PANDUAN MENGUNDI (I)
Perpecahan meruntuhkan negara Islam
(Ini perlu difikirkan semasa anda mengundi)
TAAT kepada pemerintah tidaklah menghalang mana-mana pihak daripada memberi pandangan, nasihat serta teguran terhadap golongan yang memerintah. Malah ini adalah salah satu perkara yang dituntut dalam Islam.
Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa setiap kewajipan dalam Islam mestilah dilakukan mengikut kaedah dan peraturan yang ditetapkan oleh syarak. Misalnya, sembahyang itu mesti ditunaikan mengikut rukun dan syarat yang ditetapkan. Mengerjakan sembahyang tanpa mengikut cara yang ditetapkan oleh syarak, bukan sahaja tidak sah, tetapi juga menjadi satu dosa.
Demikian halnya dengan tanggungjawab menegur pemerintah yang termasuk dalam kewajiban amar makruf dan nahi mungkar dalam Islam. Imam Ghazali membahagikan kewajiban amar makruf ini kepada lima peringkat. Pertama, takrif (memberitahu); kedua, menasihati dengan kata-kata yang lembut; ketiga menggunakan kata-kata keras; keempat, mencegah dengan kekuatan; kelima, menggunakan cara ugutan.
Menurut Imam Ghazali, yang harus dilakukan terhadap golongan pemerintah ialah dua peringkat teratas sahaja iaitu takrif dan nasihat dengan kata-kata yang lembut.
Apa yang disebut oleh Imam Ghazali ini selaras dengan ajaran yang terkandung dalam Hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud: ``Sesiapa yang ingin menasihati pihak yang berkuasa mengenai sesuatu perkara maka janganlah ia menyampaikan secara terang-terang, tetapi hendaklah ia memegang tangannya dan menyampaikan nasihatnya secara bersendirian. Sekiranya nasihat itu diterima, maka itulah yang baik. Tetapi sekiranya tidak diterima, maka ia (pemberi nasihat) dikira telah melaksanakan tanggungjawabnya. (Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Hakim).
Melalui setiap sendi ajarannya, Islam membentuk penganutnya supaya menjadi umat yang bersatu.
Mereka bukan sahaja beriman dengan Tuhan yang satu, tetapi juga berpegang dengan kita yang satu, melakukan ibadah yang satu menghadap ke arah satu kiblat, mengikut manhaj atau method yang satu dan menuju ke arah matlamat yang satu. Ajaran yang ditujukan untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat begitu banyak sekali dapat kita temui dalam al- Quran dan Hadis.
Al-Quran memperakukan persaudaraan sejagat
di kalangan penganut Islam.
``Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara.'' (Surah
Al-Hujurat: 10). Mereka wajib mensyukuri nikmat perpaduan ini
dengan berpegang teguh dengan ``tali'' yang menghubungkan antara
mereka dengan Allah, iaitu kitabnya.
``Hendaklah kamu sekalian berpegang dengan tali Allah dan jangan kamu berpecah-belah; dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu sekalian, ketika mana kamu bermusuhan, lalu Allah jinakkan antara hati-hati kamu, maka dengan nikmatnya kamu jadi bersaudara.'' (Surah Al-Imran: 103).
Dalam masa yang sama, sebarang bentuk perpecahan adalah dilarang keras kerana ia merupakan langkah ke arah kelemahan dan kehancuran umat. ``Dan janganlah kamu bersengketa, kerana dengan persengketaan akan menyebabkan kamu hilang kekuatan kamu.'' (Surah Al- Anfal: 46).
Sebarang persengketaan yang timbul di kalangan masyarakat Islam wajiblah dicari jalan perdamaian, sekalipun dengan menggunakan kekuatan jika perlu bagi memastikan perpaduan umat tidak terjejas.
Malah kewajipan mengusahakan perdamaian di kalangan umat Islam tidak kurang darjatnya daripada ibadat-ibadat utama seperti sembahyang, seperti yan dinyatakan dalam sebuah hadis yang bermaksud: ``Mahukah aku memberitahukan kamu amalan yang lebih afdal daripada sembahyang, puasa dan sedekah iaitu mendamaikan antara dua golongan yang bersengketa; kerana kerosakan hubungan di kalangan umat Islam boleh membinasakan.''
Sekalipun dusta adalah satu akhlak yang dicela dalam Islam tetapi memandangkan perpaduan merupakan kewajipan yang penting, ia dibenarkan dalam usaha mewujudkan perdamaian seperti yang dinyatakan dalam sebuah Hadis yang bermaksud:
``Bukanlah pendusta orang yang mendamaikan
di antara manusia; lalu ia menyampaikan perkara yang baik dan
percakapan yang baik.''
Ini tidak menghairankan kerana Rasulullah S.A.W amat mementingkan
perpaduan di kalangan umatnya dan melarang perpecahan di dalam
banyak hadisnya seperti: ``Jemaah itu adalah rahmat dan perpaduan
itu adalah azab.''
Rasulullah juga bersabda bahawa ``sesiapa yang memecahkan perpaduan, maka ia bukanlah daripada golongan kita.'' Selain itu ada Hadis juga yang bermaksud: ``Janganlah kamu bersengketa; kerana umat sebelum kamu telah bersengketa lalu mereka binasa.'' Pelajaran secara amali mengenai perpaduan ummah ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W dalam peristiwa Hijrah.
Antara usaha-usaha awal yang baginda jalankan setibanya di Madinah ialah membina masjid, mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar, dan membentuk Piagam Madinah sebagai asas kepada pembentukan ummah yang bersatu dan negara Islam yang sedang dibina oleh Rasulullah.
Setiap gejala yang boleh membawa kepada perpecahan masyarakat tidak boleh dipandang ringan. Ia ibarat bunga-bunga api yang kelihatan kecil, tetapi jika dibiarkan boleh membakar umat. Dalam rangka memperjuangkan keagungan Islam, perpaduan umat merupakan perkara yang asas.
Tanpa perpaduan, matlamat dan cita-cita menegakkan
Islam tidak mungkin dapat ditegakkan. Hakikat ini jelas dapat
dilihat dalam sejarah perjuangan Rasulullah sebagai ikutan terbaik
bagi kita umat Islam. Malah tanpa perpaduan, kita bukan sahaja
tidak dapat mencapai apa yang belum dicapai, tetapi yang telah
berada dalam genggaman juga akan keciciran.