MENCARI MANIS KEHIDUPAN
DALAM DARAH-DARAH LUKA
(SITI FATIMAH BINTI AHMAD/kplimpislam-291294)

Hidup ini :
memungkinkan seribu pertanyaan
menimbulkan pelbagai persoalan
mencernakan reputasi manusia
mewarnakan gerak laku dunia.

Dalam mengenal kehidupanmu :
kutemui suatu harga diri yang murni
dicelah diam peribadi : ada gerak tersembunyi
dicelah senyum menguntum : ada rahsia berpantun.

Kau pernah bersuara pada alam, angin dan air :
di mana adilnya manusia
mengenepikan hak dan kepentingan diri,
di mana santunnya akhlak
jika nafsu menguasai diri.

Apakah ada kemanisan hidup
dalam darah-darah luka manusia?
Pasrahlah :
hidup ini umpama angin dan arus
bergolak mengikut musim
tiada siapa yang berani mendahului takdir.
Kau, aku dan kita semua
hanya sisiran yang hadir seketika.

Ternyata
Langit begitu biru
Hutan terlalu hijau
Hidup sebenarnya boleh sedamai ini indahnya.
Semuanya indah :
Andai kita tahu menghargai dan mewarnainya

Uintuk sebuah kehidupan :
senyumlah seikhlas hati
sesuci embun dinihari.
 
 
 

UNTUKMU……….? HARI INI DAN ESOK
KENANGAN INDAH DI BLUE LAGOON, N9
UNTUK SEMUA PESERTA PL LPKLI/K : 11,12,13 DAN JURULATIH
(SITI FATIMAH BINTI AHMAD/kplimpislam-281294/rabu6.40ptg)

Hari ini……….bisa susut
menyisih diri meniti maut
menumpang sisa menanti harap.
Apakah masih ada ruang mesra untuk kita bersama
menyapa esok
yang kita sendiri tidak tahu
di mana ramahnya
di mana kebenciannya
di mana persahabatannya.

Esok yang akan berlalu
menyaksi gugurnya daun-daun kemesraan
membilas butiran airmata kesedihan
tiada bujukan mereda kesakitan
jauh menutup lurah hiba
tanpa belas kesihan
bukti tanda dewasa
lumrah kehidupan.

Pastinya……….
Esok bukan untuk kita
Esok juga untuk kita
Pasti kupasti……….
Pertemuan itu tetap milik kita
Tetapi……….di mana?

Seraut sirih seumbai pinang
Selaut kasih sepantai sayang.
 
  1