Peribahasa Melayu berbunyi "Sediakan payung sebelum hujan." Madah Melayu ini mempunyai nilai yang tersirat begitu mendalam. Oleh itu, untuk melakukan sesuatu perkara perlu bersedia terlebih dahulu. Orang yang sentiasa bersedia akan menghadapi sesuatu kemungkinan yang datang dengan mudah, kerana mereka sudah bersedia tapi sebaliknya bagi mereka yang tidak bersedia. Mereka akan gagal akhirnya.
1. Optimistik
Pelajar yang cemerlang sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh
menempah kejayaan dalam pendidikan. Keyakinan ini akan memberi suntikan semangat
dalaman pada diri anda sendiri. Katakan 'aku BOLEH!'
2. Jangan bersikap
pesimistik
Pelajar cemerlang tidak bersikap pesimistik iaitu sentiasa putus harapan dan
mengalah sebelum mula berjuang. Jangan lemahkan semangat anda sendiri. Jangan
meramalkan kekalahan sebelum mula berperang. Kalau anda tidak mencuba maka
kekalahan sebenarnya sudah pasti dalam tangan. Belum cuba belum tahu.
3. Kesedaran
memikul tanggungjawab
Pelajar yang cemerlang mempunyai kesedaran dan kesediaan untuk memikul
tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama, bangsa, negara,
keluarga dan masyarakat pada masa akan datang. Maruah keluarga, masyarakat dan
negara pada masa akan datang bergantung pada generasi remaja masa kini. Pelajar
yang cemerlang ialah pelajar yang sedar hakikat ini. Pelajar yang menyedari
hakikat ini sudah pasti akan berusaha lebih gigih agar matlamat tersebut
tercapai.
4. Tumpuan sepenuh
hati
Pelajar yang cemerlang memerikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa
mengikuti pengajaran guru di kelas. Sikap main-main sambil belajar adalah sikap
pelajar yang kurang berjaya. Pelajar yang suka bermain-main dalam kelas semasa
guru mengajar adalah pelajar yang bakal menjadi orang yang dipermainkan oleh
golongan 'terpelajar' pada suatu masa kelak. Malah lebih malang kalau suatu hari
nanti mereka dipermainkan oleh golongan tidak terpelajar seperti mereka sendiri.
5. Mulakan dari
awal
Pelajar yang cemerlang membuat persediaan awal apabila akan menghadapi
peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau
peperiksaan yang sebenarnya. Persediaan awal akan membezakan pelajar yang
berjaya dengan yang gagal. Persediaan awal ini termasuklah mengadakan ulangkaji,
berbincang dengan rakan-rakan, meminta nasihat guru, meneliti buku-buku model
jawapan dan sebagainya lagi. Jangan jadi 'bidan terjun' ke dewan peperiksaan.
6. Sentiasa
bersedia
Pelajar yang cemerlang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang bentuk
ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan,
peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian (peperiksaan yang sebenarnya).
Pelajar yang berjaya ialah pelajar yang sanggup dan mampu menghadapi peperiksaan
bila-bila masa sahaja. Bersediakah anda andainya peperiksaan diadakan esok?
Pelajar cemerlang akan berkata 'Ya!' Kalau anda peminat 'The Rock' anda akan
berkata 'Just bring it on..!'
7. Lengkapkan
peralatan
Pelajar yang cemerlang menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi
seperti buku-buku rujukan, buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas, dan
sebagainya lagi. Semangat sahaja tidak mencukupi untuk mencapai kejayaan.
Kelengkapan yang tidak cukup akan menyusahkan pembelajaran dan mungkin
memanaskan hati anda atau melemahkan semangat untuk terus belajar. Cuba
bayangkan, anda ingin basuh tangan selepas makan tetapi tiada air. Tidakkah anda
rasa 'bengang'?
8. Tepati waktu
belajar
Pelajar yang cemerlang menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak
sekolah seperti datang ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya
setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar menjadi seorang yang berdisiplin.
Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka mudahlah bagi
pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.
9. Dapatkan
bantuan guru
Pelajar yang cemerlang mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang
lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya
apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah
mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau
mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.
10.
Hormati guru
Pelajar yang cemerlang sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang
mengajar di dalam kelas atau sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber
ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati guru yang memberikan kita ilmu.
11.
Bersoal jawab
dengan guru
Pelajar yang cemerlang bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang
telah diajar. Malah ahli falsafah Yunani yang terkenal bernama Socrates pernah
berkata 'carilah ilmu pengetahuan dengan cara bersoal-jawab'.
12.
Beri pandangan
membina
Pelajar yang cemerlang sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses
pembelajaran. Ini kerana dengan cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar
dan pelajar sendiri akan semakin memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga
dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran pelajar.
13.
Berbncang
dengan rakan
Pelajar yang cemerlang sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran
yang telah dipelajari. Ini biasanya dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan,
kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. Perbincangan akan memantapkan lagi
kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.
14.
Siapkan tugasan
yang diberi
Pelajar yang cemerlang menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada
kerja dalam kelas atau kerja rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru
berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah pelajar yang sering menyiapkan tugasan
yang diberikan oleh guru mereka.
15.
Tubuhkan
kumpulan studi
Pelajar yang cemerlang mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama
rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam
peperiksaan. Tapi jangan tubuhkan kumpulan studi yang akhirnya menjadi kumpulan
bersembang! Carilah rakan-rakan yang ragin dan gigih. Tinggalkan rakan-rakan
yang hanya suka temberang.
16.
Sering masuk
perpustakaan
Pelajar yang cemerlang menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang
lain sebagai gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku
untuk dipinjam. Perpustakaan adalah gedung ilmu. Perpustakaan juga adalah tempat
yang sangat sesuai untuk anda mentelaah pelajaran.
17.
Baca akhbar
Pelajar yang cemerlang membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk
mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan. Secara khususnya ini merujuk kepada
isu-isu am dan rencana ilmiah dan bukan ruangan gossip atau artis.
18.
Menonton
rangcangan yang sesuai
Pelajar yang cemerlang menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk
mendapatkan pengetahuan seperti Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi.
Antara lain adalah rencana pengetahuan (seperti 'Discovery') dan berita semasa.
19.
Lakukan
peperiksaan kendiri
Pelajar yang cemerlang mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri)
seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan
pembelajaran. Pelajar juga perlu menganggapkan ujian dan peperiksaan yang
diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang sebenarnya. Jika gagal bererti
anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar. Melakukan peperiksaan kendiri samalah
seperti masuk ke klinik. Anda akan diberi tahu tentang 'penyakit' anda (kelemahan-kelemahan
anda). Selepas itu, pandai-pandailah cari ubatnya.
20.
Sediakan jadual
waktu
Pelajar yang cemerlang menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran
pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman
untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah
dipatuhi.
21.
Sertai ceramah
motivasi
Pelajar yang cemerlang mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk
melahirkan semangat dan keyakinan diri.
22.
Sertai seminar
peperiksaan
Pelajar yang cemerlang mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi
memahami teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan. Sertainya seminar-seminar
yang dikendalikan oleh orang yang pakar dalam bidang masing-masing. Selain
daripada pengalaman, anda juga mungkin menerima pelbagai tips dan petua berguna.
23.
Beli buku
rujukan
Pelajar yang cemerlang membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat
memantapkan persediaan pelajar. Minta bantuan guru untuk mendapatkan senarai
buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Ingat pepatah Inggeris,
"Don't judge the book by its cover." Buku yang kelihatan cantik menawan tidak
semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu buku rujukan.
24.
Masuk kelas
tuisyen
Pelajar yang cemerlang mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi
pengalaman dan kecekapan pelajar dalam pelajaran.
25.
Lawatan ke
pameran buku
Pelajar yang cemerlang mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan.
Kalaupun anda tidak membeli, sekurang-kurangnya jiwa anda akan hampir pada buku
dan ilmu. Jika anda selalu menziarah sumber ilmu, ilmu itu pula akan sering
menziarahi anda. Kalau anda masuk ke kedai minyak wangi, keharumannya akan
terlekat juga. Kalau anda masuk ke kandang najis... (fikirlah sendiri)
26.
Sertai
kokurikulum sekolah
Pelajar yang cemerlang menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam
kokurikulum. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang
sihat pula akan melahirkan pemikiran yang lancar. Otak yang berkarat akan
melahirkan pemikiran yang lembab.
27.
Sanggup
manghadapi cabaran
Pelajar yang cemerlang perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang
sering cuba mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan
minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah
hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa
dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara
yang kurang berfaedah. Rayuan kekasih atau buah hati juga kadangkala merupakan
dugaan yang maha hebat. Pandai-pandailah membawa diri.
28.
Jaga
keselamatan diri
Pelajar yang cemerlang menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang
bentuk bahaya yang dapat mengancam tubuh fizikal pelajar. Misalnya, jangan
bermain dengan api, elektrik atau mercun. Bayangkanlah jika pelajar kehilangan
jari tangan kanan dalam kemalangan.
29.
Jaga kesihatan
fizikal
Pelajar yang cemerlang menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari
sebarang bentuk penyakit. Makan makanan yang berzat. Kurangkan makanan ringan
atau 'junk-food'. Hindari makan di gerai-gerai yang kotor atau membeli kueh-kueh
yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga sepanjang malam. Ini boleh
menjejaskan kesihatan.
30.
Makanan
seimbang
Pelajar yang cemerlang menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan
yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat
berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan
kesihatan tubuh badan.
31.
Malu bertanya
sesat jalan
Pelajar yang cemerlang tidak segan untuk menimba pengalaman daripada
pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan
kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang.
Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan.
Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang
bakal menghadapi peperiksaan.
32.
Sembahyang
Pelajar yang cemerlang menjaga sembahyangnya. Bagi pelajar Islam, tunaikan
sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama. Bagi
pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing.
33.
Doa
Pelajar yang cemerlang sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada
Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda
pelajar.
34.
Tawakkal
Pelajar yang cemerlang berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal.
Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu
sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan
sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.
Tamat