Kata - kata Aluan
Ketua Pengarah Pendidikan
Kementerian Pendidikan Malaysia
P
|
endidikan adalah sebahagian daripada
agenda penting negara khususnya dalam usaha kita menjana pembangunan, meningkatkan
martabat dan maruah bangsa, mewujudkan keadilan sosial, serta menentukan hala
tuju generasi akan datang. Untuk mencapai objektif-objektif itu, sewajarnyalah
warga sekolah bergerak cergas dalam mengikuti perkembangan teknologi maklumat
kerana ledakan teknologi maklumat kini dipercayai akan merevolusikan sektor
pendidikan. Sekolah juga perlulah dapat memenuhi keperluan murid-murid yang
bakal menjadi tenaga kerja di masa akan datang. Trend hari ini menunjukkan
bahawa pekerja yang celik komputer, celik IT, pantas, cekap dan berdaya saing
adalah pilihan utama pihak majikan.
Dunia kini seolah-olah tidak lagi mempunyai sempadan, malah telah menjadi suatu perkampungan global. Konsep perkampungan global ini telah memungkinkan aliran maklumat bergerak bebas dari utara ke selatan dan dari timur ke barat. Dalam keadaan sedemikian, persaingan kian menjadi sengit dan kecekapan memperolehi maklumat serta ilmu pengetahuan menjadi faktor penting dalam menentukan keupayaan negara mempertahankan daya saingnya, lebih-lebih lagi dalam sektor ekonomi.
Penggunaan teknologi dalam pendidikan
sudah tidak dapat dielakkan lagi. Namun demikian, dalam keghairahan kita
mengejar arus teknologi maklumat, kita perlu ingat bahawa maklumat semata-mata tidak
akan memberi makna kepada seseorang tanpa pemerolehan ilmu. Kita harus faham
bahawa ilmu itu tidak sama dengan maklumat. Ilmu memerlukan maklumat yang benar
untuk dapat memberikan manfaat kepada pemiliknya. Maklumat yang tidak benar,
walaupun mungkin bermakna kepada pemiliknya, bukanlah ilmu. Ia mungkin sekadar
perasaan atau prasangka. Komputer misalnya, adalah alat yang boleh menyimpan
maklumat, tetapi komputer itu sendiri tidak berilmu. Manusia pun, jika hanya
sekadar memiliki maklumat yang banyak tetapi tidak bermakna, maka maklumat itu
tidak akan mendatangkan manfaat. Dalam hubungan ini, semangat dan pegangan
Falsafah Pendidikan Negara amat perlu dipertahankan. Ini bererti dalam kita
memperkembangkan potensi murid-murid secara menyeluruh dan bersepadu, kita
hendaknya dapat melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Sekian, terima kasih.