PM: UMNO TIDAK MENGALAH

Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menolak tanggapan Umno selama ini banyak berkompromi, bahkan mengalah kepada kepentingan golongan bukan Melayu di negara ini.

"Tidak benar sama sekali. Kita cuma pegang kepada janji dan persefahaman yang kita buat semasa kita mencapai kemerdekaan," katanya dalam wawancara khas dengan stesen televisyen TV3, yang disiarkan malam ini.

Dr. Mahathir, Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata rakyat harus menerima hakikat bahawa Malaysia diduduki orang Melayu dan orang bukan Melayu.

"Kalau kita nak keluarkan orang bukan Melayu, kita tahu ini tak mampu kita buat. Dengan itu, kita terima yang mereka adalah rakyat negara kita ini. Sebagai rakyat mereka mesti dilayan sebagai rakyat," katanya.

Umno menjadi tonggak Barisan Nasional (BN) sejak gabungan itu ditubuhkan 25 tahun lepas. BN kini sedang bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-10 pada 29 Nov ini.

Dr. Mahathir berkata dalam pada itu, penduduk bukan Melayu mengiktiraf kedudukan orang Melayu termasuk dengan tidak menyoal kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi asalkan mereka bebas menganuti agama mereka.

Katanya, mereka juga tidak menolak bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ada di kalangan orang bukan Melayu yang lebih fasih berbahasa Melayu berbanding orang Melayu sendiri.

"Ini menyebabkan negara kita menjadi aman. Kalau kita hendak 100 peratus untuk kita dan kerana ini negara kita tidak aman, tidak dapat dibangunkan, kita boleh dapat 100 peratus tetapi apa dia yang ada dalam 100 peratus.

"Bagi saya adalah lebih baik mendapat 50 peratus daripada sesuatu yang wujud daripada mendapat 100 peratus daripada sesuatu yang tidak wujud," katanya. --BERNAMA.

 

Kembali ke laman Berita Terkini 1