[ Isi Kandungan | Siri 49 | Siri 50 | Siri 51 ]
Sebutan Serupa Ejaan Berbeza

Oleh A.R Dean (25 Jan 1991)

Apabila Bimmy bertanya Jiggs (sila lihat kartun Bringing Up Father),"How do you spell main?", Jiggs menyoal kembali, "As in the State of Maine? Horse's mane? Or Main Street?".

Soalan Jiggs menimbulkan satu sifat beberapa perkataan Bahasa Inggeris yang kadangkala menimbulkan masalah bagi pelajar akibat beberapa perkataan Inggeris yang mempunyai sebutan yang serupa tetapi mempunyai ejaan yang berbeza dan makna yang berbeza-beza pula. Masalah ini tidak timbul apabila kita membaca atau menulis perkataan-perkataan tersebut tetapi mungkin berlaku apabila kita mendengar atau menyebutnya. Tetapi anda mungkin tertanya-tanya bukankah masalah yang dihadapi Bimmy ialah bagaimana hendak mengeja perkataan main?

Ini memang benar. Tetapi persoalan yang ditimbulkan oleh Jiggs berlaku apabila dia "mendengar" perkataan main yang "disebut" oleh Bimmy. Masalah ini berbeza daripada masalah yang kadang-kadang menimpa pelajar yang mahir di dalam Bahasa Melayu dan baru belajar Bahasa Inggeris. Perhatikan sajalah perkataan main. Kalau disebutkan saja, mungkin tidak menimbulkan masalah. Tapi cuba baca (jangan sebut!) sekali lagi perkataan main.

Mungkin anda terfikir, "Wah, dia ni cuba 'main-mainkan' akukah?" Bukanlah maksud saya untuk 'main-mainkan' anda, tapi hanya hendak menunjukkan bahawa kadang-kadang tersasul juga dibuatnya kita bak adanya perkataan Bahasa Inggeris yang mempunyai ejaan yang sama dengan perkataan Bahasa Melayu. Jadi, bila kita terserempak dengan air tertulis di papan tanda di pusat beli-belah di Malaysia kadang-kadang terlatah juga kita ingatkan "angin" pada hal ayer (ejaan lama) yang dimaksudkannya.

Begitu juga, ada perkataan Bahasa Melayu yang mempunyai sebutan sama dengan perkataan Bahasa Inggeris sungguhpun mempunyai ejaan yang berbeza. Misalnya, kanak-kanak sekolah rendah pun tahu bahawa kau (sebutan perkataan Bahasa Inggers cow) memang lembu! Berbalik kita kepada persoalan perkataan Inggeris yang disebut serupa tetapi dieja berlainan dan bermaksud berbeza. Lihat semula pertanyaan Jiggs:

As in the State of Maine?
seperti negeri Maine - salah sebuah negeri di dalam Amerika Syarikat.

Horse's mane?
(bulu tengkuk kuda).

Or Main Street?
(jalan besar atau jalan utama)

Tapi rupa-rupanya Bimmy nak tahu ejaan mayonnaise (sejenis 'kuah' pekat yang diperbuat daripada campuran telur, krim, cuka untuk dimakan bersama sayur dan makanan 'mentah' yang lain) yang disebut (lebih kurang) seperti main-naze dan bukan mayon-naze. Ini tak acilah! Walau bagaimanapun ini menunjukkan bahawa 'tak acilah' sekiranya kekeliruan timbul kerana seolah-olah sebutan yang serupa tetapi sebenarnya berpunca daripada sebutan yang kurang tepat. Misalnya, dare tak serupa sebutan dengan there, begitu juga three dengan tree, sungguhpun kerap kali disalah sebut sehinggakan seolah-olah sebutan-sebutan itu serupa.

Sebab itu ada "pantun nasihat" untuk sesiapa yang baru belajar bahasa Inggeris yang berbunyi:

Beware of words like wear and where.
That look like bear and here and sound like ware.
But to you I make this appeal, Please do not say pill like you say peel.


Awasi perkataan seperti wear dan where. Yang nampak seperti bear dan here tapi bunyi seperti ware. Tetapi kepada anda saya nasihati, jangan sebut pill seperti anda sebut peel. Jadi, sungguhpun tiga huruf hujungan perkataan wear (pakai) sama seperti bear (beruang atau tanggung) dan keratan here di dalam where (mana) sama seperti here (sini), wear dan where tidak disebut seperti bear dan here tapi seperti ware (barangan). Sesungguhnya sistem ejaan dan sebutan Bahasa Inggeris boleh mengelirukan.

Apa tidaknya jika new sama sebutan dengan knew tapi know tidak pula sama sebutan dengan now. Atau heir (pengganti raja) sama sebutan dengan air tapi tidak pula sama sebutan dengan hair atau hare (arnab). Tegasnya, kita perlulah belajar sistem sebutan dan ejaan Bahasa Inggeris supaya kita tidak melakukan kesilapan.

Satu perkara penting di dalam sebutan Bahasa Inggeris ialah panjang pendek sebutan yang membezakan sebutan ee daripada i. Inilah yang disebutkan di dalam pantun nasihat: pill (pendekkan sebutan i), peel (panjangkan sebutan ee). Jadi, jangan panjangkan sebutan i dalam ship sehinggakan sama bunyinya dengan sheep.

Tapi tak semua yang menimbulkan kekeliruan itu merupakan masalah. Ada yang boleh menyebabkan kita senyum. Bacalah teka-teki berikut yang "bermain" (bukan main) dengan perkataan-perkataan yang disebut serupa tapi dieja berlainan dan bermaksud berbeza-beza.
  1. What is the difference between sewing machines and an illusion?
    (Apakah perbezaan di antara mesin jahit dan khayalan.)
    Sewing machines sew seams (menjahit tindih) and an illusion seems so (nampak seperti atau seolah-olah benar). Teka-teki ini berasaskan sebutan yang sama di antara sew dengan so dan di antara seams dengan seems.

  2. What is the difference between a cat an a comma?
    (Apakah perbezaan di antara seekor kucing dengan koma (tanda bacaan?)
    A cat has its claws (kuku) at the end of its paws (kaki) and a comma is a pause (berhenti sebentar) at the end of a clause (rangkai kata). Teka-teki ini berasaskan sebutan yang sama di antara claws dengan clause dan di antara paws dengan pause.


[Isi Kandungan]
Copyright © 1995-2000 Fz Sdc
nsr@melayu.com
http://www.melayu.com/nsr


1