ALLAH ITU DEKAT………
Siti Fatimah Ahmad - MP Rajang 2003


 Islam merupakan agama samawi yang sungguh indah dan tiada agama yang boleh menandingi keindahan yang tersebar dalam penghayatan agama Islam.  Ia bukan sahaja satu agama yang diredhai Allah, malah satu cara hidup yang diteladani sepanjang zaman dan membawa rahmat serta kebahagiaan kepada sesiapa yang berpegang kepadanya.

 Islam mendekatkan manusia dengan penciptanya melalui banyak cara dan setiap perbuatan yang dilakukan bila berserta dengan niat kerana Allah, akan menjadi ibadah yang mendatangkan kebaikan dan rahmat kepada pengamalnya.

Sesungguhnya antara manusia dengan Allah swt, tiada batas yang menghalangnya. Setiap apa yang dilakukan oleh manusia sentiasa berada dalam pandangan dan pemerhatian Allah. Sebagaimana sabda Rasulullah saw yang kira bermaksud : “Bahawa kamu menyembah Allah, seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat kamu.”

Keimanan kita sahaja yang dapat membawa kepada keyakinan tentang hampirnya Allah kepada kita.  Jika tidak, manusia akan berbuat sesuka hati dan kehendaknya tanpa rasa malu kepada Allah.

 Senario yang berlaku hari ini di mana kebanyakan umat Islam tidak lagi merasakan bahawa Allah itu dekat dengannya dan  amat menyedihkan, mereka tanpa segan silu melakukan kemungkaran dan maksiat di sana sini, malah berbangga dengan dosa yang dilakukan. Mengapa ini  terjadi ?  Apakah ketakutan kepada Allah sudah hilang ditelan keasyikan dunia tanpa menghiraukan balasan yang akan diterima di akhirat.

 Beberapa contoh akhlak yang sudah hilang malunya dan kebanggaan manusia kepada dosa yang dilakukannya tanpa merenung siksaan yang bakal diterima :
1. Meminum arak atau seumpamanya dengan berleluasa.
2. Menaja fesyen-fesyen pakaian yang mendedah aurat, yang menggalakkan manusia memperaga kecantikan yang bercanggah dengan tuntutan syarak dan mengakibatkan keinginan nafsu yang melonjak untuk bersaing.
3. Permainan judi yang semakin meningkat tanpa mengira peringkat umur.
4. Kebebasan pergaulan antara lelaki dan perempuan tanpa mengira tempat dan masa yang akhirnya membawa keruntuhan akhlak yang serius seperti perzinaan, perlacuran, bersekedudukan dan sebagainya.
5. Perbuatan sumbang mahram yang jelas meruntuh institusi kekeluargaan yang murni , akibat nafsu serakah yang tidak mengenal hak dan kewajiban.
6. Pembunuhan yang sewenang-wenangnya seolah nyawa manusia seperti barangan yang tiada nilai.
7. Penipuan dalam banyak perkara yang melibatkan ekonomi, sosial, politik, pemikiran dan sebagainya.

 Hubungan manusia dengan Allah tidak terbatas dan dapat dilakukan di serata tempat dan waktu  tanpa perlu kepada sebarang perantaraan. Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah, ayat 186 yang kira bermaksud : “Dan bila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka katakanlah bahawa Aku adalah dekat.”
 Mudah dan tidak menyusahkan kerana kita boleh berdoa dan mengingati Allah  bila-bila masa, baik ketika berdiri, berbaring, berjalan ; sihat atau sakit; senang atau susah dan semua ini tidak menuntut kita untuk membeli dengan wang ringgit.  Kenapa kita sukar untuk melakukannya?

 Kebanyakan umat Islam hari ini, ingin lari dari Allah atau menjauhkan diri dari kasih sayang Allah. Kasih sayang Allah amat hampir kepada semua orang muslim, cuma kita yang tidak mahu merenung, memerhati dan menghayati setiap sesuatu yang diberikan kepada kita.

 Antara pengalaman yang  boleh kita renung sebagai menunjukkan kasih sayang Allah dan hampirnya Allah kepada kita supaya boleh dijadikan iktibar dan mungkin ia pernah berlaku dalam kehidupan kita dahulu, iaitu :

1. Ada orang yang berdoa, segera dikabulkan oleh Allah doanya.
2. Ada doa yang ditunda sesuai dengan kegunaan dan kemantapannya.
3. Ada pula doa yang dialihkan seperti terhindarnya seseorang atau ahli keluarga dari bahaya,
    kerugian, bencana, fitnah dan kematian.
4. Ada orang berharap mendapat harta benda yang melimpah atau kekayaan, tetapi Allah
    kurniakan anak yang soleh kerana jika diberikan harta atau kekayaan  seseorang itu
    mungkin akan lupa daratan.
5. Ada orang yang minta kedudukan atau pangkat, tetapi Allah alihkan kepada menjadi orang
    yang berilmu pengetahuan kerana jika pangkat yang dikejar akan mendatangkan
    kesombongan.
6. Ada orang yang ditimpa kesusahan dan tiada orang tidak ingin membantunya, tetapi Allah
    datangkan pertolongannya melalui orang lain tanpa disangka-sangka.

Banyak lagi perkara yang menunjukkan betapa hampirnya Allah kepada manusia dan tiada halangan yang menyekat hubungan itu. Sejauhmanakah kita berusaha untuk mendekatkan diri kita kepada Allah tanpa meletakkan sebarang syarat dan berupaya menahan godaan nafsu yang sentiasa membendung diri manusia daripada mencari kebenaran dan hidayah Allah.

 Jangan sampai nyawa hampir terkorban, barulah kita ingin kembali kepada keinsafan.  Kenapa perlu tunggu hingga saat yang kita ingin tentukan.  Pupuklah rasa cinta kepada Allah tanpa bertangguh-tangguh kerana kita akan berhadapan dengan pencipta kita bila masanya kita dipanggil dan dihadapkan ke hadapanNya. Tiada apa yang boleh membantu kita kecuali amalan yang sudah kita tanam di dunia dan hasilnya akan kita tuai di akhirat.  Berpadalah dengan dunia dan rebutkan kasih sayang Allah dengan kemampuan diri agar terselamat kita di dunia dan akhirat.
 
 
 
 
  1