PAS BUAT FITNAH JAHAT
Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan
tindakan PAS menyebarkan risalah fitnah mengenai beliau membenarkan
gereja dibina kononnya di tanah miliknya.
Perdana Menteri berkata risalah bertajuk "Mahathir Bina Gereja
Di Tanah Sendiri" diedar hari ini oleh PAS.
"Surat itu lengkap dengan salinan ini," katanya menunjukkan salinan geran tanah kepada lebih 4,000 penyokong Barisan Nasional yang hadir di majlis perhimpunan bersama pemimpin di padang Majlis Perbandaran Kangar di sini petang ini.
"Saya tak tahu siapa punya tanah, tetapi walaupun nama (saya) ada di situ, tetapi tak ada tandatangan saya. Bolehkah saya beri tanah tanpa tandatangan," katanya sambil disambut laungan "tak boleh", "jangan layan", oleh mereka yang hadir.
Katanya, beliau hanya ada sekeping tanah di
Bukit Tinggi, Kedah seluas 1.2 hektar (3 ekar) yang dibeli dengan
harga RM5,000 tetapi telah dibeli semula oleh kerajaan.
"Kita beli RM5,000 untuk tiga ekar, kerajaan nak buat jalan,
kerajaan bayar RM8,000. Saya dapat (untung) RM3,000," katanya.
Perdana Menteri berkata bahawa menjelang pengundian
pada Isnin ini, beliau percaya lebih banyak surat layang akan
timbul.
Beliau berkata kerana kehabisan isu, PAS sanggup berbohong dan
mereka cipta pelbagai surat fitnah.
Pada persidangan berita kemudian, ketika diminta
mengulas mengenai risalah fitnah terbaru itu, Dr Mahathir berkata
beliau tidak tahu langsung mengenai tanah yang dimaksudkan itu.
"Tak tahulah, kot tanah itu dah lama dah. Tak ada tandatangan
saya langsung. Tandatangan orang lain," katanya.
"Yang inilah yang Ezam (Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional Mohamad Ezam Mohd Nor) kata dia ada enam kotak. Enam kotak dokumen palsu," katanya.
Dr Mahathir berkata beliau difahamkan risalah
terbaru itu disebarkan di beberapa masjid di Kedah.
Kembali ke halaman Berita & Gosip