PEMBANGKANG NAK SEBAR SURAH YASIN PALSU

Parti-parti pembangkang akan cuba dalam dua atau tiga hari ini melempar lebih banyak fitnah untuk menakutkan rakyat supaya tidak menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 29 Nov ini.

"Saya diberitahu bahawa mereka akan menyebar Surah Yassin yang salah dan mereka akan kata ini adalah keluaran UMNO supaya orang marah kepada UMNO," katanya Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam satu perhimpunan di Johor pada 24 November.

Mereka akan mengeluarkan bermacam-macam lagi cara untuk menimbulkan kebencian rakyat kepada UMNO dan BN.

"Ini akan dibuat oleh mereka...percayalah menjelang empat atau lima hari lagi sebelum kita mengundi, mereka akan mengeluarkan banyak bahan-bahan untuk menakutkan khususnya orang Melayu," kata beliau.
Dr. Mahathir percaya orang Johor tidak akan terpedaya kepada perkara-perkara itu.

"Tapi malangnya, terdapat di sesetengah negeri orang yang begitu fanatik kepada PAS dan taksub kepada pemimpin PAS dan percaya apa sahaja pembohongan yang dilemparkan oleh pemimpin PAS.

"Kita tidak percaya, malangnya pengikutnya akan percaya. Demikianlah fanatiknya pengikut PAS ini. Mereka bohong hari ini dan kita dapat buktikan apa yang mereka kata itu adalah pembohongan tetapi esok mereka akan bohong lagi," katanya.




Kembali ke halaman Berita & Gosip 1