HIKMAT BERLAPAR

1. Membersihkan hati dan menyinarkan akal.
2. Menghilangkan penyakit malas dan mengurangkan tidur.
3. Memudahkan diri untuk banyak beribadah kepada Allah swt. dan tekun bekerja.
4. Menahan nafsu syahwat agar dapat menggelakkan diri dari perbuatan maksiat dan mungkar.
5. Meringankan perbelanjaan supaya dapat selalu bersedekah kepada orang miskin dan yang memerlukannya.
6. Menyihatkan badan dan menolak penyakit.
7. Sentiasa bersyukur dengan nikmat-nikmat Allah swt dan ingat orang yang tidak memperolehinya.
 
 

AKIBAT KEKENYANGAN

1.  Hati buta dan mewarisi kebodohan kerana wap menyerupai gula berkumpul di otak.
2. Timbul penyakit malas dan banyak tidur.
3. Rasa berat untuk bekerja dan tidak lazat untuk berzikir disebabkan kesesatan hati yang menjadi hijab antara
    hati dan zikir.
4. Nafsu tidak tertahan kepada dunia dan bercita-cita untuk berbuat perkara mungkar dan maksiat.
5. Perut sentiasa berhutang."Apakah yang engkau akan makan pada hari ini. ?"
6. Timbul sifat kedekut pada harta.
7. Banyak penyakit kerana ia berpunca daripada sisa makanan di dalam perut.
8. Lupa kepada orang yang lapar dan susah.  Nasihah90
 
 

PENILAIAN MASA BAGI SESEORANG

SATU :  Bagi manusia yang  belum mempunyai kesedaran; dibiarkannya masa berlalu dengan percuma. Dia tidak merasa dikejar, lalu terbuanglah masa dengan sia-sia.
DUA :  Bagi manusia yang ada sedikit kesedaran tentang erti waktu dalam kehidupan beragama.  Ia mengatur kehidupannya supaya terlaksana setiap tugas dan kewajibannya.
TIGA : Bagi manusia yang sanngat mendalam kesedarannya terhadap waktu dan penuh tanggungjawab akan bersungguh-sungguh memelihara kehidupannya. Ia akan berkorban apa saja untuk Allah dan suka berbuat kebajikan kepada orang lain walaupun terpaksa bersusah payah.
 
 
 

SIAPA YANG DULU MENDERHAKA ?

Seorang ayah datang mengadu kepada Khalifah Umar r.a tentang penderhakaan anaknya.  Khalifah Umar r.a memanggil si anak lalu terus memarahinya tanpa menyelidiki punca-punca anak itu menderhaka. Si anak lalu berkata :"Wahai Amirul Mukminin, tidakkah ada hak anak ke atas ayahnya ?"

Khalifah lalu menjawab :"Memilih ibu yang baik (dari keturunan yang baik), memberi nama yang baik dan mengajarnya membaca al-Quran."  Si anak lantas    menjawab :  "Ayah saya tidak pernah melakukan demikian.  Ibu saya seorang zanjiah (bekas hamba hitam), bekas isteri kepada seorang Majusi.  Mereka menamakan saya Jo'ul (lipas) dan belum pernah mengajar saya satu huruf pun dari al-Quran."

Setelah mendengar jawaban   si anak, Khalifah Umar berkata kepada ayah kanak-kanak tersebut : "Engkau datang mengadu tentang penderhakaan anakmu tetapi sebenarnya engkau telah menderhakainya sebelum dia menderhakaimu. Engkau telah merosakkan dia sebelum dia merosakkanmu."
 
 

TAUBAT     dari : Suara Jumaat WRMPI95

Kedudukan manusia berbeza dengan Malaikat yang penuh dengan kesucian  dan kemuliaan; tabiatnya yang selalu patuh dan taat kepada Allah. Tetapi manusia juga berlainan dengan iblis yang statusnya sentiasa durhaka kepada Allah. Manusia berada di antara kedua-duanya yang kadangkala dapat mencapai kemuliaan dan kadangkala terjerumus ke lembah kehinaan. Manusia dianugerahkan keistimewaan dan kelemahan tertentu berbanding dengan makhluk yang lain. Salah satu kelemahannya ialah mudah tergoda dengan pujuk rayu iblis.

TIGA faktor utama yang menyebabkan seseorang itu melakukan kesalahan/dosa ialah:

1. Mereka yang lemah melawan godaan syaitan kecuali yang beriman.
2. Kecenderungan/naluri manusia merasakan kesenangan dunia sehingga keinginan hawa nafsu dapat
    mengalahkan pertimbangan akal.
3. Manusia selalu terkepung oleh keadaan yang dapat membawanya kepada pelanggaran undang-undang
    Allah.

    Sebaik-baik manusia yang bersalah/berdosa ialah mereka yang mengaku kesalahannya dan kembali  bertaubat. Jika  kesalahan/dosa itu antara dia dengan Allah, maka terdapat TIGA SYARAT taubat iaitu:

1. Berhenti daripada melakukan maksiat yang membawa kesalahan dosa.
2. Menyesal di atas perbuatan yang dilakukan.
3. Niat bersungguh tidak akan mengulangi lagi dosa tersebut.

    Jika kesalahan/dosa sesama manusia, maka taubatnya ditambah SATU SYARAT lagi iaitu;

4. menyelesaikan urusannya dengan orang yang berhak.
 
 
 
 

BIARKAN AKU BUTA ASALKAN………

Seorang sufi akan melangsungkan perkahwinannya dengan seorang wanita cantik. Tiba-tiba  ditakdirkan  Allah, di saat hampir waktu pernikahan, pengantin wanita itu ditimpa penyakit cacar. Pihak keluarganya sangat sedih dan khuatir anak gadisnya akan dianggap hodoh oleh bakal menantu mereka.  Mengetahui hal ini, calon suami lalu memperlihatkan pula bahawa dia telah mengidap sakit mata sehingga mengakibatkan dirinya buta. Perkahwinan pun terus dilangsungkan dalam keadaan kedua pengantin yang seimbang ini, sehingga kedua belah pihak tidak lagi bersedih dan kecil hati.  Kedua pasangan tersebut terus hidup rukun damai selama 20 tahun sehingga Allah takdirkan wanita itu jatuh sakit lalu meninggal dunia.  Setelah kematian isterinya, maka si sufi itu membuka matanya yang nyata tidak buta. Lalu orang pun bertanya mengapa ia bertindak berpura-pura buta sekian lamanya. Lantas dijawabnya:"Aku sengaja berpura demikian agar keluarga isteriku tidak bersedih hati." Orang yang mendengar terus berkata: "Kamu telah mengagumi rakan-rakanmu dengan akhlakmu ini."
 
 

ILMU YANG  MEMBERI MANFAAT

Menurut Imam Ghazali r.m : "Ilmu yang memberi manfaat ialah :

1. Ilmu yang makin menambahkan rasa takut kepada Allah swt.
2. Ilmu yang makin menambahkan kenal kecelaan diri sendiri dan terdorong untuk memperbaikinya.
3. Ilmu yang menambah kenal akan ibadah kepada Allah swt.
4. Ilmu yang mengurangkan gemar dan cintakan dunia.
5. Ilmu yang menambah gemar dan cintakan akhirat.
6. Ilmu yang dapat membezakan kebaikan dan keburukan serta halal dan haram.
 
 
 

YANG KOREK ITU KENDI, YANG INDAH ITU BUDI
YANG CANTIK ITU AKHLAK, YANG MULIA ITU DIRI
dari : Al-Munir88

NALURI manusia sukakan sesuatu yang indah, yang dapat memberikan ketenangan.  Bila dilihat, didengar atau dipegang ianya menyenangkan hati. Bunga melambangkan keindahan.  Bila kita lihat di taman yang dipenuhi bunga-bungaan, hati kita akan rasa tenang bila berada di situ. Apatah lagi kalau bunga-bungaan itu mempunyai keharuman yang memikat. BUNGA IBARAT AKHLAK. Benih yang baik akan menghasilkan bunga yang indah dan subur ditambah pula dengan keharumannya.  Ibadah yang ikhlas kerana Allah akan menghasilkan akhlak yang terpuji. Akhlak yang baik akan disenangi semua orang, sesiapa saja yang mendekati akan senang untuk bergaul dan  berbicara.
Ada bunga yang cantik bila dipandang tapi hanya setakat pandangan mata zahir, sayang keharumannya tiada. Begitu juga ibadah yang banyak seperti solat sunat, wirid zikir, sedekah dan baca al-Quran tapi akhlak tetap tidak berubah, kononnya beribadah untuk Allah; sebaliknya lain yang berlaku. Sifat bangga diri, ujub, ego, 'akulah orangnya' tumbuh dalam diri. Jadilah seperti bunga yang pada awalnya tumbuh membesar tapi kemudian layu terkulai. Ataupun bunga yang cantik tapi mempunyai bau yang busuk, lalu tak siapa yang sudi menyuntingnya.
Tapi manusia sentiasa keliru di sebalik kecantikan  dan keharuman bunga. Mereka tak sedar, di sebalik bunga itu terdapat duri dan racun yang berbisa. Oleh itu,  bila menilai kawan, kita harus berhati-hati. Jangan kita terjerat dengan sifat dan pandangan zahir. Tak mustahil tanpa sedar rupanya orang yang kita anggap kawan itu; musuh dalam selimut yang menjerumuskan kita ke lembah kehinaan.
UNTUK mendapatkan bunga yang cantik dan harum perlukan benih yang baik, begitu juga akhlak manusia perlukan hati yang bersih dan jiwa yang ikhlas.  Bila faktor ini ada dalam diri, keharumannya akan dicium oleh sesiapa saja di sepanjang musim. Bila dekat kita mencium baunya, jauhpun kita masih terkenang-kenangkan keharumannya. UNTUK mendapatkan akhlak yang baik, kita mestilah mengikuti contoh akhlak Rasulullah saw, sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud : "Sesungguhnya Rasulullah itu menjadi contoh teladan baik bagi kamu dan bagi orang yang berharap menemui Tuhan dan Hari Kemudian dan mengingati Tuhan sebanyak-banyaknya."                 -Surah al-Ahzab : 21-
 
 
 

LAPAR UNTUK MENANGIS ?

 Abu Ali Al-Daqqaq pernah menceritakan, ada  seorang teman telah pergi menziarahi seorang Syeikh. Ketika tiba di rumahnya, didapati tuan Syeikh itu sedang dalam keadaan menangis. Dengan penuh kehairanan dia pun bertanya: "Tuan Guru, mengapa tuan menangis?"  "Aku lapar…." Jawabnya."Orang semacam tuan menangis kerana lapar?" tanya teman itu kembali dengan kehairanan. Syeikh itu pun menjawab : "Sengaja aku menanggung lapar supaya aku dapat menangis."
 
 
 

SESAAT LUPAKAN ALLAH !

Pernah seorang pemuda menghadiahkan seekor burung kepada  Syeikh Junaid Al-Baghdadi.  Dengan gembira beliau menerimanya…..tetapi kemudian dilepaskannya. "Mengapa dilepaskan burung itu? Kalau tuan tidak suka, serahkanlah kembali kepada saya", tanya pemuda tersebut.  "Burung ini telah berkata-kata kepadaku: Sebenarnya aku telah ditangkap oleh pemuda itu kerana aku telah melupakan Allah di saat itu. Wahai Junaid, bagaimana kalau manusia serupa denganku, nescaya mudahlah jatuh ke tangan musuh",  jelas Syeikh Junaid. Kelalaian sesaat dalam mengingati Allah adalah punca kejatuhan umat Islam. Ingatlah Allah!
 
 
 

AWAS! JAGALAH LIDAHMU   dari : Al-MunirNOV88

Telah berfirman Allah swt :
"Hai anak Adam!  Jangan engkau laknat segala makhluk-Ku kerana nanti laknat itu akan kembali ke atas kamu.  Oleh itu, jangan kamu katakan:"Si Fulan itu laknat Allah!" atau Binatang ini dilaknat Allah!" yakni dijauhkan dari rahmat Allah."
"Hai anak Adam! Lihatlah berdirinya tujuh petala langit di dalam hawa (angkasa raya) iaitu dalam lapangan yang kosong dengan tiada tiang. Ia berdiri teguh hanya dengan satu nama daripada nama-nama-Ku. Bandingkan dengan hatimu yang satu itu, tetap ia tiada lurus (betul) , walaupun dengan seribu pengajaran daripada kitab-kitab-Ku."
"Hai segala manusia! Keras sungguh hatimu. Ia bagaikan batu yang terendam di dalam air (tetap tiada lembut dan berubah). Sebab itulah tiada memberi bekas pengajaran dari-Ku pada hatimu."
"Hai anak Adam! Kenapa kamu naik saksi bahawa nya kamu hamba Allah TETAPI kemudiannya kamu derhaka pada-Nya. Dan kenapa kamu dakwa bahawasanya mati itu benar (akan terjadi pada kamu) sedangkan kamu membencinya. Dan kamu katakan dengan lidah kamu apa sahaja sekehendak hati kamu, semua ini kamu sangkakan kecil. Akan TETAPI pada sisi Allah taala ianya adalah amat besar."
-Petikan Hadis Qudsi dari Kitab Mau'izatul Badi'ah-
 
 

Nabi Muhammad saw bersabda :
"Kalaulah aku boleh mengambil seorang menjadi kekasihku, nescaya aku memilih Abu Bakar.  Tetapi sebenarnya aku lebih mencintai Allah yang Maha Tinggi."
 


  1