JOMO CUBA HALANG PILIHAN RAYA
Pensyarah ekonomi Universiti Malaya, Jomo Kwame
Sundaram hari ini memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini
bagi mendapatkan satu deklarasi bahawa pilihan raya umum 29 November
ini tidak boleh diteruskan tanpa kemasukan 680,000 pengundi berdaftar
baru.
Jomo, 46, yang tidak disenaraikan sebagai pengundi bagi pilihan
raya umum nanti, mendakwa pilihan raya itu tidak boleh diteruskan
kerana ia tidak mengikut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
(Profesor yang menyokong pembangkang ini tidak pernah mengundi
dalam hidupnya tapi cakap bukan main lagi)
Beliau menamakan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai defendan.
Samannya difailkan melalui Tetuan Karpal Singh & Co di pejabat
Pendaftar Mahkamah Tinggi di Wisma Denmark di sini kira-kira pukul
11.30 pagi.
Jomo, yang mengaku tidak menjadi anggota mana-mana parti atau
akan bertanding pada pilihan raya nanti, hadir di mahkamah bersama-sama
Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang, Timbalan Pengerusi DAP Karpal
Singh, Naib Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw dan penasihat undang-undang
Parti Rakyat Malaysia R.Sivarasa.
Karpal Singh memberitahu pemberita bahawa peguamnya telah memohon
mendapatkan perintah supaya menyegerakan tarikh untuk mendengar
kes dan setakat pukul 2.45 petang, peguam telah hanya memperolehi
salinan untuk diserahkan kepada Peguam Negara.
Kes itu dipercayai akan didengar di hadapan Hakim Datuk K.C. Vohrah
tetapi belum ada tarikh ditetapkan.
-- BERNAMA