merah ditindas dan dikejami oleh adik tiri dan juga ibu tirinya. Akhirnya, dengan bantuan kuasa supernatural Bawang Merah ditakdirkan bertemu dengan anak raja yang sudi mengahwininya.

Apa yang menarik dan unik dalam filem ini ialah persoalan supernatural yang ternyata amat signifikan terhadap perubahan plot cerita.

Kematian ayah Bawang Merah dan Bawang Putih berjaya meningkatkan suspens terhadap nasib Bawang Merah selari dengan kekejaman Kundur. Susulannya, penonton dihadiahkan dengan konflik-konflik fizikal yang lebih ketara, misalnya pergaduhan antara Labu dan Kundur yang berakhir dengan pembunuhan Labu oleh Kundur.

Kematian Labu meninggalkan lompang yang besar kepada cerita. Satu-satu karakter yang bersifat konsul kepada Bawang Merah selepas kematian ayahnya ialah ibunya, Labu. Ketiadaan karakter mengkonsul dan juga sebagai pembela bagi Bawang Merah, sudah tentu akan mencacatkan cerita ini.

Ditambah pula dengan barisan watak yang terhad dan jurang masa yang masih banyak, pengarang (pengarah) terpaksa melakukan sesuatu untuk meneruskan cerita. Laluan mudah tetapi menarik ialah dengan menyelitkan unsur supernatural.

Pertama-tamanya khalayak disogok dengan watak supernatural apabila Bawang Merah terhantuk kepalanya dan terlantar pengsan atas tanah. Roh ibu Bawang Merah menghampirinya dan menceritakan bagaimana dia telah ditolak oleh Kundur ke dalam perigi.

Tidak jelas sama ada insiden ini diterima sebagai mimpi atau sebagai komunikasi alam seni (spirit) oleh Bawang Merah, tetapi apa yang jelas ialah pernyataan Labu bahawa dia kini berada di dunia yang berbeza, pernyataan yang ambiguis dan sesuai dengan jalan cerita kemudiannya.

Bertandangnya Bawang Merah ke perigi tempat ibunya menemui ajal mungkin memberikan kejutan kepada khalayak dewasa ini, kerana roh ibu Bawang Merah kini mendiami jasad seekor ikan. Proses transmigrasi seperti ini yang dipanggil 'metamorfosis', bukan hanya berlaku sekali dalam cerita ini.

Apabila kedua-dua watak antagonis, Bawang Putih dan Kundur mendapat tahu bahawa roh ibu Bawang Merah menghuni seekor ikan, mereka berkomplot sehingga berjaya ikan berkenaan, memasaknya dan diberi makan kepada Bawang Merah.

Natijahnya sekali lagi proses metamorfosis mengambil tempat cerita ini. Tulang ikan (ibu Bawang Merah) yang ditanam oleh Bawang Merah berubah menjadi pohon beringin yang besar lagi berkuasa supernatural yang membantu Bawang Merah bertemu jodoh anak raja.

Satu lagi adegan yang menarik ialah apabila Bawang Merah mencari-cari tulang ikan di bawah rumahnya. Apabila mendapati sukar mencari tulang ikan dia meminta pertolongan semut. Semut yang memahami permintaan Bawang Merah membawa kepadanya tulang ikan.

Kompleksiti metamorfosis meskipun janggal bagi audiens, menjadi penggerak jalan cerita Bawang Putih Bawang Merah. Tendens metamorfosis roh manusia kepada roh flora dan fauna berunsur kepada animisme dan juga fahaman 'karma' Hindu-Buddha dan menjadi sebahagian cara hidup masyarakat Melayu lama.

Senario memberi justifikasi kepada pengarang dan pengarah Bawang Putih Bawang Merah menggunakan idea metamorfosis dengan sebaik-baiknya.

Namun, dari segi imej dan imejan, Bawang Putih Bawang Merah gagal memberi kiasan yang baik dan jitu. Protagonis diberikan lambang 'merah' manakala antagonis 'putih', satu perbandingan yang bertentangan dengan imej universal.

Beberapa kelemahan lain juga boleh dikesan pada filem klasik Melayu ini. Kejahilan ikan (roh ibu Bawang Merah) sehingga tidak mengetahui kehadiran Kundur untuk membunuhnya boleh dipersoal. Begitu juga dengan kematian Labu. Pada peringkat awal cerita pernah Labu jatuh ke dalam perigi yang sama tetapi tidak mati.

Oleh : Kenaga Saba Venugopal
Sumber : Utusan Online 13/6/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000